Berita Minggu - 21 Dis 2008
Najib optimis pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan.
Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Seri Iman, di sini, semalam..... baca lagi
TPM begitu optimis bahawa kemenangan bakal dijelmakan dengan calon yang dikemukakan oleh BN kali ini. Bagi beliau, dalam sesebuah Pilihanraya Kecil, calonlah yang merupakan faktor penentu kemenangan parti yang bertanding, dan dengan kepercayaan bahawa Wan Ahmad Farid merupakan calon yang dipersetujui warga pengundi Kuala Terengganu (yang pro-BN), BN boleh mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 yang lalu.
Kalau saya...'gayat' juga untuk mengatakan bahawa BN mudah memenangi Pilihanraya Kecil kali ini. Ini adalah berdasarkan situasi politik semasa yang memberi gambaran dan petunjuk yang berbeza-beza mengenai performance UMNO dalam BN. Sejak PRU-12 yang lepas, BN pada saya masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ianya berjaya memikat hati generasi muda, tidak kira generasi muda Melayu, Cina mahupun India.
Dalam PRU yang lepas, calon BN mendapat 32,562 undi, calon PAS mendapat 31,934 undi, dan Makcik Maimun dapat 685 undi. Calon BN menang majoriti 628 undi sahaja. Pendapat sesetengah orang, Makcik Maimun memainkan peranan yang besar juga dalam membantu kemenangan BN kerana bagi orang UMNO atau BN yang tengah 'bengang' dengan BN semasa PRU-12 yang lalu dan nak buat undi protes, mereka pilih untuk memberi undi kepada calon Bebas ini kerana tak tergamak nak beri undi kepada PAS... wallahualam.
UMNO khususnya pada ketika ini masih tercari-cari formula untuk di ketengahkan sebagai 'menu' kempen di Kuala Terengganu nanti. Yang pasti, bagi pemimpin-pemimpin veteran UMNO, cerita-cerita pembangunan yang telah dan bakal dilakukan oleh Kerajaan BN akan digemakan sekali lagi dalam ucapan-ucapan ketika berkempen. Pada saya, orang muda bukan nak dengar cerita ini. Setakat cerita-cerita nak masuk kemudahan elektrik, pasang paip air, bina jambatan, sekolah baru dan turap jalan di kampung tidak akan dapat memikat hati pengundi muda. UMNO patut sedar, generasi muda merupakan golongan radikal yang mempunyai aliran serta gaya pemikiran dan pendapat yang amat berbeza dibandingkan dengan generasi yang terdahulu.
Kempen melalui akhbar-akhbar utama serta kempen dalam program RTM yang kadangkala bercelaru sudah tentu tidak lagi boleh dijadikan sandaran kali ini. UMNO perlu sedar, kehadiran watak-watak seperti Anuar Ibrahim serta barisan penceramah PAS yang memang kerjanya berceramah sepanjang tahun sudah tentu akan memberi impak yang besar dalam pemilihan di Kuala Terengganu nanti. Isu-isu seperti royalti minyak, penganjuran Piala Monsoon serta projek-projek yang tak memberi untung kepada rakyat tempatan sudah pasti mudah digubah menjadi 'lagu kempen' oleh penceramah-penceramah pembangkang di Terengganu nanti, lebih-lebih lagi Wan Farid tu dikatakan ada kaitan yang rapat dengan Patrick Badawi dan KJ...
UMNO dan BN perlu mencari suatu metodologi baru dalam kempen-kempennya bagi memenangi hati pengundi di KT terutama generasi muda serta 20% pengundi bukan Melayu yang akan menjadi penentu serta petunjuk kepada populariti sebenar BN serta UMNO khususnya di mata rakyat negara ini.
Ada orang kata, Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu ini umpama songkok lawan serban.... mana yang akan jatuh, mana yang akan terburai???
Sunday, 21 December 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment