Sunday, 25 April 2010

Selepas menang

Keputusan rasmi telah diketahui. Calon BN, P.Kamalanathan (24,997 undi) menang menewaskan Dato' Zaid Ibrahim (23,272 undi) dengan majoriti 1,725 undi. Nampaknya strategi BN pada kali ini berjaya walaupun pada mulanya nampak ada gunung yang perlu didaki kerana Hulu Selangor yang mempunyai majoriti pengundi Melayu (54%) itu seolah memberi isyarat mereka mahukan calon Melayu.

Namun begitu, strategi meletakkan P.Kamalanathan, calon baru yang mempunyai kebolehan bertutur dengan bahasa Melayu berkualiti mungkin mengubah pelbagai persepsi. Zaid pula tak tertanggung serangan kempen yang menjadikan keperibadiannya sebagai sasaran. Dapatan kajiselidik beberapa badan NGO sebelum hari pengundian yang mengatakan kemenangan bakal memihak kepada Zaid nyata tersasar. Ombak rasa hati pengundi sukar dibaca.

Tak mengapalah, BN menang. Kemenangan ini pasti memberi impak besar ke atas moral BN yang melihat PRU-13 sebagai 'ultimate goal'. Oleh yang demikian, dek kerana menang di Hulu Selangor pemimpin-pemimpin BN janganlah nak mula bercakap besar dan cakap tinggi. Pengundi nampaknya dah mula sejuk hati dengan BN, jangan nak buat mereka kembali 'meluat'.

Semasa kempen di Hulu Selangor, ada banyak janji tinggi menggunung yang dilafazkan. BN kena segera tunaikan janji-janji tersebut jika tidak mahu berputih mata di PRU-13 nanti. Kemenangan BN banyak dibantu oleh pengundi dari kawasan tanah rancangan. Bukan sedikit yang dibelanjakan dan dijanjikan untuk menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut.

Ini sudah tentu akan dimanipulasikan oleh pembangkang bagi dijadikan alasan kekalahan mereka. Mereka akan berkata BN menang kerana 'rasuah' kepada pengundi tanah rancangan. Kepada pembangkang, sebarang penyelesaian masalah rakyat oleh BN yang mempunyai implikasi kewangan adalah rasuah, lebih-lebih lagi bila ia diumumkan menjelang pilihanraya. Alasan ini diberikan bila setiap kali parti pembangkang kalah.

Keputusan di Hulu Selangor juga masih menunjukkan dua pertiga pengundi Cina masih tidak memberi undi kepada BN. Mereka masih meyakini bahawa DAP dan Pakatan Rakyat dapat mengubah nasib mereka. BN ada banyak kerja untuk menyelesaikan perkara ini. Sekarang bukan lagi zaman BN boleh menang sekalipun meletak ketul batu sebagai calon.

Calon yang akan menang pilihanraya ialah calon berkualiti, buka calon yang kuat melobi. Najib juga kena peka dan tak boleh lagi mengulangi kesilapan Abdullah Badawi yang selamba mengenepikan 86 Ketua Bahagian UMNO sebagai calon di kawasan di mana mereka dihormati masyarakat.

Moga-moga kemenangan di Hulu Selangor menjadi petunjuk yang 'reliable' kepada PRU-13 nanti. Insyaallah.

MELODI londeh YB PKR

Baru sekejap tadi tertonton program Melodi di TV3. Umum pun tahu program ini sentiasa panas dengan cerita-cerita sensasi artis dalam dan luar negara. Cuma hari ini 'cerita' yang dipaparkan bertaraf 'extra hot'. Apa tidaknya, sekumpulan artis terkenal tanah air naik berang dan memberontak kerana sebuah syarikat filem yang dipunyai oleh seorang pembesar negeri Selangor telah menipu mereka.

Slot Melodi telah memaparkan rakaman pertemuan antara YB tersebut dengan artis-artis dan krew filem yang sedang berang kerana kerja-kerja mereka tidak dibayar oleh YB walaupun setelah sekian lama. Bukan sahaja tidak membayar gaji/upah pekerja, selain menipu, YB tersebut turut menghantar pesanan ringkas di telefon yang berbentuk ugutan dan hinaan kepada pihak yang membuat tuntutan. Adengan maki hamun dan ugut mengugut antara kedua pihak semasa pertemuan itu juga turut dipapar dalam slot sepanjang 5 minit itu. Amat memalukan dan menjijikkan.

Kalau tidak ada orang tengah yang meleraikan pertelingkahan itu, memang YB tu dah pecah muka agaknya kena hentak dengan pelakon dan krew yang sangat marah itu. Bagi sesiapa yang ada menonton slot tersebut, memang amat jelas keperibadian negatif milik YB dari Selangor ini terlondeh di situ. Saya yang melihat pun terasa simpati dengan rakyat yang diwakili ADUN 'rosak' seumpama itu... kesian org Batu Caves!

Monday, 19 April 2010

Wakil Rakyat bukan tuan rakyat

Sehari dua ini saya turut 'beraya' di Hulu Selangor. Semasa di sana singgah untuk mendengar beberapa BN dan juga PR. Sekali-sekala singgah menikmati teh tarik di warung sambil berbual dengan orang Hulu Selangor.

Antara gelagat orang politik yang saya lihat mundar mandir di sana ialah mereka ini berlagak sebagai tuan dan 'boss besar'. Ada yang ala-ala Godfather. Sebahagian 'orang politik' ini adalah wakil-wakil rakyat yang datang dari merata negeri. Ada wakil BN ada wakil PR. Sikap 'keelitan' juga jelas diperagakan.

Orang kampung banyak yang menjeling kerana sesetengah tu berlebih-lebihan. Walhal, mereka dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing hanya untuk menjadi wakil. Mereka terlupa bahawa rakyatlah 'boss' mereka. Sikap keangkuhan pemimpin seperti inilah yang sebenarnya melebarkan jurang antara pemimpin dengan rakyat jelata.

Teringat kepada Allahyarham wakil rakyat di kampung saya (di Perlis) ketika saya masih remaja dahulu. Beliau penuh dengan sikap rendah diri dan tidak langsung menampakkan yang dia 'orang besar'. Hingga ke hari ini kalau ada orang berhimpun kerana ada keramaian kenduri atau gotong-royong, nama beliau masih jadi sebutan.

Calon-calon yang hendak bertanding jangan berlagak macam 'boss', walaupun selepas menang nanti. Mereka kena sedar diri bahawa mereka dipilih untuk jadi wakil yang sepatutnya menyelami hati rakyat dan seterusnya membantu rakyat supaya hidup mereka lebih terbela. Cuma masalahnya, yang terpilih jadi calon pun adalah dari kalangan mereka yang memang 'boss besar'. Macamana nak selesa jadi orang kebanyakan dan menyelami kesusahan rakyat?

Bila balik ke KL, teringat pula zaman sekolah dulu. Kita biasa pilih 'ketua darjah' atau ketua kelas kita dari kalangan rakan sedarjah (bilik kelas yang sama). Tidak pernah dibuat rasanya cari orang dari kelas lain untuk jadi ketua darjah kita...

Wednesday, 14 April 2010

MIC kasi kepala pening!

Sebahagian daripada ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor hari ini memberi kata dua kepada kepemimpinan Barisan Nasional agar mecalonkan timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel di parlimen Hulu Selangor atau menghadapi pembubaran cawangannya.

Tindakan itu dilihat menghangatkan lagi suasana apabila BN dijangka mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini. Hampir separuh daripada ketua cawangan yang mewakili kira-kira 30 daripada 72 ketua cawangan hadir di ibupejabat MIC bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru untuk meluahkan sokongan kepada Palanivel.

Menurut mereka jika cadangan supaya Palanivel dicalonkan ditolak oleh BN, tindakan itu sesuatu yang memalukan kepada MIC dan pemimpin parti itu. “Kami tidak akan keluar mengundi jika calonnya bukan Palanivel,” kata K Allo Pillai, seorang penyokong akar umbi yang membayangkan BN mungkin dipulaukan.

Ketua penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy juga mengugut bahawa semua cawangan MIC di kawasan pilihan raya itu akan ditutup, kika tuntutan mereka agara Palnivel dicalonkan ditolak. "Kami menyokong penuh Palanivel kerana dia pemimpin berwibawa, bersih dan telah menjadi penduduk di kawasan ini untuk hampir 15 tahun, “ kata Raily.

Beliau menjelaskan Palanivel, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak semestinya dilahirkan di kawasan pilihan raya itu untuk diiktiraf sebagai anak tempatan. "Dia (Palanivel) kenal siapa Ah Kaw, Ahmad dan Ramasamy di sini kerana telah berada 18 tahun di sini,” katanya.

Ditanya sama ada mereka akan menyokong calon MIC yang lain, Raily berkata: “Jawatankuasa pusat MIC telah memutuskan Palanivel sebagai calon Hulu Selangor dan perkara itu adalah muktamad.” - Malaysiakini

Komen:
PM Najib sekarang lagi pening dengan MIC ni. Bagi kena tak bagi pun kena...

Hulu Selangor dan "emotional intelligence"

Sejak tarikh kekosongan kerusi Ahli Parlimen Hulu Selangor, orang dah mula mencongak siapa bakal jadi calon pula kali ini. Orang Hulu Selangor dah pernah merasa mempunyai wakil dari BN dan juga Pakatan Rakyat. Mana yang bagus dan mana yang hampas. Parti politik perlu memiliki "emotional intelligence" untuk menang dalam PRK Hulu Selangor kali ini, malah dalam mana-mana pilihanraya pun itu suatu kriteria penentu. Najib pun selalu kata, kita kena tahu 'denyut nadi rakyat'.

Dulu wakil rakyat BN, Palanivel jadi orang besar Hulu Selangor selama 18 tahun. Hulu Selangor yang punya peratusan pengundi Melayu yang besar itu tak banyak berubah. Mungkin wakil rakyat berbangsa India itu gagal menghayati 'denyut nadi rakyat'. Lepas ribut melanda, orang Hulu Selangor cuba-cuba bagi pada calon Melayu pula. Tapi masa tu yang ada hanya calon Pakatan Rakyat.... pun kalibernya tak seberapa juga.

Dengan apa yang dirasai sejak 20 tahun lalu, orang Hulu Selangor mahukan calon mereka dari golongan Melayu. Sekurang-kurangnya yang boleh tolong baca Al-Fatihah bila mereka mati nanti. Ini yang rakyat mahukan. Pakatan Rakyat telah mengumumkan Zaid Ibrahim sebagai calon mereka bagi PRK Hulu Selangor. BN belum umum siapa calon, tapi awal-awal lagi Najib dah maklumkan bahawa calon mereka nanti dari MIC. It seems like he doesn't walk the talk (at least in this case!)... tak tahulah pulak kalau ada Melayu dalam MIC?

Walaupun atas semangat 1Malaysia, kebijaksanaan mengurus tadbir persepsi dan emosi rakyat tetap menjadi urusan politik. Ya lah... atas semangat parti, jentera pilihanraya tetap akan berkampung dan berkempen di Hulu Selangor. Bilangan poster dan banner bukan penentu kemenangan. Kalau kita berkesempatan melawat beberapa negara maju sehari sebelum pilihanraya umum mereka, silap-silap satu poster parti politik pun kita tak dapat lihat digantung di tiang lampu.

Apa yang penting, parti bertanding harus sensitif, mampu memahami dan mampu menjangka emosi pengundi. Itu sesuatu yang pasti kalau nak menang pilihanraya. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kepala parti politik masa kini selalu buat kita pening.