Saturday, 24 January 2009

Umno perlukan proses 'Re-positioning', bukan Penjenamaan Semula

Ramai yang mengatakan Umno perlu berubah. Di samping itu ramai juga yang berpendapat Umno perlu kepada proses penjenamaan semula.

Atmosfera perlumbaan serta pertandingan parti-parti politik untuk memenangi dan menguasai kepercayaan rakyat sebenarnya sangat bersamaan dengan atmosfera pertandingan pemasaran berbilang produk di dalam dunia perniagaan. Dari perspektif ini, parti-parti politik boleh dilihat umpama produk-produk 'homogeneous' yang berbeza jenama di pasaran. Dari perspektif ini juga rakyat Malaysia yang layak menjadi pemilih adalah prospek pasaran atau pengguna yang akan membuat pilihan jenama mana yang akan dibeli.

Namun begitu, dalam melakukan promosi pemasaran, penjenamaan hanyalah salah satu dari pelbagai strategi yang diperlukan untuk memikat hati pengguna. Umno, Pas, DAP, PKR dan lain lain parti politik adalah jenama-jenama atau brand yang sudah dikenali oleh rakyat di negara ini. Jenama-jenama ini sudah melekat di hati rakyat. Maksudnya jika sebut Umno, Pas atau DAP, rakyat sudah kenal itulah antara pilihan jenama-jenama parti politik yang ada.

Setiap jenama parti politik ini (Umno, Pas, DAP dll.), jika disebut di depan kita, akan ujud satu persepsi berkaitan imej dan identiti parti politik tersebut. Proses ini dipanggil positioning atau lakaran persepsi tertentu terhadap sesuatu jenama produk.

Pada pendapat saya, kalau dulu (tidak pasti yang tepatnya berapa tahun dulu), jika disebut Umno, akan terlintas imej dan identiti positif parti ini dengan wadah perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara. Akan terlintas ciri-ciri kegagahan, kebijaksanaan serta ketokohan pemimpin utamanya yang sentiasa berfikiran setapak ke hadapan berbanding orang lain. Akan terlintas di fikiran tentang kekuatan serta kepercayaan majoriti rakyat negara ini tehadap jenama ini. Akan ujud rasa bangga terhadap budi dan jasa yang telah dilakukan oleh parti yang berjenama Umno ini.

Bagaimanapun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sama ada secara sedar atau tidak, parti Umno, dengan gaya dan corak kepimpinan semasanya telah melakukan banyak kesilapan yang menyebabkan imej dan identiti Umno menjadi negatif dari persepsi banyak rakyat Malaysia (sudah tentunya tidak semua). Kesilapan-kesilapan ini telah saya kupas dalam posting sebelum ini. Penulis-penulis lain juga banyak menyenaraikan kesilapan-kesilapan Umno dan BN.

Keadaan menjadi semakin parah bila ditambah pula dengan keberjayaan beberapa parti saingan yang mampu membuat positioning yang baik untuk melakarkan imej positif mereka di hati rakyat. Pas sebagai contoh, tampak lebih elegan berbanding dulu dengan penyertaan lebih ramai golongan profesional (walaupun arah perjuangan masih tidak menentu, lebih-lebih lagi setelah menyertai Pakatan Rakyat).

Saya berpendapat, jenama Umno sebenarnya sudah sinonim dengan perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan juga agama Islam. Jenama ini tiada salahnya. Akan tetapi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin dan ahlinya telah meletakkan atau mempositionkan Umno sebagai parti yang mempunyai imej dan identiti yang kurang baik.

Justeru, jika hanya melakukan penjenamaan semula tanpa berjaya melakarkan imej serta identiti yang tersohor, kedudukan semasa Umno sudah pasti tidak dapat diperbaiki. Parti Umno sebenarnya lebih perlu kepada proses re-positioning... bukan penjenamaan semula.

No comments: