Kalau kita suka ikuti perkembangan politik di Malaysia, tentu kita sudah kenal akan pemimpin parti PAS yang seorang ini. Pengikut-pengikut beliau memanggil beliau 'tuan guru'. Mungkin semua ahli PAS dan sebahagian ahli parti lain menggolongkan beliau ini sebagai ulama'. Ada juga yang tidak bersetuju dengan jolokan-jolokan ini dan menganggap beliau hanya seorang ahli politik yang menggunakan Islam sebagai 'tema' dan 'vehicle' bagi perjuangan politiknya. Apa pun, orang ini telah menjadi Menteri Besar di negeri Cik Siti Wan Kembang untuk sekian lama.
Nik Aziz memang sudah dikenali sebagai seorang ahli politik yang selalu mengeluarkan ungkapan serta kata-kata yang tidak masuk akal, serta kata-kata yang tidak sepatut keluar dari mulut seorang yang dianggap ulama'. Selalunya, kata-kata yang dilemparkannya adalah bertujuan untuk menyerang parti lawan terutama UMNO. Yang terbaru, UMNO disifatkannya sebagai komunis dan disamakan dengan suatu ajaran sesat. Sudah tentu orang UMNO marah dengan kata-kata beliau manakala pengikut PAS mungkin tersenyum puas.
Oleh kerana Nik Aziz sudah biasa menyerang parti lawannya dengan kata-kata yang tidak masuk akal, mungkin juga betul karenah beliau tak patut diambil peduli dan tak perlu buang masa untuk pergi membuat laporan polis. Lagi pun, akhir-akhir ini cerita buat laporan polis kerana hal-hal politik ini dah jadi perkara biasa di Malaysia. Orang pun dah tak begitu ambil kisah.
Bagi Nik Aziz, beliau dapat political mileage bila buat tuduhan seperti itu. Lagi isu tersebut dimuatkan dalam berita, nama beliau lagi 'naik', apatah lagi beliau memang handal putar cerita dalam mempertahankan kenyataannya. Tentu kita masih ingat isu 'Tuhan mencarut' dan juga isu 'berkawan dengan syaitan' yang beliau timbulkan dulu.
Tidak seperti selalu, hari ini saya pulang dari tempat kerja dengan menaiki LRT. Semasa di dalam perjalanan dari Masjid Jamek menuju stesen Taman Bahagia, saya berdiri betul-betul di hadapan 2 orang penumpang yang asyik bercerita mengenai 'kontroversi' kenyataan Nik Aziz itu. (Eloklah saya namakan mereka Encik A dan Encik B)
Encik A nampak agak marah bila mereka berbual mengenai kenyataan Nik Aziz di Manek Urai yang memberi contoh bahawa seseorang itu tidak perlu ada ekor dan tanduk untuk diumpamakan sebagai 'rusa masuk kampung'. Kenyataan pemimpin PAS itu adalah merujuk pendapatnya bahawa UMNO layak disamakan dengan komunis dan ajaran sesat walaupun hanya mempunyai satu atau beberapa persamaan dengan komunis.
Encik B pula menyambut, jika begitu kita pun boleh menyamakan Nik Aziz dengan iblis, kerana dalam banyak-banyak iblis, ada iblis yang tugasnya memecah belahkan umat manusia atau memecah belahkan sesuatu kaum. Oleh kerana kita lihat Nik Aziz mempunyai salah satu dari ciri-ciri iblis tersebut (suka buat kenyataan yang mengelirukan bertujuan memecah-belahkan Melayu serta menolak perpaduan), dia tidak perlu ada ekor atau tanduk untuk kita samakan dengan iblis.
Ya, iblis berbangsa Melayu! kata Encik A bersetuju dengan pendapat rakannya itu sambil mereka ketawa kecil. Tatkala itu, saya hampir tidak sedar LRT telah pun berhenti di stesen Taman Bahagia...