Wednesday 15 July 2009

Erti 'Menang' dan 'Kalah' untuk PAS dan BN

Keputusan PRK Manik Urai malam tadi tidaklah mengejutkan saya kerana sebelum ini pun saya dah mengagak bahawa peluang PAS dan BN adalah 50:50. Walaupun PAS telah berjaya mengekalkan kerusinya di Manik Urai, saya percaya bahawa hakikatnya keresahan menyelubungi fikiran orang-orang PAS yang sebelum ini agak 'juah' melaungkan kepada khalayak tentang kekuatan parti mereka (terutama di Kelantan), tentang rancaknya gelombang penolakan rakyat terhadap BN dan tentang hebatnya 'kisah cinta' tiga segi PAS-PKR-DAP. Apa pun, betul, BN belum pernah menang dalam siri-siri PRK di Semenanjung sejak PRU-12.

Kita juga harus menerima hakikat bahawa jika BN berjaya mempengaruhi lagi 33 undi semalam, calon BNlah yang dinobatkan sebagai pemenang di N41 di negeri Kelantan itu. Dari mesej yang disampaikan oleh Najib yang berada di luar negara, nyata beliau tidak terlalu kecewa dengan keputusan itu, malah mungkin beliau kini telah boleh mencongak 'sesuatu' dari petunjuk yang diberi oleh pengundi Manik Urai.

Kemenangan tipis 65 undi juga harus diterima sebagai isyarat dari orang Kelantan bahawa semakin ramai orang Melayu di Kelantan kini melihat Nik Aziz tidak lebih dari hanya seorang yang 'tok guru' agama. Bukan pemimpin ulama' atau 'strategist' yang mampu melahirkan sumbangan besar demi memperkasakan sosio ekonomi rakyat Kelantan. Tempoh memerintah Kelantan selama hampir suku abad yang tercatit dalam CV Nik Aziz kini bukan lagi menjadi 'weightage' bagi menunjukkan kehebatan beliau, sebaliknya menjadi ukuran kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin yang 'handicap' dalam hal-ehwal ekonomi.

Arus pemikiran generasi PAS masa kini juga sudah tidak mengalir ke arah yang sehaluan dengan Nik Aziz. Hanya sebahagian ahli PAS yang masih 'berada-ada' terus mengusung tandu Nik Aziz. Golongan inilah saya lihat yang 'juah' kononnya mereka semakin hari-semakin kuat. Sebaliknya, sebahagian lagi pemimpin dan ahli PAS mengomel tidak puas hati di belakang mereka. Saya yakin pergolakan dalam PAS kerana isu-isu 'ulama' vs. erdogan', 'kerajaan perpaduan' serta isu 'Umno ajaran sesat' telah membuka mata ramai pengundi dan menyumbang kepada kemerosotan PAS.

Isu-isu 'royalti minyak', PPSMI, isu 'mahligai Khir Toyo' serta serangan peribadi terhadap Datin Rosmah bagaimanapun membantu PAS meraih sokongan walaupun pengundi sendiri tidak pasti akan kebenaran kisah yang diceramahkan oleh pemimpin PAS. Dalam hal ini, pada masa akan datang Umno dan BN harus lebih bijaksana mentadbir isu-isu ini supaya dalil-dalil yang lebih kukuh dapat diwarwarkan kepada rakyat bagi menangkis segala dakwaan pembangkang. BN harus sedar, kelas pemikiran serta minda rakyat masa kini telah jauh meningkat, walaupun saya sendiri yakin pada keseluruhannya rakyat negara ini belum memiliki minda kelas pertama.

Dari perspektif yang lain, kecerdikan Najib dalam berpolitik tidak boleh diperkecilkan. Najib ini pandai mengambil hati orang, walaupun PAS cuba menyerang isterinya dengan tuduhan 'wanita puaka' dalam Harakah. Apa yang saya maksudkan dapat kita lihat ketika Najib menjadi Menteri Pendidikan dan juga ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Dua tiga hari lepas pula, beliau mengumumkan hadiah untuk rakyat. Orang yang tidak terlalu tidak suka pada Najib mungkin menjuihkan mulut. Tapi orang yang tiada masalah dengan Najib (walaupun bukan penyokongnya) mungkin tetap berterima kasih kepada Najib. Kejayaan mengurangkan jurang perbezaan sokongan antara PAS-BN di Manik urai mungkin isyarat 'thumbs-up' kepada 'perubahan-perubahan' yang cuba dilakukan oleh Najib.

Sebab itulah saya kata walaupun BN kalah di Manik Urai, ada sedikit 'kejayaan' sebenarnya yang telah dicapai oleh parti ini. Sebaliknya walaupun PAS menang, ada 'kegagalan' disebalik senyum paksa yang diukir oleh ahli-ahli PAS. Sikap berkempen secara 'gentleman' yang ditunjukkan oleh Umno/BN juga tidak langsung memberi ruang kepada PAS untuk kali ini berlagak jujur tetapi menuding jari kepada BN dengan tuduhan-tuduhan - 'ada pengundi hantu', 'BN menipu guna undi pos' dan sebagainya.

Nik Aziz mungkin sudah boleh berfikir untuk berundur jika mahu PAS terus menjadi pesaing utama Umno, dan Najib kini mungkin menjadi lebih yakin untuk 'cuba-cuba' bubarkan DUN Perak...

No comments: