Saturday, 18 April 2009

Satu Malaysia: Eksploitasi yang mampu meranap

"... atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia. Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan." Demikianlah antara ucapan yang pertama sekali dilaungkan oleh Najib sebaik beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sejak itu, pelbagai tafsiran, pemahaman serta persepsi telah dibuat oleh pelbagai pihak dalam usaha untuk mengertikan maksud "Satu Malaysia" yang dilafazkan Najib itu. Sejak itu juga, ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi konsep Satu Malaysia ini dengan merencahkannya bersama-sama sentimen perkauman yang sering menjadi permainan parti politik tertentu sejak sekian lama. Sepatutnya konsep Satu Malaysia ini ditafsirkan dengan berpaksikan perlembagaan negara ini.

Paling perlu digusari ialah sentimen yang dimainkan ini oleh beberapa media bukan Melayu yang merujuk Satu Malaysia sebagai sama dengan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Sejak perkataan Satu Malaysia keluar dari mulut Najib, konsep ini dieksploitasi. Sudah tentulah dalangnya DAP yang kini dilihat sangat berjaya memainkan peranannya untuk memecah belahkan perpaduan kaum peribumi terutamanya orang-orang Melayu. Tindakan DAP kini dosokong oleh penulis-penulis yang menulis dalam akhbar mereka dengan menggambarkan konsep Satu Malaysia adalah kebebasan serta kesamarataan semua kaum terhadap hak-hak sebagai rakyat Malaysia.

Minggu lalu, penulis-penulis bukan Melayu dari akhbar The Sun dan The Star mendesak Najib supaya tidak berundur dari memberi kebebasan itu. Ini juga seolah-olah turut menggambarkan Satu Malaysia itu Malaysian Malaysia. The Star pada 4 April lalu menggambarkan bahawa usaha kerajaan untuk membendung tuntutan-tuntutan yang sah (dari kaum bukan peribumi) sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini, dan jika tuntutan-tuntutan ini masih dikawal, ia akan hanya memberi kesan terhadap PRU-13.

Mungkin masih belum ramai yang menyedari hakikat bahawa akhbar-akhbar seperti ini ada perjuangan tersirat ke arah mempromosikan kesamarataan antara kaum, sama seperti Malaysian Malaysia. Gambaran yang salah sering diberi terhadap sejarah negara, Dasar Ekonomi Baru, bahkan kadangkala penjenayah digambarkan pula sebagai hero. Perjuangan tersirat seperti ini semakin berbaja sejak kebebasan kepada akhbar diberikan oleh Abdullah. Kebebasan ini tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa mencucuh api perosak kepada semangat perpaduan yang kita telah nikmati selama ini. Peranan media cetak seperti ini sangat berpengaruh untuk mewujudkan persepsi, prasangka serta sikap prejudis rakyat terhadap kerajaan. Satu Malaysia tidak sama dengan Malaysian Malaysia!

Sesungguhnya antara penyumbang terbesar kepada kemerosotan populariti BN ialah kebebasan bersuara (tanpa sebarang persediaan untuk mengawal) yang diberikan oleh Abdullah sejak 2004. Eksploitasi pembangkang serta media yang bersekongkol dengan mereka mampu meranapkan Najib dan BN.

Kecelaruan kini sebenarnya turut ditambah oleh kelewatan Najib sendiri untuk memperjelaskan konsep Satu Malaysia yang beliau cetuskan. Walaupun dua hari yang lalu, beliau kita lihat cuba untuk menerangkan secara ringkas mengenai konsep tersebut sebagai satu konsep yang adil tanpa menggugurkan hak-hak Melayu dan peribumi sepertimana yang telah sedia ada di dalam perlembagaan, penjelasan serta pendekatan Najib sangat lemah dan kabur. Penekanan tidak diberikan untuk memberi kefahaman kepada semua kaum bahawa kompromi kaum peribumi terhadap perkongsian hidup dengan pelbagai bangsa di negara ini perlu disatu ertikan oleh semua rakyat Malaysia. Satu Malaysia bukan kompromi tambahan dari kaum peribumi untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sedia ada di dalam perlembagaan. Satu Malaysia bukan Malaysian Malaysia!

Najib harus berani dan tegas untuk memperjelaskan konsep ini. Tidak perlu rasa gusar untuk usaha-usaha bagi memperjuangkan hak Melayu yang telah didokumenkan di dalam perlembagaan. Tidak perlu rasa takut sekiranya undi dari kaum bukan Melayu akan hilang kerana memperjuangkan apa yang selama ini telah diterima oleh rakyat. Najib jangan termakan alasan kaum Cina dan India yang mengatakan mereka hanyalah 'second class citizen' di Malaysia sedangkan merekalah yang menerajui sektor ekonomi negara. Najib perlu sedar, jika tidak dibendung, kekuatan ekonomilah yang akan menjadi kuasa. Tidak perlu mengikut rentak politik Anuar, PKR dan pakatan pembangkang. Najib perlu menjadi pejuang bangsa yang tulin supaya suatu hari beliau tidak kecundang sebagai pengecut.

Konsep Satu Malaysia harus segera didoktrinkan supaya kelangsungan eksploitasi secara negatif ditamatkan. Najib harus sedar bahawa bicara media, golongan oportunis serta cauvinis kaum yang bertujuan mengeksploitasi Satu Malaysia mampu meranapkan dirinya.

2 comments:

ZulBahau said...

Itu lah kehebatan 'mereka' berpolitik dibantu oleh orang-orang 'kita' yang meahu menang sorak dan menggadai kampung.

Baginda Reformasi said...

salam...
biarkan mereka ranap red... sudah lama dibelengu mereka.. kini kite harus berubah...
sila lah melawat kesah di sebalik kekecohan sidang DUN MELAKA yang diwar-warkan media TORTOQ UMNO...
link:
http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/04/lucah-mr-lee-dan-betty.html