Sunday, 26 April 2009

Najib, perubahan dan persepsi

Semasa era Abdullah, rakyat menuntut perubahan. Sebaik menjadi PM, Najib menjanjikan perubahan. Dalam tempoh yang singkat ini Najib cuba membuktikan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk mengotakan apa yang dijanjikannya. Slogan 1Malaysia, senarai kabinet baru, pembubaran beberapa Kementerian, penghapusan 30% kuota bumiputera di dalam sub-sektor perkhidmatan dan yang terbaru ialah 'perubahan' di dalam UMNO iaitu berkaitan peneraju Badan Perhubungan UMNO Negeri serta perlantikan anggota MT.

Rakyat serta ahli UMNO sendiri pada ketika ini mungkin tidak mengetahui dengan jelas mengenai strategi serta halatuju yang ingin dibawa oleh PM baru ini, namun begitu 'perubahan-perubahan' yang beliau sedang lakukan telah membentuk persepsi di kalangan masyarakat umum terhadap tindakan Najib. Perlu kita ingat, proses pembentukan persepsi ini juga akan dipengaruhi oleh perkara-perkara lain yang berlaku sama ada sebelum atau semasa.

Sudah tentu tidak semua orang mempunyai persepsi yang sama, tetapi saya rasa setakat ini ada ramai orang yang beranggapan bahawa Najib cuba untuk menganjurkan satu kompromi dengan tujuan memancing kembali sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN. Tujuannya mungkin baik iaitu bagi memperkukuhkan kembali kerajaan yang memerintah. Akan tetapi persepsi orang Melayu terhadap strategi yang Najib guna agak meragukan. Najib dilihat sebagai cuba menjadikan hak-hak Melayu sebagai korban kompromi tersebut.

Itu hanya satu dari pelbagai persepsi. Namun, persepsi sebegini amat meresahkan. Sebagai PM, Najib meneraju negara dan dalam masa yang sama beliau meneraju sebuah parti yang memperjuangkan Melayu. Najib boleh mendendangkan 'rentak kontemporari politik semasa' tetapi hak Melayu jangan tergadai. UMNO yang tulin akan sentiasa menuntut supaya hak-hak Melayu yang telah dipersetujui semua kaum sejak merdeka dikekalkan. Strategi semasa Najib yang liberal terutama dalam isu-isu ekonomi mungkin dilihat oleh ahli UMNO sebagai tersasar dari perjuangan yang tulin.

Mungkin segelintir rakyat semakin lega dengan 'perubahan' yang berlaku di dalam politik negara kita sekarang ini yang banyak memihak kepada mereka, namun Melayu mempersoal. Patutkah ini dijadikan strategi untuk menggamit sokongan?

Saya akui, bukan senang menjadi pemimpin. Kata John F. Kennedy, walau apapun keputusan yang dibuat oleh seorang pemimpin, akan ada sekurang-kurangnya sesuku rakyatnya yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Namun, Melayu di Malaysia ini bukan hanya sesuku dari jumlah rakyat! Betulkah apa yang Najib buat sekarang ini? Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran...

1 comment:

red rooster said...

Sdra Nizar,
Saya setuju jika dikenakan penalti yang berat bagi wakil rakyat yg 'letak jawatan' tanpa sebarang sebab munasabah.
Terima kasih di atas komen sdra.