Saturday 30 January 2010

Diktator, cauvinis & komunis

Kebelakangan ini konflik, krisis dan kontroversi di kalangan pemimpin-pemimpin dalam parti komponen Pakatan Rakyat semakin ketara. Antaranya ialah isu-isu berkaitan Khalid Ibrahim, Dr. Hasan Ali, Khalid Samad, Zulkifli Nordin, Elizabeth Wong, Husam Musa dan juga kenyataan-kenyataan kontroversi Nik Aziz serta ahli keluarganya.
Lebih dari itu, pergeseran dan hubungan dingin antara pemimpin Pakatan Rakyat yang dikatakan telah lama berlaku kini semakin terserlah. Antara yang terbaru ialah kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai seorang yang cauvinis, bersifat diktator dan berfikiran komunis.
Malah mantan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut menegur Lim Guan Eng yang sehingga kini masih gagal untuk menunaikan janji semasa PRU-12 yang lalu, antaranya ialah untuk mewujudkan pilihanraya Majlis Tempatan dan sistem tender terbuka. Sebaliknya yang berlaku kini ialah Ketua Menteri tersebut menjadi Pengerusi Lembaga Tender Negeri.
Saya melihat situasi seumpama ini tidak sepatutnya wujud di dalam sebuah pakatan parti politik yang masih di dalam peringkat mencari keyakinan rakyat untuk mencabar parti se usia Barisan Nasional.
Konflik seperti ini juga bukan antara rencah proses sebuah parti menuju kematangan, sebaliknya hanya memperjelaskan kedudukan sebenar bahawa gabungan Pakatan Rakyat ini merupakan suatu 'perkahwinan' yang mempunyai kepentingan bagi memenuhi hasrat pemimpin, bukan bertujuan memenuhi hasrat parti mahu pun rakyat.

Friday 8 January 2010

Ini bukan cara kita

Nampaknya isu penggunaan perkataan kalimah Allah terus hangat dengan insiden perbuatan khianat ke atas bangunan gereja di Wangsa Maju dan Petaling Jaya. Walau apa pun pendapat pelbagai pihak mengenai keputusan mahkamah ke atas isu ini, perbuatan melakukan khianat seperti menyerang gereja atau mana-mana rumah ibadat bukan jalan penyelesaian. Ini bukan cara orang Malaysia, juga jelas bukan cara Islam menyelesaikan masalah.

Perbuatan hina seperti ini wajib dikutuk oleh semua rakyat Malaysia dan kita berharap kumpulan yang berfikiran sempit seumpama ini segera dibawa ke muka pengadilan. Dalam pada itu, jangan pula ada pihak yang bertindak balas dan mula membangkitkan api kebencian, ketakutan, kecelaruan dan prasangka melalui sebaran sms, email dan sebagainya dengan berita-berita palsu seolah sedang berlaku huru-hara di negara ini. Ini bukan cara kita.

Sebagai rakyat Malaysia yang maju, kita sepatutnya tidak terpengaruh dengan tindakan-tindakan yang bersifat provokatif. Isu ini telah pun dibawa ke mahkamah, dan walaupun keputusan semasa ada menimbulkan rasa tidak puas hati, mahkamah masih menyediakan prosedur serta saluran-saluran tertentu supaya jalan penyelesaian dapat dicari.

Satu lagi tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana rakyat Malaysia ialah cuba menuding jari kepada pihak parti politik serta kerajaan, dan menimbulkan prasangka di kalangan orang ramai bahawa semua ini suatu konspirasi.

.... apa saja kekalutan yang berlaku, semuanya dituduh 'konspirasi'. Ini bukan cara kita. Kalau macam ni bila nak maju?

Friday 1 January 2010

Hulu Selangor akan jadi medan pertama

Hari pertama tahun baru ini telah ada satu spekulasi yang bertiup kencang. Semasa sesi teh tarik petang tadi, seorang rakan buka cerita bahawa Pilihanraya Kecil yang pertama bagi 2010 ini kemungkinan sekali akan berlaku di Hulu Selangor.

Ahli Parlimen PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dikatakan akan meletakkan jawatan di atas sebab-sebab kesihatan dirinya yang berada di tahap kronik. Cerita berkenaan tahap kesihatan Ahli Parlimen tersebut sebelum ini pernah dimuatkan dalam blog Anwar Ibrahim. Beliau memang tidak sihat sejak sebelum PRU-12 lagi, tetapi dicalonkan juga oleh Pakatan Rakyat memandang pakatan tersebut kekurangan calon yang sesuai pada ketika itu.

Hmm... spekulasi ini mungkin juga betul kerana kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah pun mula berkempen di kawasan berkenaan. Esok (2 Jan), Anwar Ibrahim akan turun berceramah di Hulu Selangor. PM Najib pula dijadualkan hadir di kawasan tersebut minggu hadapan bersempena satu program yang dianjurkan oleh UMNO.

Mungkinkah Hulu Selangor akan jadi medan pertama bagi menguji sejauhmana penerimaan rakyat Selangor terhadap kewibawaan Kerajaan Selangor sekarang, atau mereka berhasrat nak 'rujuk' kembali dengan BN yang mereka jatuhkan talak pada Mac 2008 lalu.

2010


Time has no divisions to mark its passage. There is never a thunderstorm or blare of trumpets to announce the beginning of a new month or year. Even when a new century begins it is only we mortals who ring bells and fire off pistols... 'Selamat Tahun Baru 2010 everybody!'