Sunday, 26 April 2009

Najib, perubahan dan persepsi

Semasa era Abdullah, rakyat menuntut perubahan. Sebaik menjadi PM, Najib menjanjikan perubahan. Dalam tempoh yang singkat ini Najib cuba membuktikan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk mengotakan apa yang dijanjikannya. Slogan 1Malaysia, senarai kabinet baru, pembubaran beberapa Kementerian, penghapusan 30% kuota bumiputera di dalam sub-sektor perkhidmatan dan yang terbaru ialah 'perubahan' di dalam UMNO iaitu berkaitan peneraju Badan Perhubungan UMNO Negeri serta perlantikan anggota MT.

Rakyat serta ahli UMNO sendiri pada ketika ini mungkin tidak mengetahui dengan jelas mengenai strategi serta halatuju yang ingin dibawa oleh PM baru ini, namun begitu 'perubahan-perubahan' yang beliau sedang lakukan telah membentuk persepsi di kalangan masyarakat umum terhadap tindakan Najib. Perlu kita ingat, proses pembentukan persepsi ini juga akan dipengaruhi oleh perkara-perkara lain yang berlaku sama ada sebelum atau semasa.

Sudah tentu tidak semua orang mempunyai persepsi yang sama, tetapi saya rasa setakat ini ada ramai orang yang beranggapan bahawa Najib cuba untuk menganjurkan satu kompromi dengan tujuan memancing kembali sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN. Tujuannya mungkin baik iaitu bagi memperkukuhkan kembali kerajaan yang memerintah. Akan tetapi persepsi orang Melayu terhadap strategi yang Najib guna agak meragukan. Najib dilihat sebagai cuba menjadikan hak-hak Melayu sebagai korban kompromi tersebut.

Itu hanya satu dari pelbagai persepsi. Namun, persepsi sebegini amat meresahkan. Sebagai PM, Najib meneraju negara dan dalam masa yang sama beliau meneraju sebuah parti yang memperjuangkan Melayu. Najib boleh mendendangkan 'rentak kontemporari politik semasa' tetapi hak Melayu jangan tergadai. UMNO yang tulin akan sentiasa menuntut supaya hak-hak Melayu yang telah dipersetujui semua kaum sejak merdeka dikekalkan. Strategi semasa Najib yang liberal terutama dalam isu-isu ekonomi mungkin dilihat oleh ahli UMNO sebagai tersasar dari perjuangan yang tulin.

Mungkin segelintir rakyat semakin lega dengan 'perubahan' yang berlaku di dalam politik negara kita sekarang ini yang banyak memihak kepada mereka, namun Melayu mempersoal. Patutkah ini dijadikan strategi untuk menggamit sokongan?

Saya akui, bukan senang menjadi pemimpin. Kata John F. Kennedy, walau apapun keputusan yang dibuat oleh seorang pemimpin, akan ada sekurang-kurangnya sesuku rakyatnya yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Namun, Melayu di Malaysia ini bukan hanya sesuku dari jumlah rakyat! Betulkah apa yang Najib buat sekarang ini? Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran...

Saturday, 25 April 2009

Akhirnya Md. Isa Sabu jadi Pengerusi


Dengan pengumuman yang dibuat oleh PM semalam, akhirnya MB Perlis Dato' Seri Dr. Md. Isa Sabu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, menggantikan bekas MB Dato' Seri Shahidan Kassim. Tahniah kepada beliau dan juga kepada Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Negeri Perlis ini walau pun kecil tetapi cerita politiknya hebat. Walaupun hanya ada 3 bahagian sahaja, pergolakan yang membabitkan pemimpin dari ketiga-tiga bahagian tersebut selalu kecoh. Antara mereka jarang yang 'ngam'. Agaknya sebab negeri terlalu kecil kut... sebab itulah sering 'terlanggar bahu!'.

Semoga kali ini Pengerusi dan Timbalan dapat membentuk suatu kerjasama yang mantap dan memberi khidmat demi kebaikan semua. Bagi ahli UMNO Perlis, mereka sangat bernasib baik kerana kalau nak jumpa Pengerusi atau Timbalan Pengerusi Perhubungan tak perlu naik kapalterbang macam orang Kedah!

Saturday, 18 April 2009

Satu Malaysia: Eksploitasi yang mampu meranap

"... atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia. Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan." Demikianlah antara ucapan yang pertama sekali dilaungkan oleh Najib sebaik beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sejak itu, pelbagai tafsiran, pemahaman serta persepsi telah dibuat oleh pelbagai pihak dalam usaha untuk mengertikan maksud "Satu Malaysia" yang dilafazkan Najib itu. Sejak itu juga, ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi konsep Satu Malaysia ini dengan merencahkannya bersama-sama sentimen perkauman yang sering menjadi permainan parti politik tertentu sejak sekian lama. Sepatutnya konsep Satu Malaysia ini ditafsirkan dengan berpaksikan perlembagaan negara ini.

Paling perlu digusari ialah sentimen yang dimainkan ini oleh beberapa media bukan Melayu yang merujuk Satu Malaysia sebagai sama dengan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Sejak perkataan Satu Malaysia keluar dari mulut Najib, konsep ini dieksploitasi. Sudah tentulah dalangnya DAP yang kini dilihat sangat berjaya memainkan peranannya untuk memecah belahkan perpaduan kaum peribumi terutamanya orang-orang Melayu. Tindakan DAP kini dosokong oleh penulis-penulis yang menulis dalam akhbar mereka dengan menggambarkan konsep Satu Malaysia adalah kebebasan serta kesamarataan semua kaum terhadap hak-hak sebagai rakyat Malaysia.

Minggu lalu, penulis-penulis bukan Melayu dari akhbar The Sun dan The Star mendesak Najib supaya tidak berundur dari memberi kebebasan itu. Ini juga seolah-olah turut menggambarkan Satu Malaysia itu Malaysian Malaysia. The Star pada 4 April lalu menggambarkan bahawa usaha kerajaan untuk membendung tuntutan-tuntutan yang sah (dari kaum bukan peribumi) sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini, dan jika tuntutan-tuntutan ini masih dikawal, ia akan hanya memberi kesan terhadap PRU-13.

Mungkin masih belum ramai yang menyedari hakikat bahawa akhbar-akhbar seperti ini ada perjuangan tersirat ke arah mempromosikan kesamarataan antara kaum, sama seperti Malaysian Malaysia. Gambaran yang salah sering diberi terhadap sejarah negara, Dasar Ekonomi Baru, bahkan kadangkala penjenayah digambarkan pula sebagai hero. Perjuangan tersirat seperti ini semakin berbaja sejak kebebasan kepada akhbar diberikan oleh Abdullah. Kebebasan ini tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa mencucuh api perosak kepada semangat perpaduan yang kita telah nikmati selama ini. Peranan media cetak seperti ini sangat berpengaruh untuk mewujudkan persepsi, prasangka serta sikap prejudis rakyat terhadap kerajaan. Satu Malaysia tidak sama dengan Malaysian Malaysia!

Sesungguhnya antara penyumbang terbesar kepada kemerosotan populariti BN ialah kebebasan bersuara (tanpa sebarang persediaan untuk mengawal) yang diberikan oleh Abdullah sejak 2004. Eksploitasi pembangkang serta media yang bersekongkol dengan mereka mampu meranapkan Najib dan BN.

Kecelaruan kini sebenarnya turut ditambah oleh kelewatan Najib sendiri untuk memperjelaskan konsep Satu Malaysia yang beliau cetuskan. Walaupun dua hari yang lalu, beliau kita lihat cuba untuk menerangkan secara ringkas mengenai konsep tersebut sebagai satu konsep yang adil tanpa menggugurkan hak-hak Melayu dan peribumi sepertimana yang telah sedia ada di dalam perlembagaan, penjelasan serta pendekatan Najib sangat lemah dan kabur. Penekanan tidak diberikan untuk memberi kefahaman kepada semua kaum bahawa kompromi kaum peribumi terhadap perkongsian hidup dengan pelbagai bangsa di negara ini perlu disatu ertikan oleh semua rakyat Malaysia. Satu Malaysia bukan kompromi tambahan dari kaum peribumi untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sedia ada di dalam perlembagaan. Satu Malaysia bukan Malaysian Malaysia!

Najib harus berani dan tegas untuk memperjelaskan konsep ini. Tidak perlu rasa gusar untuk usaha-usaha bagi memperjuangkan hak Melayu yang telah didokumenkan di dalam perlembagaan. Tidak perlu rasa takut sekiranya undi dari kaum bukan Melayu akan hilang kerana memperjuangkan apa yang selama ini telah diterima oleh rakyat. Najib jangan termakan alasan kaum Cina dan India yang mengatakan mereka hanyalah 'second class citizen' di Malaysia sedangkan merekalah yang menerajui sektor ekonomi negara. Najib perlu sedar, jika tidak dibendung, kekuatan ekonomilah yang akan menjadi kuasa. Tidak perlu mengikut rentak politik Anuar, PKR dan pakatan pembangkang. Najib perlu menjadi pejuang bangsa yang tulin supaya suatu hari beliau tidak kecundang sebagai pengecut.

Konsep Satu Malaysia harus segera didoktrinkan supaya kelangsungan eksploitasi secara negatif ditamatkan. Najib harus sedar bahawa bicara media, golongan oportunis serta cauvinis kaum yang bertujuan mengeksploitasi Satu Malaysia mampu meranapkan dirinya.

Monday, 6 April 2009

Gossip Kabinet baru!

Sekejap tadi semasa dalam perjalanan pulang dari pejabat, seorang rakan lama menelefon mempelawa saya untuk 'join' beberapa orang rakan lagi 'pekena teh tarik' di sebuah restoran. Rakan saya ini sekarang bertugas sebagai Pegawai Khas kepada seorang Menteri. Oleh kerana sudah agak lama tidak bertemu, saya pun menerima pelawaan tersebut, lagi pun restoran tersebut sangat hampir dengan kawasan kediaman saya di Taman Tun.

Lebih kurang satu jam berbual, banyak juga gossip-gossip serta isu semasa yang dipersembangkan. Maklumlah, sejak selepas PAU berlalu, ada PRK, ada PM baru, bekas PM masuk semula UMNO dan antara yang paling menarik ialah teka-teki mengenai senarai anggota kabinet baru Najib.

Dipendekkan cerita, dari sumber-sumber yang mungkin boleh kita percayai dapatlah saya kongsi bersama antara gossip-gossip terkini berkaitan kabinet yang bakal diumumkan Najib nanti (katanya pada hari Rabu ini) adalah seperti berikut:

1. Jumlah senarai Menteri Kabinet akan menjadi lebih kecil kerana beberapa kementerian disatukan (contoh: Kementerian Pengajian Tinggi disatukan dengan Kementerian Pelajaran, manakala Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi disatukan dengan Kementerian Tenaga Air & Komunikasi).

2. Beberapa orang Menteri akan digugurkan antaranya Azalina Othman, Muhammad Mohd Taib, Abdul Rais Yatim, Ahmad Shabery Chik, Ong Ka Chuan, Shaziman Abu Mansor dan Hamid Albar.

3. Shapie Apdal akan memegang jawatan Menteri Pertahanan dan dalam pada itu, antara yang akan naik pangkat menjadi menteri penuh ialah Saifuddin Abdullah sementara Rafidah Aziz akan kembali menjadi Menteri.

4. Saudara Khairy Jamaluddin tidak akan diberi jawatan Menteri sebaliknya hanya akan memegang jawatan Setiausaha Parlimen kepada suatu Kementerian.

5. Gossip-gossip juga mengatakan, dalam mencatur senarai menteri-menterinya, Najib turut mengambilkira pendapat dan pandangan dari Tun M.

Nah... amacam gossip ni???

Thursday, 2 April 2009

Nizar bukan calon yang baik untuk Melayu Bukit Gantang

Nizar bukan calon yang baik untuk dipilih oleh pengundi-pengundi Melayu di Bukit Gantang. Sebagai seorang Melayu, ada beberapa faktor yang menyebabkan saya berpendapat demikian.

Orang Melayu di negeri Perak yang peka terhadap setiap keputusan serta program yang dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah negeri itu selepas PRU-12 tentu maklum bahawa antara keputusan terawal yang dibuat oleh Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak ialah meluluskan hak milik tanah secara kekal kepada kaum Cina. Jika sekali pun kita tidak mahu mempertikaikan bahawa kaum Cina adalah warganegara serta juga rakyat Perak, sebagai orang Melayu adalah sukar untuk menafikan bahawa hati Melayu terguris amat dalam dengan keputusan yang dibuat oleh Nizar itu. Ini adalah kerana jumlah tanah yang diluluskan hak milik kepada penduduk kampung baru, kepada sekolah-sekolah Cina serta yang ditukar status dari leasehold kepada freehold bukan kepalang banyaknya, sedangkan dalam masa yang sama terdapat isu-isu hak milik tanah yang dituntut oleh orang Melayu tidak diselesaikan.

Orang seusia Nizar tidak boleh menafikan bahawa dia adalah antara generasi yang mendapat faedah dan nikmat dari Dasar Ekonomi Baru (DEB), suatu dasar yang telah berjaya menstrukturkan semula pola kependudukan kaum serta membantu golongan bumiputra untuk tidak begitu ketinggalan di dalam bidang ekonomi serta pendidikan. Bagaimanapun mungkin untuk tujuan survival politiknya, Nizar sebelum ini membuat keputusan untuk menyokong pemansuhan DEB yang mana tindakan beliau ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau turut menyokong pemansuhan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputra.

Sebagai seorang Melayu yang juga rakyat Malaysia yang berperlembagaan, kita harus berpegang kepada Rukun Negara. Namun semasa kemelut isu politik Perak, kita sedia maklum penderhakaan yang dibuat oleh Nizar. Tidak kira apa alasan sekali pun yang boleh diungkit oleh beliau atau parti-parti yang berpihak kepada beliau, Nizar tetap adalah seorang penderhaka.

Seorang rakan saya dari Perak pernah berkata, Nizar sangat bertuah kerana telah terpilih sebagai Menteri Besar 'by luck', namun begitu seingat rakan saya itu tiada apa yang telah betul-betul dikecapi oleh orang Melayu semasa Nizar 'in power'. Sebaliknya majoriti Melayu yang berpendapatan rendah semakin tertekan bila Nizar meluluskan kenaikan cukai pintu yang tinggi di Perak. Mungkinkah Melayu Perak sudi memberi peluang kedua kepada beliau?

Walaupun tidak lama, Nizar dari parti PAS mengecapi kemuncak dalam kerjaya politiknya apabila parti-parti pembangkang DAP, PKR dan PAS membentuk suatu pakatan. Namun begitu hingga hari ini pakatan tersebut belum mampu memperoleh kata sepakat dalam banyak hal. PAS di Kelantan dan Kedah adalah berlainan mertabatnya berbanding dengan PAS di Perak. PAS di Perak bukan rakan kongsi yang utama kerana negeri itu lebih dikuasai oleh DAP. Oleh yang demikian, dalam banyak hal PAS terpaksa mengikut telunjuk DAP yang lebih merupakan pemegang syer terbesar dalam perkongsian politik Perak. Sebab itulah Nizar hanya boneka semasa menjadi MB.

Jika bercakap dalam konteks memperjuangkan Melayu di Perak dan di Bukit Gantang khasnya, Nizar sukar melakukannya kerana PAS pemegang syer terkecil dalam perkongsian politik pembangkang di Perak. Selain itu, dia juga telah membuktikan bahawa dia tidak mempunyai kuasa ultra yang dapat mendominasi keputusan-keputusan yang perlu diambil walaupun semasa menduduki kerusi teratas dalam pemerintahan, lebih-lebih lagi bila berdepan dengan rakan DAP.

Sebab itulah, tanpa mengatakan siapa calon terbaik, saya sebaliknya berpendapat bahawa Nizar bukan calon yang baik untuk dipilih oleh pengundi Melayu di Bukit Gantang.