Monday 28 September 2009

Isu tukar imam dan fahaman 'Wahabi' di Perlis

Ketika pulang beraya di Perlis baru-baru ini, memang saya ada terdengar berkaitan isu pertukaran seorang imam masjid di atas arahan dari Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis. Dari buah mulut rakan-rakan yang bercerita nampak macam wujud pelbagai tanggapan orang ramai terhadap tindakan ini. Ada yang kata Perlis nak kuat kuasakan fahaman Wahabi.

Ramai berpendapat sebab pertukaran tersebut ialah kerana imam berkaitan (Masjid Behor Temak) tidak mengamalkan fahaman 'sunnah' sepertimana yang biasa menjadi amalan di Perlis. Fahaman 'sunnah' di Perlis ini tidak sama dengan fahaman mazhab Syafi'e yang diamalkan di negeri lain di Malaysia. Ada juga orang panggil fahaman ini 'Wahabi'.

Sebagai contoh, orang di Perlis yang mengamalkan fahaman ini sejak puluhan tahun dahulu biasanya tidak membaca doa qunut dalam solat subuh, tidak membaca talqin serta tidak mengadakan majlis-majlis tahlil. Selepas sesuatu solat berjemaah, imam tidak akan membacakan doa secara kuat, tetapi ahli jemaah akan membacakan sendiri doa masing-masing. Allahyarham datuk saya yang berasal dari Padang, Sumatera pun dulu salah seorang guru agama di Perlis yang kuat berpegang kepada amalan 'sunnah' ini. Ada lagi beberapa tokoh agama di Perlis pada ketika itu yang berasal dari Sumatera barat. Bahan sejarah berkaitan perkembangan amalan ini ada di Muzium Negeri Perlis.

Pada hari ini oleh kerana banyak berlaku penghijrahan orang dari luar Perlis untuk menetap di Perlis, serta anak Perlis sendiri yang melanjutkan pelajaran serta bekerja di luar Perlis, amalan fekah di Perlis menjadi bercampur-campur. Fahaman mazhab Syafi'e pula semakin diamalkan di Perlis. Bagaimanapun bila Dr. Mohd Asri menjadi mufti Perlis, beliau banyak mengajar dan memperkukuhkan kembali amalan serta fahaman 'sunnah' atau 'Wahabi' ini di kalangan warga Perlis.

Isu pertukaran imam ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kekecohan, terutama di kalangan anak jemaah masjid yang terlibat. Ada yang tidak berpuas hati. Bagaimanapun, hari ini Pengarah JAIPs telah pun membuat kenyataan berkaitan isu ini. sila baca

Cuma yang kita harapkan ialah supaya isu ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan secara baik. Jangan pula dijadikan bahan kempen politik oleh mana-mana pihak yang hanya akan memecah-belahkan umat Islam dan orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan-bulan yang mulia ini. Insyaallah.

Saturday 19 September 2009

Happy Eid Mubarak!


May Allah brings you joy, happiness, peace and prosperity on this blessed occasion. Wishing all of you on this happy occasion of Aidil-Fitri.... Selamat Hari Raya!

Thursday 10 September 2009

Bagan Pinang: Calon 'recycle' ok ke?

Kita telah maklum bahawa bagi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Bagan Pinang, UMNO akan ditentang oleh PAS. Justeru, kebanyakan dari kita juga sudah mendengar desas desus berkaitan siapakah antara personaliti-personaliti yang mungkin berpeluang terpilih sebagai calon bagi kedua-dua parti yang bertanding.

Walaupun belum official, 'angin' bertiup kencang mengatakan Tan Sri Isa Samad (Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang) akan jadi calon UMNO sementara kemungkinan besar Zulkefli Mohd Omar (Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan) akan mewakili PAS. baca sini

PRK Bagan Pinang adalah sangat kritikal terutamanya bagi Barisan Nasional kerana sejak Mac 2008 yang lalu, telah 8 kali PRK diadakan dan BN tewas 1-7. Dalam siri kekalahan BN itu, hanya PRK Manek Urai ada memberi sedikit kemanisan, namun selepas itu UMNO kembali 'menembak kaki sendiri' di Permatang Pasir. Sejak PRU-12, saya berpendapat telah terlalu banyak 'ilmu' yang boleh UMNO/BN pelajari, jika ia mahu belajar.

Saya sangat bersetuju bahawa kemenangan serta kekalahan dalam sesuatu pilihanraya bukan hanya dipengaruhi oleh satu faktor sahaja, akan tetapi dalam era kini saya juga sangat bersetuju bahawa faktor calon merupakan salah 'pembolehubah' yang siknifikan terhadap keputusan yang dicari.

Calon pilihanraya yang mempunyai kriteria positif seperti berintegriti, anak tempatan, disenangi masyarakat, berpendidikan tinggi serta dinamik sangat berpotensi untuk meraih undi yang lebih dari calon yang memiliki kriteria sebaliknya. Calon yang tidak mempunyai isu peribadi yang negatif dapat mengelakkan diri dari strategi 'character assassination' yang digunakan oleh pihak lawan.

Bagi PRK Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad mungkin masih dilihat sebagai calon yang terbaik oleh sebahagian pemimpin dan penyokong UMNO di kawasan berkenaan, tetapi dengan meletakkan Isa Samad, UMNO seolah-olah meletakkan seorang calon bertaraf 'recycle'. Satu soalan yang boleh ditanya: tidak adakah calon muda yang berpotensi untuk diketengahkan?

Tidak dinafikan, Isa Samad banyak berjasa kepada rakyat Teluk Kemang, bahkan kepada Negeri Sembilan juga. Belia adalah bekas Menteri Besar serta ahli politik berpengalaman yang telah berkhidmat untuk sekian lama. Tidak keterlaluan jika dikatakan Isa masih berbisa. Tetapi pada persepsi umum, Isa juga 'tidak bersih' serta telah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO sendiri. Ini bererti beliau juga tidak menepati syarat sebagai calon yang baik.

Ok ke kalau letak calon recycle?

Dalam hal memilih calon ini, parti yang bertanding perlu fokus kepada matlamat yang ingin dicapai dalam pilihanraya supaya tidak tertembak kaki sendiri!


Sila juga baca:
Pelantaq Hujah: Isa di Bagan Pinang - Pembangkang juga bersetuju!?!?!?!?

Saturday 5 September 2009

Polis masuk perangkap Uthayakumar

Jerat Uthayakumar mengena! Lewat petang tadi, polis telah menahan 16 orang termasuk Uthayakumar kerana menganjurkan perarakan dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka sebagai protes ke atas 'demonstrasi kepala lembu' yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

Perarakan petang tadi disertai oleh kira-kira 50 orang. Mereka berarak dari Masjid Jamek sambil memegang lilin yang dinyalakan. Namun sebaik sahaja memulakan perarakan, mereka telah dihalang oleh pihak polis dan sebahagian daripada mereka telah ditahan. baca sini Itulah sebenarnya yang mereka harapkan. Mereka berharap supaya ditangkap polis. Itulah 'jerat' sebenar yang dipasang oleh Uthayakumar bagi menggambarkan ketidakadilan pihak pemerintah dalam menguatkuasakan undang-undang serta adanya amalan 'double standard' dalam laungan 1Malaysia.

Sebelum ini saya pernah katakan bahawa komen Dato' Seri Hishammudin ke atas 'isu kepala lembu' adalah suatu kesilapan. baca sini Menurut Hishammudin, semasa demonstrasi di Shah Alam polis tidak mengambil apa-apa tindakan kerana jumlah mereka yang mengadakan demonstrasi adalah kecil (50 orang). Nah, kenyataan inilah yang memberi idea kepada Uthayakumar untuk mengenakan pihak polis dan hari ini dia berjaya.

Friday 4 September 2009

By-Election the 9th

Al-Fatihah. Azman Mohd Noor, the Bagan Pinang state assemblyman (BN) passed away today of a heart attack at the Seremban Specialist Centre. This will trigger another by-election, the 9th since GE-12.

During March 2008 General Election, BN retained power in Negeri Sembilan but lost it's 2/3 majority in the state assembly. Currently there are 21 BN's state assemblymen, while 15 representatives are from PR. All but one of the previous eight by-elections were taken by the PR coalition. The most recent was in Permatang Pasir which saw BN being self-sabotaged by choosing an unfit candidate. Do they take that as a lesson?

Thursday 3 September 2009

Kepala lembu - Hishammudin silap

Saya kata komen Hishammudin berkaitan 'isu kepala lembu' semalam adalah satu kesilapan. Reaksi beliau membuka seluas-luasnya ruang kepada seteru-seteru politiknya untuk membelasah kredibiliti kerajaan yang didominasi oleh UMNO dalam merealisasikan 1Malaysia.

Dato' Seri Hishammudin Hussein mempertahankan tindakan protes yang dilakukan oleh kumpulan 'penduduk Seksyen 23 Shah Alam' selepas mengadakan pertemuan dengan mereka semalam. Katanya, kumpulan ini hanya ingin suara mereka didengar, tetapi agak malang kerana bantahan mereka telah mendapat liputan meluas yang negatif kerana isu kepala lembu tersebut. baca sini

Dalam situasi kecelaruan politik sekarang, para pemimpin perlu berfikir 10 kali sebelum membuat sesuatu keputusan atau komen ke atas isu-isu tertentu, lebih-lebih lagi yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Apatah lagi dalam gemuruh laungan slogan 1Malaysia yang semakin menjerut UMNO dan BN sendiri.