Kelicinan proses penyerahan pucuk kepimpinan UMNO dalam perhimpunan yang baru berakhir 28 Mac lalu meredakan sedikit gelora politik tanahair. Sejak PRU-12 yang lalu, banyak perkara telah disaksikan oleh rakyat Malaysia antaranya; BN menang tipis dan tidak lagi mempunyai 2/3 suara dalam Parlimen Malaysia, banyak calon UMNO tewas di tangan calon-calon Pakatan Rakyat, 5 negeri serta Kuala Lumpur dikuasai PR, Perak jatuh kembali ke tangan BN kerana krisis PKR-DAP, Sultan, polis dan SPRM diseret ke dalam kancah politik, persidangan bawah pokok serta beberapa episod yang mencabar kesabaran Melayu.
Kesan perubahan lanskap politik setelah PRU-12, ahli-ahli UMNO melaungkan perubahan serta transformasi corak kepimpinan dan mereka mengharapkan perubahan tersebut berlaku dalam proses pemilihan yang baru berlalu. Hasilnya, UMNO menerima saf kepimpinan baru yang sangat hampir kepada aspirasi ahlinya, namun keresahan ahli-ahli tetap ada kerana palitan lumpur politik wang masih terlihat dalam saf kepimpinan baru itu. Apatah lagi resepi yang masih panas itu terus sahaja diuji dalam tiga Pilihan Raya Kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai.
Posmotem-posmotem yang dilakukan selepas PRU-12 lalu menunjukkan sebahagian besar pengundi dari generasi X danY Melayu, Cina dan India tidak memilih BN. Parti UMNO dan BN seharusnya telah belajar tentang apa yang ada dalam kotak fikiran generasi yang lahir semasa era DEB ini. Majoriti golongan ini ada latar belakang pendidikan yang agak baik atau baik, dan majoriti mereka terbebas dari belenggu kemiskinan hasil DEB. Generasi X dan Y di negara ini sebenarnya telah menikmati berbagai manafaat hasil kemajuan yang di bawa oleh Kerajaan yang tidak siapa boleh nafikan telah diterajui UMNO sejak merdeka.
Strategi pakatan pembangkang yang menabur perasaan benci telah berjaya meracuni minda sebahagian besar belia Melayu, Cina dan India. Kerajaan BN dituduh mendiskriminasi kaum Cina dan India. Belia Melayu terutama dari generasi Y yang agak buta sejarah lebih selesa dengan 'prinsip kesamarataan' tanpa langsung menyedari bahawa konsep 'bumiputraisme'lah yang telah membantu meletakkan mereka di posisi di mana mereka berada sekarang.
Fikiran generasi belia Melayu teracun untuk membenci UMNO dan BN kerana kempen politik membenci yang tanpa henti yang dilancarkan oleh PAS, DAP dan PKR. Parti UMNO sentiasa dipersalah oleh parti pembangkang. UMNO disabitkan dengan politik wang. Sebenarnya dalam PAS juga ada politik wang, serta ada krisis ulamak dan erdogan. Politik wang dalam PKR dan DAP pun sama hebatnya. Cuma pekong parti pembangkang tidak dibicarakan di media perdana. Ini UMNO sendiri yang silap. UMNO tiada medianya sendiri sebagaimana PAS ada Harakah dan PKR ada Suara Keadilan. Masalah dalaman parti sepatutnya dibicarakan dalam kelambu UMNO sahaja. Tetapi, disebabkan tiada media sendiri, hal permasalahan UMNO diperbahaskan dalam media arus perdana. Semua orang tahu dan wujud persepsi negatif terhadap UMNO dan BN umumnya.
Belia hari ini pula tidak sedar hasil perjuangan UMNO, namun ramai dari mereka berkenan kepada pembangkang yang belum pernah mereka nikmati hasil perjuangannya. Ini mungkin kerana parti pembangkang nampak radikal. Jiwa orang muda biasanya radikal.
Jika dibuat profiling, pengundi Melayu merupakan kumpulan terbesar berbanding Cina, India dan lain-lain kaum. Namun Melayu dipecahkan kepada penyokong UMNO, PAS dan PKR. Ada juga yang selesa di atas pagar. Perpecahan ini antara faktor mengapa Melayu kini lemah. Jika disuruh, mungkin kini tiada lagi belia Melayu dari generasi Y yang berani melaungkan konsep ketuanan Melayu di khalayak. Mereka takut ditentang oleh rakan mereka sendiri yang bukan Melayu yang nyata kini semakin lantang. Keistimewaan Melayu kini ditentang oleh bukan Melayu dan sebilangan Melayu sendiri. Melayu dianggap kaum pendatang di tanahair sendiri. Kaum pendatang tidak boleh dipanggil pendatang. Melayu semakin lemah, bukan Melayu makin bertenaga!
Sejak Mac 2008 juga, UMNO tewas dalam beberapa Pilihan Raya Kecil. Antara faktornya, kurang sokongan generasi X dan Y yang banyak terdedah dengan media maya. Majoriti belia jinak dengan internet atau ICT. Sebelum Mac 2008 yang lalu, oleh kerana tiada kajian empirikal, bolehlah dikatakan secara kasarnya 90% bloggers menyokong pakatan pembangkang. Kempen serta agenda politik yang membenci UMNO dan BN oleh pembangkang menggunakan ICT, satu infrastruktur yang disediakan oleh BN. Malangnya pemimpin BN sendiri mungkin tidak cybernet-friendly. Sementara itu, sejak akhir-akhir ini barulah wujud tentera-tentera cyber yang pro-UMNO/BN.
Semasa pilihan raya, parti pembangkang menyediakan kemudahan-kemudahan tertentu untuk pasukan pejuang cybernya. Ini sama ada tidak berlaku atau tidak diutamakan dipihak BN. Bermula beberapa hari sebelum penamaan calon hinggalah tarikh pilihanraya, pasukan bloggers pro-pembangkang telah berkampung di lokasi pilihanraya. Merekalah yang mewartakan updates pro-pembangkang dan berita panas tersebut enak dibaca oleh generasi X dan Y, lalu mereka menterjemahkannya dalam bentuk undi. Pembangkang sudah lama percaya kepada keberkesanan pejuang cybernet dan mereka benar-benar mengeksploitasinya, sedangkan UMNO dan BN baru nak mula sedar.
Sekiranya UMNO dan BN tidak mahu terus mengalami kekalahan dalam pilihanraya-pilihanraya selepas ini, serta demi kelangsungan politik yang mampu memperkasakan Melayu, denyutan nadi generasi X dan Y haruslah mampu dibaca dan diurus secara yang lebih berkesan.
Monday, 30 March 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment