Sunday 7 February 2010

PAS lapor pada polis: Blogger sepatutnya lebih beretika

Hari ini, PAS Kelantan telah membuat laporan polis terhadap sebuah blog yang menggambarkan MB Kelantan sedang 'diliwat' oleh Anwar Ibrahim.
Isu seumpama ini kini semakin menjadi-jadi. Walaupun setiap individu itu bebas untuk memuatkan apa sahaja di dalam blog mereka, tetapi dalam hal seumpama ini sepatutnya para blogger harus lebih beretika. Blogger bebas memberi pandangan tetapi mesti bertanggungjawab tentang apa yang mereka muatkan dan seboleh mungkin jika ianya melibatkan individu, kumpulan atau anggota masyarakat, ianya biarlah berasas.
Dalam kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai ilustrasi serta gambar boleh dicipta di alam siber. Tetapi sepatutnya, janganlah kemajuan ini digunakan untuk tujuan-tujuan fitnah serta tidak bermoral.
Bukannya saya hendak memihak kepada sesiapa dalam isu ini. Pembaca sendiri boleh melihat di dalam banyak blog sosio-politik (tidak kira blog pro-BN atau Pro-PR) semakin ramai blogger yang mengenepikan etika-etika serta batas susila dalam menulis untuk tatapan umum. Keadaan ini hanya akan memberi gambaran buruk terhadap tahap atau kelas minda kita sebagai rakyat Malaysia.
Apa yang saya luahkan ini rasanya telah banyak kali juga disuarakan oleh blogger-blogger lain. Sedihnya, masih banyak lagi yang menjadikan blog masing-masing sebagai tempat melepas emosi secara yang tidak bermoral. Senario seperti ini sebenarnya tidak berlaku di dalam blog-blog sosio-politik di negara-negara maju yang rakyatnya mempunyai minda kelas pertama.

Monday 1 February 2010

Terima hakikat KJ punca kemelut

Petang ini terbaca artikel dari sebuah portal yang agak popular berkaitan 'huru-hara' yang sedang berlaku di dalam Pergerakan Pemuda UMNO saat ini. Klik di sini untuk membacanya.

Saya sangat bersetuju jika dikatakan masa yang lebih dari cukup telah diberikan kepada KJ untuk membuktikan bahawa dia benar-benar seorang pemimpin yang mampu menyatukan sayap utama UMNO itu.

Malah masa yang dimilikinya turut memadai jika beliau betul-betul ingin membuktikan bahawa tohmahan seteru-seteru politiknya selama ini bahawa dia seorang yang tamak dan gila jawatan adalah salah. Jika dia benar-benar 'berotak Oxford', tentu beliau lebih bijak mentadbir persepsi ahli-ahli parti, khasnya pemuda.

Sebaliknya, KJ terus menggoncang Pergerakan Pemuda dengan melantik pemimpin kurang berwibawa untuk menerajui kepimpinan Pemuda peringkat Negeri. Bukan sahaja di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan sebagaimana yang disebut dalam artikel, namun di Pergerakan Pemuda di Perlis juga sedang menghadapi krisis kepimpinan yang agak serius akibat dipimpin oleh orang yang kurang wibawa, yang juga dilantik oleh KJ sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada beliau semasa pemilihan yang lalu.

Kestabilan sayap parti adalah sangat penting bagi UMNO menghadapi PRU-13 yang dijangka amat sengit nanti. "Patah sayap, bertongkat paruh"... itu jika UMNO ada paruh! Situasi kini adalah saat getir yang perlu ditempuh oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Pengorbanan berlaku dan dituntut dalam pelbagai cara.

Pendapat peribadi saya, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun akar umbi telah sama-sama melihat bahawa KJ adalah salah satu faktor yang menidakkan penyatuan ahli sayap Pemuda. Cuma atas seribu satu alasan, ada yang mampu dengan lantang untuk melaungkan hakikat ini, sebaliknya seperti biasa sebilangan lagi mengamalkan "self-serving bias" dalam hal ini.

Kekusutan yang ada di dalam Pergerakan Pemuda harus segera dirungkai. Walau susah bagaimana pun, pemimpin dan ahli-ahli UMNO wajar tanpa sebarang sikap bias menerima hakikat bahawa KJ adalah antara penyebab kemelut serius di lapisan yang sepatutnya diharapkan lantang dan gagah mendayung bahtera parti ke medan perjuangan.