Saturday 30 January 2010

Diktator, cauvinis & komunis

Kebelakangan ini konflik, krisis dan kontroversi di kalangan pemimpin-pemimpin dalam parti komponen Pakatan Rakyat semakin ketara. Antaranya ialah isu-isu berkaitan Khalid Ibrahim, Dr. Hasan Ali, Khalid Samad, Zulkifli Nordin, Elizabeth Wong, Husam Musa dan juga kenyataan-kenyataan kontroversi Nik Aziz serta ahli keluarganya.
Lebih dari itu, pergeseran dan hubungan dingin antara pemimpin Pakatan Rakyat yang dikatakan telah lama berlaku kini semakin terserlah. Antara yang terbaru ialah kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai seorang yang cauvinis, bersifat diktator dan berfikiran komunis.
Malah mantan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut menegur Lim Guan Eng yang sehingga kini masih gagal untuk menunaikan janji semasa PRU-12 yang lalu, antaranya ialah untuk mewujudkan pilihanraya Majlis Tempatan dan sistem tender terbuka. Sebaliknya yang berlaku kini ialah Ketua Menteri tersebut menjadi Pengerusi Lembaga Tender Negeri.
Saya melihat situasi seumpama ini tidak sepatutnya wujud di dalam sebuah pakatan parti politik yang masih di dalam peringkat mencari keyakinan rakyat untuk mencabar parti se usia Barisan Nasional.
Konflik seperti ini juga bukan antara rencah proses sebuah parti menuju kematangan, sebaliknya hanya memperjelaskan kedudukan sebenar bahawa gabungan Pakatan Rakyat ini merupakan suatu 'perkahwinan' yang mempunyai kepentingan bagi memenuhi hasrat pemimpin, bukan bertujuan memenuhi hasrat parti mahu pun rakyat.

No comments: