Friday, 18 December 2009
Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah
Bukan sekadar menjadi tema, semangat ukhuwah ini harus dipupuk dan disuburkan. Seluruh rakyat negara ini tidak kira apa kaum serta agama yang mereka anuti harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk membangunkan negara serta menjaga keharmoniannya. Selama ini pun, ukhuwah memang telah lama wujud di negara ini. Kalau tidak masakan rakyat Malaysia boleh berkongsi hidup sejak lebih 50 tahun kemerdekaan.
Apa pun, ada 'deringan' di sana dan sini pada ketika ini oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mensabotaj keharmonian tersebut. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini suka memanipulasi keadaan bagi menimba keuntungan diri dalam jangka pendek. Mereka perlu ingat, jangan sampai 'bahagia semusim, tetapi akhirnya derita berpanjangan'. Sejarah zaman Kesultanan Melayu dahulu ada pelbagai pengajaran yang berkaitan situasi ini.
Ada dua konsep ukhuwah, iaitu insani dan Islam. Ukhuwah insani adalah hubungan antara manusia dengan manusia. Ia berlaku kawasan kejiranan, di pejabat, di institusi pengajian dan malah di mana-mana tempat manusia berurusan sesama manusia. Kalau anda tidak kenal jiran anda dan tidak pernah bertegur sapa, maknanya tiada semangat ukhuwah di situ. Ada orang tidak pernah bertegur sapa dengan rakan sepejabat. Sebaliknya, di era komunikasi ini ramai yang tidak pernah bersua muka boleh berbicara seolah-olah telah kenal 10 tahun dulu. Ini boleh dilihat dalam media sosial seperti facebook.
Islam memang tidak pernah mengajar umatnya berselisihan. Kadang-kadang kerana tak sependapat dalam hal yang kecil dan kurang penting, manusia sanggup mencipta dosa. Contohnya, dalam hal cara amalan ibadah dibuat. Adalah suatu perkara biasa jika kita punya pandangan yang berbeza. Manusia memang unik. Jangan terlalu cepat mengamalkan sikap aku betul, dan engkaulah yang sentiasa salah. Jangan pula menghina agama lain yang dianuti rakan-rakan dari kaum lain (Cina dan India misalnya).
Ummah akan roboh jika ukhuwah hancur. Semoga Allah memberi hidayah dan inayah, serta memberi pertolongan bagi menyatukan sebarang kumpulan yang berbeza pendapat di negara ini. Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1431H.
Tuesday, 15 December 2009
Zizie Ezette... wow!

Friday, 4 December 2009
Pakaian memang bukan cermin keperibadian
Kadang-kadang terfikir oleh saya kemanakah halatuju orang politik masa kini? Sudah pasti masyarakat semakin keliru. Bagi pengikut dan penyokong tegar, apa saja yang dilakukan pemimpin mereka semuanya betul, sebaliknya apa saja tindakan yang dilakukan oleh pihak lain semuanya salah. Pokoknya 'mesti ana betul, dan mesti enta salah!'.
Paling memalukan, bila yang dipanggil 'ustaz' dan pakai serban berbelit-belit bercakap macam orang mabuk. Kalau sudah begitu, betul kata orang, 'pakaian bukan cermin keperibadian!'.
Saturday, 21 November 2009
Ini Bukan Demokrasi Kita
Hari cuti begini, kalau tak kemana-mana memang saya selalu menghabiskan masa di hadapan komputer di rumah dan membaca pelbagai berita dari laman web serta blog. Memandangkan kecenderungan kepada politik tanah air, hari ini banyak berita politik yang saya baca. Akhirnya, saya termenung dan teringat lagu puisi ini:Sampai kapankah kematian
Ibu tua dan anak kecil
Nyawa yang menjadi korban
Atas nama demokrasi
Sampai kapankah kehancuran
Tamadun yang dibanggakan
Darah merah jadi saksi
Kehebatan demokrasi
Apabila demokrasi datang
Bersama laskar dan senjata perang
Musnahlah kedamaian
Musnahlah keindahan
Yang tinggal kesengsaraan
Moral pun rosak dan keji
Minda dibuai ilusi
Yang bernama demokrasi
Lagu ini dinyanyikan oleh Sohaimi Meor Hassan (juga popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley) lama dulu dan amat sukar kedengaran di radio pada masa sekarang. Dulu-dulu masa mendengar lagu ini saya kurang faham liriknya. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di negara kita sekarang, saya semakin dapat menghayati lirik lagu di atas yang bertajuk 'Ini Bukan Demokrasi Kita'.
Tuesday, 17 November 2009
Kalau jadi PRK di Kota Siputeh...
Awal-awal lagi sudah ada yang beri cadangan dalam blog tentang siapa yang paling sesuai jadi calon BN di Kota Siputeh. Ramai yang setuju walau pun ada yang tidak. Penyokong UMNO bukan main 'confident' lagi bahawa kerusi tersebut boleh dipertahankan dan ada yang yakin untuk tambah majoriti. Ini mungkin sebab terbaru ini UMNO menang besar di Bagan Pinang. Anwar Ibrahim pun dah buat kenyataan bahawa PAS akan bertanding di situ.
Kalau jadilah PRK di Kota Siputeh... keadaan tidak akan sama seperti di Bagan Pinang. Jangan 'syok' lebih-lebih. Orang tempatan pun banyak juga yang dah 'fade-up'. Mereka dah beri mandat pada Abu Hassan dan BN. Kenapa dia buat perangai tak bertanggung jawab? Kalau macam ini tahap prestasi wakil rakyat BN di Kota Siputeh, mungkin sudah timbul keinginan orang Kota Siputeh untuk tukar wakil rakyat.
Lebih-lebih lagi kerajaan PAS di Kedah nampak steady sahaja dan tak banyak cerita macam negeri-negeri lain yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan. Kita pun tak boleh nafikan bahawa MB Kedah kali ini memang 'steady' dan 'cool.' Orang UMNO sendiri yang berada di Kedah pun tak tertekan dengan stail Menteri Besar mereka sekarang.
Memang pening kepala Shapie Apdal dan UMNO Kedah nak 'tawan' kembali negeri Jelapang Padi tu. Sama juga ceritanya di Kota Siputeh. Kalau ikut bahasa loghat utara, 'wakil rakyat BN ni kira dok 'lena' lah sampai mesyuarat sekali-sekala pun tak boleh nak pi. Silap haribulan kalau macam ini boleh jatuh ke tangan PAS. Dulu pun calon BN hanya menang 495 undi sahaja (Abu Hassan 8,160 dan calon PAS Ismail Wan Teh 7,665.
Kalau jadi PRK Kota Siputeh... jangan dok mimpi lebih-lebih nak jadi macam Bagan Pinang!
Saturday, 7 November 2009
Tekanan politik, bai'ah dan 'parti Islam'
Tekanan ke atas parti tersebut juga turut bertambah dengan isyarat perubahan yang semakin nyata dalam UMNO selaku parti utama Barisan Nasional. Menurut Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, semua parti patut sedar bahawa menjelang PRU-13 nanti kemungkinan sekali corak pemikiran pengundi tidak akan sama lagi dengan situasi PRU-13. Sangat berkemungkinan, tidak akan ada lagi pemikiran 'anything but UMNO' kerana sedikit sebanyak Najib telah berjaya memperbaiki 'kerosakan' yang dilakukan oleh Abdullah Badawi.
Berhadapan dengan tekanan politik semasa, PAS terpaksa memilih kaedahnya sendiri untuk memastikan kesetiaan pemimpin-pemimpinnya terhadap parti itu. Dalam perkembangan yang terbaru, PAS dilihat terpaksa bersandar kepada kaedah bai'ah atau sumpah taat setia jatuh talak tiga terhadap isteri bagi mengelak mana-mana pemimpin khususnya wakil rakyat mereka dari melompat parti.
Saya berpendapat, amalan ketaatan atau wala' seperti ini amat aneh. Saya bukan ahli agama, tapi rasa saya amalan bai'ah yang mengheret persefahaman rumah-tangga itu agak melampau dan dalam masa yang sama turut merendahkan institusi rumah tangga dan mertabat isteri serta kaum wanita.
Apa kata para muslimah PAS sendiri serta NGO-NGO yang selama ini memperjuangkan hak wanita? Bersetujukah dengan amalan bai'ah politik PAS ini? Islam dan adilkah cara ini? Mungkinkah muslimah PAS terpaksa bersetuju di atas dasar 'berjihad' kerana mereka di dalam sebuah parti Islam.
Mungkin sekali penulisan di dalam blog ini amat kecil suaranya, tetapi sebagai seorang Islam saya sangat berharap PAS melihat kembali amalan ini. Walaupun setiap parti itu ada matlamat politiknya yang tersendiri, hal-hal berkaitan institusi rumah tangga serta agama Islam itu sendiri tidak sepatutnya diheret menjadi perisai tekanan politik oleh sebuah parti yang mengaku 'parti Islam'.
Friday, 6 November 2009
Mengapa baru sekarang?
Berita Harian, 6 Nov : Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat, sebaliknya beranggapan ia tidak sesuai untuk umat Islam negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
"Jika sesat, habislah jemaah kita yang solat di Makkah kerana mengikut imam di sana yang berfahaman Wahabi. Fahaman itu tidak sesat, cuma ada perbezaan dengan apa yang kita amalkan selama ini," katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan, di Masjid Wilayah, di sini semalam. Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.
Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.
Berikutan itu, Mashitah berkata, kerajaan dan Majlis Fatwa sedang menelitinya secara berhati-hati supaya tidak membahayakan dan menimbulkan ketegangan di kalangan orang agama atau masyarakat. Jika menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat atau menyentuh soal akidah hingga membawa terbatal syahadah, tindakan akan dikuatkuasakan.
"Fahaman Wahabi yang disifatkan sebagai isu sensitif masih boleh dibendung kerana perbezaan aliran itu masih boleh diterima selagi tidak menyentuh akidah. Kita mengambil pendekatan yang halus dan diplomasi kerana banyak yang perlu kita jaga terutama perpaduan masyarakat," katanya.
Komen : Mengapa baru sekarang perkara ini dihebohkan, sehinggakan berlaku penangkapan Dr. MAZA atas alasan memberi kuliah agama 'tanpa tauliah'? Tidakkah cara tindakan yang telah diambil oleh JAIS itu telah menambah kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia, sekaligus menimbulkan ketegangan dan mengancam perpaduan masyarakat?
Monday, 2 November 2009
Dungunya sebuah jabatan kerajaan
Susah nak percaya bahawa itu sebab sebenar penangkapannya kerana umum kenal dan tahu Dr. Asri juga setiap minggu menulis dalam Mingguan Malaysia, selain pendapatnya dalam hal-ehwal agama yang selalu menjadi rujukan pelbagai pihak. Kenapa tak ditangkap sahaja penceramah-penceramah agama tak berpermit yang saban hari memainkan jarum politik di masjid dan surau-surau di serata Selangor. JAIS diperkuda untuk tujuan politik, dan 'permainan' ini sangat memalukan umat Islam di Malaysia.
Dalam pada itu, si Ketua Pemuda UMNO hanya bersuara lembik dengan mengatakan beliau 'akan pantau tindakan JAIS' dan mengecam jabatan tersebut jika berlaku sebarang tindakan tidak adil terhadap bekas mufti itu. Kalau setakat pantau dan nak kecam... tak payahlah jadi Ketua Pemuda!
Friday, 23 October 2009
PAS pun nak 'berubah'
Apa sudah jadi? Semalam Mursyidul Am PAS itu pula seolah-olah melaungkan 'perubahan' dan mencetus keinginan untuk adakan suatu 'EGM' bagi menyingkirkan Presiden serta beberapa tokoh utama yang lain dalam parti tersebut (baca sini dan sini)
Walaupun ramai penyokong Pakatan Rakyat yang cuba berbohong kepada diri sendiri dengan menafikan keresahan mereka terhadap apa yang berlaku di Selangor, Bagan Pinang serta isu kerajaan perpaduan yang tenggelam timbul, hakikatnya 'poligami' PAS, DAP dan PKR juga sedang menempuh badai. Keyakinan semalam PAS dan pakatannya kini goyah kembali bila UMNO dan BN kembali bersolek dengan kosmetik berjenama.
Dulu sampan kecil dan mudik di sungai sahaja, senang 'control'... sekarang bahtera dah besar dan belayar di laut lepas, barulah kenal cabarannya! Hmm.. kalau pun betul-betul PAS buat EGM atau Muktamar Khas, harap-harap janganlah selepas itu ada ahlinya yang nak lari masuk Makhal Sakti.
Tuesday, 20 October 2009
PAS for All dan 1Malaysia
Konsep 'PAS for All' dilaungkan oleh parti itu merupakan program promosi bertujuan untuk meluaskan sasaran pasaran parti tersebut kepada kaum bukan Islam di negara ini. Pada peringkat awal, slogan 'PAS for All' dilihat berjaya memberi impak yang positif dan berjaya menambat hati pengundi bukan Melayu serta 'orang atas pagar' semasa PRU-12 yang lalu.
PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai orang bukan Islam, dan parti itu sanggup berjanji untuk menaikkan taraf KPP yang merupakan sayap parti tersebut supaya setaraf dengan Dewan. Namun janji tersebut masih belum mampu dikota lantaran terdapat banyak suara-suara tidak bersetuju di kalangan ahli PAS berkaitan idea ini. Ini melahirkan kebimbangan dan keraguan dikalangan bukan Melayu terhadap keikhlasan, kemampuan serta kesungguhan PAS merealisasikan 'PAS for All'.
Persaingan antara PAS dan UMNO/BN bagaikan 'Cola War'. Najib muncul dengan program promosinya '1Malaysia' yang objektifnya hampir sama dengan PAS for All, iaitu untuk memikat hati pengundi bukan Melayu. Penekanan 1Malaysia ialah terhadap usaha-usaha UMNO/BN untuk menzahirkan keadilan serta perjuangan untuk semua rakyat Malaysia. Dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas, pemimpin serta perwakilan langsung tidak menyebut hal perkauman. Kesungguhan yang ditunjukkan, jika berjaya direalisasikan dengan cepat mampu menarik kembali keyakinan bukan Melayu terhadap kepimpinan Najib.
Seperti dalam pemasaran, sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu, pelanggan menilai dengan melihat serta mencari kepastian samada rekabentuk serta kualiti produk yang dipasarkan sama seperti yang dijanjikan dalam program promosi. Begitu jugalah halnya dalam politik negara kita. Sebelum menghadapi PRU-13, rakyat akan mencari kepastian dan kebenaran antara PAS for All dan 1Malaysia.


