Tuesday 20 October 2009

PAS for All dan 1Malaysia

Dulu saya pernah kata politik itu hampir sama dengan strategi pemasaran. Dalam strategi pemasaran ada branding dan re-branding, positioning dan re-positioning, target market, market penetration, product oriented dan customer oriented. Semua ini juga ada dalam strategi politik.

Konsep 'PAS for All' dilaungkan oleh parti itu merupakan program promosi bertujuan untuk meluaskan sasaran pasaran parti tersebut kepada kaum bukan Islam di negara ini. Pada peringkat awal, slogan 'PAS for All' dilihat berjaya memberi impak yang positif dan berjaya menambat hati pengundi bukan Melayu serta 'orang atas pagar' semasa PRU-12 yang lalu.

PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai orang bukan Islam, dan parti itu sanggup berjanji untuk menaikkan taraf KPP yang merupakan sayap parti tersebut supaya setaraf dengan Dewan. Namun janji tersebut masih belum mampu dikota lantaran terdapat banyak suara-suara tidak bersetuju di kalangan ahli PAS berkaitan idea ini. Ini melahirkan kebimbangan dan keraguan dikalangan bukan Melayu terhadap keikhlasan, kemampuan serta kesungguhan PAS merealisasikan 'PAS for All'.

Persaingan antara PAS dan UMNO/BN bagaikan 'Cola War'. Najib muncul dengan program promosinya '1Malaysia' yang objektifnya hampir sama dengan PAS for All, iaitu untuk memikat hati pengundi bukan Melayu. Penekanan 1Malaysia ialah terhadap usaha-usaha UMNO/BN untuk menzahirkan keadilan serta perjuangan untuk semua rakyat Malaysia. Dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas, pemimpin serta perwakilan langsung tidak menyebut hal perkauman. Kesungguhan yang ditunjukkan, jika berjaya direalisasikan dengan cepat mampu menarik kembali keyakinan bukan Melayu terhadap kepimpinan Najib.

Seperti dalam pemasaran, sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu, pelanggan menilai dengan melihat serta mencari kepastian samada rekabentuk serta kualiti produk yang dipasarkan sama seperti yang dijanjikan dalam program promosi. Begitu jugalah halnya dalam politik negara kita. Sebelum menghadapi PRU-13, rakyat akan mencari kepastian dan kebenaran antara PAS for All dan 1Malaysia.

No comments: