Monday, 28 September 2009

Isu tukar imam dan fahaman 'Wahabi' di Perlis

Ketika pulang beraya di Perlis baru-baru ini, memang saya ada terdengar berkaitan isu pertukaran seorang imam masjid di atas arahan dari Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis. Dari buah mulut rakan-rakan yang bercerita nampak macam wujud pelbagai tanggapan orang ramai terhadap tindakan ini. Ada yang kata Perlis nak kuat kuasakan fahaman Wahabi.

Ramai berpendapat sebab pertukaran tersebut ialah kerana imam berkaitan (Masjid Behor Temak) tidak mengamalkan fahaman 'sunnah' sepertimana yang biasa menjadi amalan di Perlis. Fahaman 'sunnah' di Perlis ini tidak sama dengan fahaman mazhab Syafi'e yang diamalkan di negeri lain di Malaysia. Ada juga orang panggil fahaman ini 'Wahabi'.

Sebagai contoh, orang di Perlis yang mengamalkan fahaman ini sejak puluhan tahun dahulu biasanya tidak membaca doa qunut dalam solat subuh, tidak membaca talqin serta tidak mengadakan majlis-majlis tahlil. Selepas sesuatu solat berjemaah, imam tidak akan membacakan doa secara kuat, tetapi ahli jemaah akan membacakan sendiri doa masing-masing. Allahyarham datuk saya yang berasal dari Padang, Sumatera pun dulu salah seorang guru agama di Perlis yang kuat berpegang kepada amalan 'sunnah' ini. Ada lagi beberapa tokoh agama di Perlis pada ketika itu yang berasal dari Sumatera barat. Bahan sejarah berkaitan perkembangan amalan ini ada di Muzium Negeri Perlis.

Pada hari ini oleh kerana banyak berlaku penghijrahan orang dari luar Perlis untuk menetap di Perlis, serta anak Perlis sendiri yang melanjutkan pelajaran serta bekerja di luar Perlis, amalan fekah di Perlis menjadi bercampur-campur. Fahaman mazhab Syafi'e pula semakin diamalkan di Perlis. Bagaimanapun bila Dr. Mohd Asri menjadi mufti Perlis, beliau banyak mengajar dan memperkukuhkan kembali amalan serta fahaman 'sunnah' atau 'Wahabi' ini di kalangan warga Perlis.

Isu pertukaran imam ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kekecohan, terutama di kalangan anak jemaah masjid yang terlibat. Ada yang tidak berpuas hati. Bagaimanapun, hari ini Pengarah JAIPs telah pun membuat kenyataan berkaitan isu ini. sila baca

Cuma yang kita harapkan ialah supaya isu ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan secara baik. Jangan pula dijadikan bahan kempen politik oleh mana-mana pihak yang hanya akan memecah-belahkan umat Islam dan orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan-bulan yang mulia ini. Insyaallah.

No comments: