Monday 6 July 2009

Manek Urai: Peluang tetap 50-50

Pagi tadi mengesahkan bahawa hanya 2 calon yang akan bertanding di dalam Pilihanraya Kecil DUN N41 Manik Urai. Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah akan ditentang oleh calon BN Tuan Aziz Tuan Mat. Dalam perarakan menuju ke pusat penamaan calon, penyokong PAS agak lebih bilangannya. Berdasarkan situasi itu ada yang telah membuat telahan awal bahawa PAS lebih banyak penyokong dan lebih berpeluang untuk mengekalkan kerusi N41 baca di sini

Jumlah penyokong yang ramai pada hari penamaan calon sebenarnya bukan indikator yang betul untuk melihat parti mana yang lebih berpeluang. Sebaliknya, strategi-strategi yang tepat, tahap sensitiviti serta kefahaman yang jelas mengenai medan pertempuran atau war ground yang sebenar, selain kesungguhan usaha jentera kempen adalah faktor-faktor besar dalam mempengaruhi keputusan undi.

Walaupun PAS agak selesa bertanding di negeri yang mereka perintah sejak 20 tahun dahulu, peluang BN tidak boleh dinafikan begitu sahaja. PAS dilihat mempunyai lebih keupayaan dalam mempengaruhi fikiran pengundi melalui siri ceramah mereka, tetapi peluang BN tetap ada jika pandai mencari peluang. BN tidak boleh ulangi kesilapan-kesilapan semasa di PRK-PRK sebelum ini.

Kumpulan yang konon-kononnya Melayu-Ultra tidak perlu turun 'meramaikan majlis' di kawasan kampung seperti Manik Urai jika mereka sekadar nak buat sibuk kehulu-ke hilir dengan kereta mewah berwarna gelap berkempen untuk BN (kononnya). Dalam masa yang sama, BN tidak perlu lagi mengundang penceramah-penceramah bekas pemimpin PKR seperti Ezam dan rakan-rakannya, yang sudah tentu berceramah untuk 'melondehkan' serta mendedahkan keburukan Anwar Ibrahim serta juga PAS yang telah lama selesa di Kelantan. Hakikatnya, orang sudah jemu dengan ceramah seperti itu.

Orang kampung bukannya suka sangat jika orang bandar yang datang sekali- sekala ke kampung mereka, tunjuk kemewahan dan buat cakap pandai berkaitan itu dan ini dalam kampung mereka. Semuanya akan nampak 'plastik'. Jentera BN perlu cekap. BN juga perlu sedar, bukan semua generasi muda tertarik dengan PAS.

Bukan semua orang Manik Urai yakin PAS memperjuangkan Islam. Buktinya, jumlah majoriti kemenangan PAS dalam PRU-12 tidaklah begitu besar. Sejak berlaku kemelut politik yang melibatkan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, termasuklah isu kerajaan perpaduan baru-baru ini, sebahagian pengundi terutama yang ada akses kepada media alternatif sudah tentu akan menilai semula kewibawaan Nik Aziz dan kepimpinannya. Jika jentera BN benar-benar bekerja, kekurangan undi pada PRU-12 mungkin dapat ditebus.

BN juga seeloknya tidak lagi menggunakan saluran utama media cetak dan elektronik secara berlebihan yang tidak telus dan adil dalam membuat laporan. Bimbang ini hanya akan memupuk kebencian di hati rakyat. Orang di kampung bukan mudah hendak dirabunkan seperti itu.

Tempoh berkempen kini telah bermula, kedua-dua parti mempunyai peluang yang agak seimbang. Tidak kira isu yang dimainkan itu tempatan atau nasional, keberkesanan strategi serta kaedah kempen yang digunakan akan menentukan kemenangan. Peluang PAS dan BN tetap 50-50.

2 comments:

politikusmengkritik said...

saya bersetuju dgn pendapat saudara ttg perkara-perkara yang perlu dielakkan di Manek Urai...utk menang, umno tidak perlu ke hulu kehilir berbaju linen putih dan berkereta mewah bewarna hitam..memadai cukup dengan kereta-kereta malaysia sahaja...jentera praya juga perlu bergerak secara bersepadu dan tidak berasingan dengan strategi masing2...dan yang terakhir, kepada pemimpin2 yg meraskan diri mereka adalah liabilii kepada parti,usah turun dan hanya cuma memantau dari jauh...nak menang mudah, jangan bagi orang meluat dengan UMNO..

Anonymous said...

pudam76
Sebenarnya pada pandangan aku orang Kelantan yang paling cerdik dlm Malaysia pertahankan Bumi bertuah mereka sebab kalau UMNO menang pembangunan tada. aku dok kat perlimen padang besar pilihanraya tahun 2004 Perlis ada 2 menteri penuh 1 menteri besar tapi apa kemajuan yang dapat.Habuk pun tara...yang ada penipuan tentang pembangunan negeri ini.tp kat Sanglang bila jatuh kat tangan ustaz Hasim Jasin kerajaan terus buat pembangunan di siti,tar sana tar sini.Sama gak kelantan jgn biaq UMNO perintah sbb kalau biaq kelantan dia pun jual.tgk awang adek punya curut berapa rm....jd lebih baik pas merintah moral remaja terkawal.Buat apo kalau kelulusan tinggi moral takder biaq jual ikan kalau pandai agama.Pas2 umno asyik dok nyanyi lagu dulu jer masa kempen jalan projek penuh...pas2 habis kempen projek pun banyak terbengkalai.oleh itu berilah peluang rakyat kelantan memilih pas utuk kesejahteraan rakyat malaysia.entah la umno pun makin kalut...mcm...mam benda.