Dua hari yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi KT dan sempat meninjau suasana menjelang PRK. Walaupun hari penentuan telah terlalu hampir, namun suasana sangat tenang berbanding dengan suasana yang biasanya berlaku di kawasan-kawasan PRK yang lain sebelum ini.
Jentera BN dan PAS masing-masing bertungkus lumus membuat persiapan bagi menyambut 'raya' pada hujung minggu ini. Pondok-pondok jentera parti masing-masing terdapat di merata tempat, termasuk bilik gerakan dari jentera yang datang dari serata pelusuk tanah air. Dari segi perang poster, BN dilihat mengatasi PAS, namun sudah tentu itu tidak menjadi faktor penentu. Sesi ceramah diadakan di sana dan sini untuk mengetengahkan isu-isu yang diharap dapat memancing undi bagi memastikan kemenangan.
Warga tempatan KT nampak bersahaja. Peniaga Pasar Kepayang nampaknya murah rezeki bulan ini kerana limpahan pengunjung yang 'menyelam sambil minum air'. Begitu juga pengusaha restoran dan gerai makanan sama-sama 'all-out' dalam mengambil kesempatan meningkatkan jualan.
Sempat berbual dengan beberapa warga KT yang akan mengundi nanti, apabila dicungkil pendapat mereka mengenai parti yang mereka jangka mempunyai kelebihan dalam PRK kali ini, pelbagai reaksi ditunjukkan, tidak kurang juga yang enggan memberi komen.
Namun begitu, antara yang dapat saya kongsi ialah pendapat-pendapat berikut yang diberikan oleh segelintir warga KT:
1. Pengundi yang tidak fanatik dengan semangat kepartian kali ini akan memilih calon yang lebih mereka senangi tanpa mengira parti memandangkan PRK kali ini tidak akan memberi kesan yang mendalam terhadap teraju kepimpinan negeri. Ini bererti, siapa juga yang menang dilihat tidak akan membawa banyak perubahan kepada status KT yang telah pun bertaraf bandaraya. Kemajuan yang dicapai dari segi infrastruktur hampir-hampir telah dipenuhi dan orang KT tidak begitu dahagakan peningkatan dari sudut ini jika dibandingkan dengan warga luar bandar atau di kawasan pendalaman. Apatah lagi kini royalti minyak telah pun disalurkan kepada pucuk pimpinan negeri.
2. Hanya sebilangan pengundi yang benar-benar fanatik dengan semangat kepartian tidak akan mengira siapa calon. Parti yang disokong tetap akan menjadi pilihan. Kedua-dua parti, Umno yang mewakili BN dan PAS yang mewakili PR ada masalah dalaman masing-masing. Kalau ramai ahli masing-masing mempunyai semangat fanatik kepartian, parti beruntung kali ini. Kalau ahli nak tunjuk protes yang diterjemahkan dalam bentuk undi, nahaslah parti.
3. Dari segi kredibiliti calon jika dilihat secara 'in-person', ramai warga KT berpendapat, calon PAS tampak lebih meyakinkan, ditambah dengan prestasi beliau sebagai ADUN sejak sekian lama. Calon BN dilihat sebagai kurang mesra rakyat oleh yang mengenali. Bagi yang tidak pernah mengenali beliau secara dekat, mereka dengar cakap-cakap orang mengatakan beliau sebelum ini agak sombong, proksi Pak Lah dan KJ dan jauh terkebelakang untuk menandingi Arwah Dato' Razali yang disenangi. Ada juga yang memburukkan beliau kerana tidak hadir pada majlis tahlil arwah bekas Ahli Parlimen KT itu.
4. Orang-orang kuat Umno Terengganu pula bila di tanya mengenai peluang calon BN, mengakui sukar untuk buat ramalan kerana orang Umno KT semuanya tahu siapa yang lebih layak dan sepatutnya terpilih jadi calon BN untuk PRK kali ini. Bagi mereka, BN masih tidak mahu mengambil iktibar dab belajar dari kesilapan pada PRU yang lalu dengan sekali lagi menidakkan pendapat dan pilihan ahli akar umbi.
5. Orang-orang kuat PAS lebih yakin kepada calon 'kompromi' mereka walaupun ada kegusaran kerana pergolakan dalam parti yang melibatkan golongan yang kini dipanggil 'erdogan'. Pemimpin-pemimpin 'erdogan' PAS nampaknya tidak begitu 'all-out' dalam kempen kali ini walaupun kebanyakan mereka hanya bermastautin di negeri jiran terdekat. Bertelingkahan pendapat dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak mencalarkan arah perjuangan PAS yang mereka banggakan sebelum ini.
6. Orang-orang Cina yang sempat saya berbual nampaknya tidak ambil kisah sangat dengan isu hudud. Hudud bukan isu besar. Mereka telah berpengalaman hidup dibawah kepimpinan negeri semasa zaman PAS dan BN. Kedua-dua kata mereka, tiada banyak memberi masalah kepada perniagaan mereka. Mereka juga mengakui hudud tak akan berkuatkuasa dalam masa terdekat biarpun negeri diperintah oleh PAS. Yang penting bagi mereka, jangan ada kekacauan, perniagaan perlu diteruskan.
7. Calon bebas kali ini tidak popular macam 'Tok Mun'. Susah nak dapat undi. Susah meraih simpati.
Walau apa pun yang diperkatakan oleh segelintir orang yang saya jumpa di KT, pendapat mereka sudah tentu tidak dapat mewakili keseluruhan 80,000 pengundi KT.
Namun begitu, setelah dua hari berada di KT, saya mendapat gambaran bahawa PRK kali ini - tiada isu besar - sukar diramal pemenangnya - keputusan PRK tidak banyak impaknya terhadap parti yang bertanding, mahupun kehidupan seharian di KT.
Thursday, 15 January 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment