Sunday, 12 July 2009

Menyingsing kudrat

Sememangnya sangat sukar bagi kita untuk menjustifikasikan sebarang kejayaan yang telah dicapai oleh Najib dalam tempoh 100 hari pertama beliau memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Slogan 1Malaysia yang dilaungkan sejak hari pertama Najib menjadi PM pun masih belum nampak jelas sebarang tanda-tanda yang ianya bakal berjaya. Bagaimanapun, kita akan berlaku tidak adil juga kepada Najib jika menyatakan bahawa beliau gagal membawa perubahan di dalam kerajaan yang diterajuinya mahupun parti yang ditunjanginya.

Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan kepada kita '11 hadiah untuk rakyat' semasa berucap di KLCC. Sebagai rakyat negara ini, saya rasa kita patut mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana jika benar-benar dilaksanakan serta ditadbir dengan betul, ia pasti mampu memberi kesan positif kepada seluruh rakyat. Sebelum ini juga kita biasa mendengar pelbagai pengumuman dari pelbagai pemimpin yang menjanjikan segunung harapan. Walaupun ada yang benar-benar dilaksanakan dengan jayanya, banyak juga yang tidak dapat dimanafaatkan.

Kini, apa yang diharapkan ialah supaya Najib dan kerajaan yang dipimpinnya dapat memastikan semua '11 hadiah' yang diumumkannya itu benar-benar disampaikan kepada rakyat serta golongan sasar yang betul. Jangan sampai jadi macam sesetengah penganjur peraduan dalam internet yang selalu mengumumkan nama pemenang hadiah itu dan ini, tapi akhirnya hadiah entah di mana, penganjurnya pun entah ke mana.

Najib kena berusaha memastikan supaya sistem penyampaian yang digunakan benar-benar efisyen serta tiada berlaku sebarang penyelewengan dalam melaksanakan apa yang disebutkannya itu, barulah rakyat boleh memberi pengesahan yang positif terhadap kewibawaan serta kejayaan kepimpinan beliau.

Dalam masa yang sama kita harus sedar bahawa untuk berjaya, semua pihak harus berperanan terutamanya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini. Oleh itu, bukan sahaja Najib serta seluruh jentera kerajaan, malah rakyat sendiri haruslah sama-sama menyingsing kudrat dan berusaha untuk kemajuan diri.

No comments: