Monday, 19 January 2009

Masih marah atau sudah jatuh talak?

Walaupun saya berpendapat bahawa PRK di KT tidak banyak membawa impak terhadap keadaan di Terengganu dan KT khasnya, namun kekalahan BN di P.36 ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa rakyat kini tidak akan mudah memberi undi kepada sesebuah parti, walaupun kepada parti yang telah menerajui Malaysia selama lebih 50 tahun dan menempa pelbagai kejayaan serta telah membawa pelbagai kemajuan untuk dinikmati oleh rakyat negara ini.

Banyak pihak berpendapat bahawa rakyat masih marah kepada Umno dan BN sehingga masih lagi mahu memberikan isyarat kepada BN supaya berubah. Namun, persoalannya adakah rakyat 'masih' marah atau telah melafazkan 'talak' kepada BN! Jika 'masih' marah, maksudnya ada peluang untuk dipujuk dan berbaik semula. Tetapi jika majoriti rakyat sudah melafazkan 'talak', alamatnya... kes berat! Umno telah ditolak sejak PRU-12 yang lalu dan terus ditolak dalam siri PRK selepas tsunami politik Mac 2008 itu.

PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat banyak belajar dari siri kekalahan mereka dalam banyak pilihanraya sebelum ini. Pendekatan yang mereka gunakan pada masa kini jelas menggambarkan parti itu kini telah berubah. Saya sangat tertarik dengan pesanan Tok Guru Nik Aziz supaya pemimpin dalam parti pembangkang tidak mengeluarkan kata-kata keangkuhan selepas kemenangan mereka di KT. 'Jangan lukakan hati lawan', katanya! Bukan itu sahaja, dalam banyak hal PAS kini telah berubah. Kini, tiada lagi kedengaran cakap bengis dan kasar dari pemimpin seperti Hj Hadi yang menampakkan kejanggalan sikap seorang yang mengaku ulama'.

Yang tidak banyak belajar dari kekalahan-kekalahan yang lalu ialah Umno dan BN. Cara berkempen Umno dan BN masih corak lama. Parti komponen BN dari kaum Cina dan India tidak banyak turun membantu dalam percubaan memancing undi kaum bukan Melayu di KT. Tidak seperti jentera DAP yang saya lihat sendiri bertungkus-lumus di KT memancing undi bukan Melayu dan aktif memberi ceramah di pelbagai lokasi.

Wakil Rakyat BN masih berlagak sebagai tuan dan 'boss'. Walhal, mereka dipilih oleh rakyat hanya untuk menjadi wakil. Mereka terlupa bahawa rakyatlah 'boss' mereka. Sikap keangkuhan pemimpin seperti inilah yang sebenarnya melebarkan jurang antara kepimpinan BN dengan rakyat jelata.

Kehadiran kumpulan penceramah ex-Keadilan yang kerjanya tiada lain selain menghentam DSAI (yang dulu mereka puja) juga saya lihat memberi kecacatan dalam kempen di KT. Kadangkala, penceramah-penceramah ini juga asyik membincangkan hal keistimewaan Melayu tanpa mengetahui ada segelintir bukan Melayu di celah-celah ratusan hadirin yang mendengar ceramah mereka. Penceramah-penceramah ini tidak pun berhati-hati dalam melafazkan kata-kata semasa berkempen. Takkan tak tahu saat-saat begitu amat kritikal untuk menjaga hati semua pengundi agar jangan ada yang terguris.

Strategi BN menggunakan media cetak dan elektronik yang tidak telus dan adil dalam membuat laporan nampaknya semakin memupuk kebencian di hati rakyat. Orang di kampung pun sudah pandai bertanya... betul ke yang surat khabar tulis tu?

BN perlu berubah. Umno perlu berubah. Umno perlu mengakui bahawa Pak Lah, KJ dan 'sekutunya' adalah liabiliti kepada Umno. Pak Lah, KJ dan 'sekutunya' perlu mengakui bahawa mereka adalah liabiliti kepada Umno. Siapa saja yang menerajui Umno selepas ini perlu segera membersihkan Umno dari liabiliti-liabiliti ini. Perlu berani!

Hanya dengan cara itu sajalah diharapkan rakyat yang merajuk atau 'masih' marah dapat dirayu dan dipujuk kembali.... itu pun kalau mereka benar-benar belum menjatuhkan 'talak'!

3 comments:

. said...

Saudara,

Saya setuju sepenuhnya dengan apa yang saudara sebutkan. Saya memberikan Najib 1 tahun selepas mengambilalih jawatan PM Mac ini melakukan apa yang perlu bagi memantapkan UMNO dan BN. Andainya itu tidak berlaku, maka saya tidak terkejut sekiranya UMNO pupus dalam PRU13.

red rooster said...

Sdra Nobisha,
Terima kasih. Saya juga setuju dgn pendapat tuan, semuanya perlu dirombak dalam 1 tahun. Lepas tu lihat kesannya dan tindakan-tindakan lain jika perlu. Semuanya perlu beres sebelum PRU13.

Kerabu Jantung said...

Kupasan saudara tentang perkara-perkara yang telah membuatkan orang 'meluat' dengan sikap Umno sungguh tepat.
Seorang veteran politik yang sudah bersara yang saya kenali ada mengatakan kalau nak menj...kan Dsai bukanlah dengan cara mengata yang (bukan-bukan)tapi minta dia buat pendirian tentang hukum hudud .