Saya fikir hari ini ramai yang telah membaca artikel tulisan saudara Noor Azam di akhbar
Utusan Malaysia. Beberapa blogger juga telah menyiarkan semula artikel tersebut untuk tatapan pembaca serta bagi mendapatkan reaksi dan komen. Sesetengah akhbar serta beberapa reaksi pembacanya pula menganggap artikel tersebut bertujuan meniup serta
menyemarakkan api kebencian antara kaum yang semakin memercik akhir-akhir ini dan Utusan Malaysia sebagai media yang dipengaruhi kerajaan tidak sepatutnya menyiarkan wacana seumpama itu.
Pada dasarnya, saya mengakui tulisan saudara Noor Azam ada berbaur perkauman atau rasis, namun apa yang cuba dibangkitkan oleh beliau adalah berasas dan merupakan perkara-perkara yang sepatutnya diambil ingatan oleh setiap individu warganegara ini tidak kira samada mereka Melayu atau bukan Melayu. Ianya berkaitan dengan
hak-hak istimewa orang Melayu yang telah lama tercatat di dalam perjanjian yang dipersetujui oleh generasi Melayu dan bukan Melayu terdahulu.
Namun begitu, oleh kerana desakan cita-cita politik individu serta parti tertentu, walaupun mungkin individu itu Melayu atau parti itu didokongi oleh orang-orang Melayu yang saban hari melaungkan perjuangan Islam, mereka terpaksa menyokong ideologi suatu golongan lain yang membelakangkan perjanjian berkaitan hak-hak istimewa Melayu tersebut. Untuk kepastian cita-cita politik, penggadaian bangsa mereka halalkan. Justeru, yang Islam pun dikafirkan dan yang kafir dibelai.
Golongan muda Melayu pula kini ramai yang buta perlembagaan dan buta sejarah. Rata-rata generasi ini (bukan semua), mereka dibesarkan dalam keselesaan dan kesenangan hidup. Mereka tiada pengalaman mentelaah buku pelajaran di bawah cahaya pelita minyak atau terpaksa membawa lampu suluh bertandang ke rumah orang berada di hujung kampung hanya sekadar untuk menonton TV (yang gambarnya hitam dan putih). Ramai yang tidak sedar, keselesaan yang dinikmati kini sebahagiannya adalah kerana adanya hak-hak istimewa tersebut.
Setelah 3 dekad perlaksanaan DEB, orang Melayu semakin berjaya keluar dari kemiskinan. Pemilikan ekuiti dalam sektor ekonomi yang hanya 2.4% pada tahun 1970 kini meningkat kepada sekitar 20% sekarang. Kuota kemasukan ke universiti tempatan serta keutamaan peluang melanjutkan pelajaran keluar negara telah menukar status kehidupan Melayu. Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa dasar-dasar kerajaan sedia ada serta hak istimewa orang Melayu yang dilindungi oleh perlembagaan.
Itu fakta yang benar. Perlembagaan yang ada bukan bertujuan untuk meletakkan kaum bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua di Malaysia. Ianya seolah suatu persetujuan di masa lalu di mana bukan Melayu menerima
'cash cheque' iaitu mereka (walaupun pendatang) diterima terus sebagai warganegara dengan hak-hak sebagai warganegara, manakala Melayu menerima
'post-dated cheque' iaitu jaminan hak istimewa dalam beberapa perkara bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan dilupakan di tanah air mereka sendiri. Rujuklah
Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957 pada muka surat 6, 70 dan 71 bagi memahami mengapa keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebab itulah saya katakan bahawa walaupun rencana Noor Azam mungkin boleh dilihat sebagai rasis, tetapi ada asas yang kukuh untuk Utusan Malaysia memaparkan rencana tersebut. Bukan untuk meniup api perkauman, tetapi sekadar mengejutkan Melayu yang tidur serta warga buta sejarah dan buta perlembagaan.