Monday 29 December 2008

Refleksi Sebenar Wajah PAS

Salam Maal Hijrah.

Dalam sesi wacana Transformasi Politik Malaysia di Kota Bharu baru-baru ini, Naib Presiden PAS, Husam Musa telah terperangkap dengan isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas yang dilontarkan oleh Khairy Jamaluddin.

Husam dengan tegas telah menyatakan bahawa PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memegang tampuk pemerintahan negara ini. Kenyataan beliau bagaimanapun telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan kongsi PAS dalam Pakatan Rakyat terutamanya DAP. Parti ini yang diketahui ramai tidak dapat menerima hukum hudud telah menentang keras kenyataan Husam itu.

Tersentak dengan reaksi balas yang negatif dari rakan kongsinya, Husam mengendurkan ketegasannya dalam isu ini dengan membuat kenyataan bahawa pelaksanaan hukum hudud dan qisas oleh PAS hanya akan dilakukan setelah mendapat persetujuan dari DAP dan PKR. Hakikatnya Husam serta seluruh kepimpinan PAS telah lama sedar bahawa rakan kongsi mereka terutamanya DAP, tidak sekali-kali mungkin menyetujui hasrat yang telah dicanang oleh PAS sejak berpuluh tahun lalu itu. Lihatlah pendirian tidak konsisten yang menampakkan refleksi sebenar wajah pemimpin PAS yang kononnya telus memperjuangkan Islam.

Dalam situasi ini juga, Anuar Ibrahim yang mengepalai PKR tidak berani menyatakan pendirian parti PKR, mahupun pendapat peribadinya mengenai isu hukum hudud. Sepatutnya beliau yang selama ini menampilkan diri di khalayak umum sebagai seorang pemimpin yang membawa ciri-ciri Islam menyatakan pendirian PKR dalam isu memperjuangkan hukum syariah ini. Namun begitu, kita telah lama maklum, Anuar umpama 'chameleon' yang sering bertukar warna mengikut keadaan sekeliling, demi kepentingan peribadi.

Bersetuju dengan kata-kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa kenyataan Husam hanya satu 'cerita politik'. Sekiranya PAS benar-benar ikhlas ingin melaksanakan hudud, hukum ini sudah tentu telah lama dilaksanakan di negeri Kelantan yang telah diperintah PAS sejak sekian lama.

Tuesday 23 December 2008

Undang-undang Zaman Batu

Susah gua mau cakap...! (baca sini)

Yang kena hukum sebab sabotaj parti sendiri dan buat laporan palsu tu taklah nak komen sangat sebabnya kalau dah betul begitu perlakuannya, eloklah dikenakan tindakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain. Lagi pun mana semangat perjuangannya kalau hanya mementingkan diri sendiri.

Itu tak best!.. yang buat saya 'termelengung' (bahasa loghat utara yang maksudnya lebih kurang tergamam) ialah si Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat tu yang dikenakan tindakan sebab berkempen menggunakan blog. (ini blog nya) Tak ke Datuk Ahmad Kuris tu kira up-to-date orangnya sebab kempen pakai blog! Ini yang buat kita tak faham ni... zaman orang dok sibuk dengan internet dan dunia cyber, UMNO pulak menghukum orang yang menggunakan blog sebagai media kempennya. Tapi kata salah satu punca merudumnya prestasi PRU-12 dulu sebab ramai yang terpengaruh dengan blogger. Sepatutnya UMNO kena belajarlah berjinak-jinak dengan media ini bagi menawan semula minda generasi baru.... ini tak, siapa guna blog kena tindakan. Nak jadi parti zaman batu ke???

Lembaga Disiplin UMNO eloklah kaji balik undang-undang ala zaman batu ni...

Sunday 21 December 2008

Songkok vs. Serban

Berita Minggu - 21 Dis 2008
Najib optimis pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu


KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan.

Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Seri Iman, di sini, semalam..... baca lagi

TPM begitu optimis bahawa kemenangan bakal dijelmakan dengan calon yang dikemukakan oleh BN kali ini. Bagi beliau, dalam sesebuah Pilihanraya Kecil, calonlah yang merupakan faktor penentu kemenangan parti yang bertanding, dan dengan kepercayaan bahawa Wan Ahmad Farid merupakan calon yang dipersetujui warga pengundi Kuala Terengganu (yang pro-BN), BN boleh mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 yang lalu.

Kalau saya...'gayat' juga untuk mengatakan bahawa BN mudah memenangi Pilihanraya Kecil kali ini. Ini adalah berdasarkan situasi politik semasa yang memberi gambaran dan petunjuk yang berbeza-beza mengenai performance UMNO dalam BN. Sejak PRU-12 yang lepas, BN pada saya masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ianya berjaya memikat hati generasi muda, tidak kira generasi muda Melayu, Cina mahupun India.

Dalam PRU yang lepas, calon BN mendapat 32,562 undi, calon PAS mendapat 31,934 undi, dan Makcik Maimun dapat 685 undi. Calon BN menang majoriti 628 undi sahaja. Pendapat sesetengah orang, Makcik Maimun memainkan peranan yang besar juga dalam membantu kemenangan BN kerana bagi orang UMNO atau BN yang tengah 'bengang' dengan BN semasa PRU-12 yang lalu dan nak buat undi protes, mereka pilih untuk memberi undi kepada calon Bebas ini kerana tak tergamak nak beri undi kepada PAS... wallahualam.

UMNO khususnya pada ketika ini masih tercari-cari formula untuk di ketengahkan sebagai 'menu' kempen di Kuala Terengganu nanti. Yang pasti, bagi pemimpin-pemimpin veteran UMNO, cerita-cerita pembangunan yang telah dan bakal dilakukan oleh Kerajaan BN akan digemakan sekali lagi dalam ucapan-ucapan ketika berkempen. Pada saya, orang muda bukan nak dengar cerita ini. Setakat cerita-cerita nak masuk kemudahan elektrik, pasang paip air, bina jambatan, sekolah baru dan turap jalan di kampung tidak akan dapat memikat hati pengundi muda. UMNO patut sedar, generasi muda merupakan golongan radikal yang mempunyai aliran serta gaya pemikiran dan pendapat yang amat berbeza dibandingkan dengan generasi yang terdahulu.

Kempen melalui akhbar-akhbar utama serta kempen dalam program RTM yang kadangkala bercelaru sudah tentu tidak lagi boleh dijadikan sandaran kali ini. UMNO perlu sedar, kehadiran watak-watak seperti Anuar Ibrahim serta barisan penceramah PAS yang memang kerjanya berceramah sepanjang tahun sudah tentu akan memberi impak yang besar dalam pemilihan di Kuala Terengganu nanti. Isu-isu seperti royalti minyak, penganjuran Piala Monsoon serta projek-projek yang tak memberi untung kepada rakyat tempatan sudah pasti mudah digubah menjadi 'lagu kempen' oleh penceramah-penceramah pembangkang di Terengganu nanti, lebih-lebih lagi Wan Farid tu dikatakan ada kaitan yang rapat dengan Patrick Badawi dan KJ...

UMNO dan BN perlu mencari suatu metodologi baru dalam kempen-kempennya bagi memenangi hati pengundi di KT terutama generasi muda serta 20% pengundi bukan Melayu yang akan menjadi penentu serta petunjuk kepada populariti sebenar BN serta UMNO khususnya di mata rakyat negara ini.

Ada orang kata, Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu ini umpama songkok lawan serban.... mana yang akan jatuh, mana yang akan terburai???

Sunday 14 December 2008

... benar, ia hanya Retorik!

Isu ketuanan Melayu memang telah banyak diperkata dan diperbahaskan sejak akhir-akhir ini. Walaupun saya memang nampak dan mempunyai pendapat sendiri berkaitan isu ini sejak peringkat awal lagi ianya ditimbulkan oleh Timbalan Presiden MCA (..selalu juga berbahas dengan sahabat di pejabat mahupun di kedai mamak), saya tidak fikir untuk menulis berkaitan isu ini dalam blog kerana menganggap mungkin ramai yang telah jemu memperkatakan berkaitannya.

Namun begitu, bila membaca rencana terbaru Datuk Hashim Suboh yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia 13 Dis 08 (baca sini), saya sangat-sangat bersetuju. Saya berpendapat apa yang beliau katakan mengenai tumpuan yang sepatutnya diberikan oleh orang Melayu pada ketika ini ialah bagi memperkasakan diri dibidang ekonomi adalah sebenar-benarnya perspektif yang patut kita lihat. Kita tidak sepatutnya membuang masa dengan melayan retorik politik.

Isu ini memang sengaja dilontarkan bagi melihat reaksi orang-orang Melayu yang jelas kini kedudukannya agak lemah terutama setelah PRU-12. Orang Cina tidak merasakan mereka rugi apa-apa dalam PRU-12. Bagi mereka, sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menang sama sahaja. Soi Lek pula kata ucapannya dipolitikkan. Hakikat sebenarnya, memang itu yang dia kata (baca sini).

Pemimpin Melayu pulak apabila dicuit bercakap berdegar-degar dan membantah kenyataan Soi Lek atas nama membela Melayu. Namun pada saya seperti juga pendapat Hashim Suboh, semuanya hanya retorik politik belaka. Semuanya cuba menagih "short-term political mileage". Setakat bercakap sahaja tak guna. Dalam tempoh lebih 50 tahun kita telah memegang tampuk pemerintahan negara yang tercinta ini.... kedudukan Melayu sepatutnya jauh lebih baik dari sekarang.

Apalah gunanya sekadar menjadi Tuan yang hanya terpaksa bersandarkan fakta sejarah jika taraf ekonomi Melayu itu sendiri rata-rata langsung tidak mencerminkan taraf ketuanannya...

Thursday 11 December 2008

What Makes A Bad Politician - Bad?

I would like to share something that I've read in the internet a few days ago. It is about politicians... a bad one! It says, bad politicians usually do the followings:
  • Love brownnosers, tattletales, and relatives who report to them. They choose favorite party (political) members and cover up and make excuses for the poor works of their incompetent favorites. They ignore people who have been selected by the grass-root a.k.a. "akar umbi" of their party.
  • Fail to communicate, and may not even have expectations, timelines, or goals. Bad politicians change their minds frequently, and left their followers off-balance.
  • Use disciplinary measures inappropriately when simple positive communication would correct the problem. Bad politicians ignore their loyal party member's advices until there is a problem, then pounce.
  • Speak loudly, rudely, one-sidedly to people. Bad politicians don't provide the air time for people to respond to accusations and comments.
  • Take credit for the successes and positive accomplishments of other people. They are equally quick to blame others when something goes wrong.
These five are top bad politicians characteristics listed in the article that I've read. Anyway, from my point of view, the following characteristics need to be add-up as well...
  • Is not qualified for the post (political) by either skill or experience.
  • Will not let go of problems or mistakes. The bad politician returns to discuss negative events continually and searches for faults in others.
  • Will not accept constructive feedback and suggestions for improvement. Bad politicians can't deal with disagreement from other people (from their own political party or the opposition party) who have their own opinions about related issues.
  • Lack integrity, breaks promises, and dishonest.
  • Does not have the courage to deal with a difficult situation despite knowing that it is the right thing to do.
  • Causes dissention among their own party members by his or her actions and comments.
Well... now can you figure out whether the politician you know is a bad one...?

Friday 5 December 2008

Sekolah Satu Aliran

Baru-baru ini Dato Mukhriz Mahathir telah mencadangkan supaya diwujudkan suatu sistem tunggal persekolahan di Malaysia bagi menggantikan sistem persekolahan sedia ada yang pelbagai. Cadangan yang dilontarkan beliau adalah juga supaya Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua sekolah dan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua. Dalam masa yang sama, pengajaran Bahasa Cina dan Bahasa India juga diajar secara meluas di sekolah-sekolah bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk menguasai lebih banyak bahasa.

Cadangan beliau, pada fikiran peribadi saya boleh mengujudkan suatu generasi Malaysia yang baru dengan corak pemikiran yang dilahirkan dari suatu sistem pendidikan yang sama tanpa mengira suku kaum,bangsa dan agama. Jika diambil pendekatan dengan memberi perhatian yang teliti terhadap kurikulum dan modul pengajaran yang digubal, saya agak optimis bahawa sistem ini mampu menghasilkan generasi Malaysia yang lebih mengenal sejarah dengan jiwa patriotisme.

Namun begitu, Ahli Parlimen Jerlun ini telah menerima kritikan-kritikan yang pedas bukan sahaja dari pelbagai pihak serta pemimpin yang bukan berketurunan Bumiputera, bahkan dari beberapa pemimpin utama Umno sendiri tanpa mampu menjelmakan alasan yang cukup akademik bagi penolakan cadangan ini. Oleh yang demikian, saya kira sudah pasti mereka hanya ingin mendapatkan 'political mileage' dari isu ini dalam senario pertandingan merebut jawatan utama parti yang semakin hampir. Beberapa pihak pula menuduh Mukhriz sebagai penghasut yang ingin menyemarakkan lagi api krisis perkauman yang telah sedia terbara. Mereka ini sebenarnya pengecut yang tiada keazaman untuk berjuang bagi melahirkan suatu generasi 'successor' yang mantap.

Idea Mukhriz ini sebenarnya mempunyai persamaan yang sangat hampir dengan idea yang pernah dilahirkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan telah dimuatkan dalam Penyata Razak 1956. Cadangan sekolah satu aliran ini juga diakui oleh beberapa cendiakiawan negara mampu untuk mengeratkan perpaduan kaum yang nampaknya kini telah menjadi permasalahan yang semakin meruncing.

Tan Sri Dr Khoo Kay Kim misalnya, bersetuju bahawa cadangan ini adalah sangat baik dan hampir sama dengan apa yang tertulis di dalam Penyata Razak 1956 dan juga cadangan Jawatankuasa Barnes 1950. Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pendidikan pula berpendapat cadangan Mukhriz boleh direalisasikan dengan syarat ahli-ahli politik yang memegang tampuk kuasa sekarang ini mempunyai keazaman yang kuat untuk menjayakannya.

Dalam membuat penentuan terhadap sesuatu hal/isu, adalah lebih elok sebenarnya diserahkan kepada yang 'ahli' dalam hal tersebut. Hatta, dalam membincangkan hal/isu pendidikan yang dilontarkan oleh Mukhriz ini, jelas terdapat percanggahan pendapat antara ahli politik dan ahli akademik. Justeru pendapat yang 'ahli' biasanya lebih sesuai dipegang... wallahualam.