Friday, 18 December 2009

Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah

Saya tertarik dengan tema Maal Hijrah kali ini yang menepati konsep 1Malaysia. Ia amat baik bagi tujuan menyuburkan keharmonian antara kaum di negara ini. Ukhuwah adalah persaudaraan. Ia adalah elemen yang sangat penting bagi membina Malaysia yang harmoni, kerana kemajmukan kaum serta agama yang dianuti rakyatnya.

Bukan sekadar menjadi tema, semangat ukhuwah ini harus dipupuk dan disuburkan. Seluruh rakyat negara ini tidak kira apa kaum serta agama yang mereka anuti harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk membangunkan negara serta menjaga keharmoniannya. Selama ini pun, ukhuwah memang telah lama wujud di negara ini. Kalau tidak masakan rakyat Malaysia boleh berkongsi hidup sejak lebih 50 tahun kemerdekaan.

Apa pun, ada 'deringan' di sana dan sini pada ketika ini oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mensabotaj keharmonian tersebut. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini suka memanipulasi keadaan bagi menimba keuntungan diri dalam jangka pendek. Mereka perlu ingat, jangan sampai 'bahagia semusim, tetapi akhirnya derita berpanjangan'. Sejarah zaman Kesultanan Melayu dahulu ada pelbagai pengajaran yang berkaitan situasi ini.

Ada dua konsep ukhuwah, iaitu insani dan Islam. Ukhuwah insani adalah hubungan antara manusia dengan manusia. Ia berlaku kawasan kejiranan, di pejabat, di institusi pengajian dan malah di mana-mana tempat manusia berurusan sesama manusia. Kalau anda tidak kenal jiran anda dan tidak pernah bertegur sapa, maknanya tiada semangat ukhuwah di situ. Ada orang tidak pernah bertegur sapa dengan rakan sepejabat. Sebaliknya, di era komunikasi ini ramai yang tidak pernah bersua muka boleh berbicara seolah-olah telah kenal 10 tahun dulu. Ini boleh dilihat dalam media sosial seperti facebook.

Islam memang tidak pernah mengajar umatnya berselisihan. Kadang-kadang kerana tak sependapat dalam hal yang kecil dan kurang penting, manusia sanggup mencipta dosa. Contohnya, dalam hal cara amalan ibadah dibuat. Adalah suatu perkara biasa jika kita punya pandangan yang berbeza. Manusia memang unik. Jangan terlalu cepat mengamalkan sikap aku betul, dan engkaulah yang sentiasa salah. Jangan pula menghina agama lain yang dianuti rakan-rakan dari kaum lain (Cina dan India misalnya).

Ummah akan roboh jika ukhuwah hancur. Semoga Allah memberi hidayah dan inayah, serta memberi pertolongan bagi menyatukan sebarang kumpulan yang berbeza pendapat di negara ini. Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1431H.

No comments: