Isu ketuanan Melayu memang telah banyak diperkata dan diperbahaskan sejak akhir-akhir ini. Walaupun saya memang nampak dan mempunyai pendapat sendiri berkaitan isu ini sejak peringkat awal lagi ianya ditimbulkan oleh Timbalan Presiden MCA (..selalu juga berbahas dengan sahabat di pejabat mahupun di kedai mamak), saya tidak fikir untuk menulis berkaitan isu ini dalam blog kerana menganggap mungkin ramai yang telah jemu memperkatakan berkaitannya.
Namun begitu, bila membaca rencana terbaru Datuk Hashim Suboh yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia 13 Dis 08 (baca sini), saya sangat-sangat bersetuju. Saya berpendapat apa yang beliau katakan mengenai tumpuan yang sepatutnya diberikan oleh orang Melayu pada ketika ini ialah bagi memperkasakan diri dibidang ekonomi adalah sebenar-benarnya perspektif yang patut kita lihat. Kita tidak sepatutnya membuang masa dengan melayan retorik politik.
Isu ini memang sengaja dilontarkan bagi melihat reaksi orang-orang Melayu yang jelas kini kedudukannya agak lemah terutama setelah PRU-12. Orang Cina tidak merasakan mereka rugi apa-apa dalam PRU-12. Bagi mereka, sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menang sama sahaja. Soi Lek pula kata ucapannya dipolitikkan. Hakikat sebenarnya, memang itu yang dia kata (baca sini).
Pemimpin Melayu pulak apabila dicuit bercakap berdegar-degar dan membantah kenyataan Soi Lek atas nama membela Melayu. Namun pada saya seperti juga pendapat Hashim Suboh, semuanya hanya retorik politik belaka. Semuanya cuba menagih "short-term political mileage". Setakat bercakap sahaja tak guna. Dalam tempoh lebih 50 tahun kita telah memegang tampuk pemerintahan negara yang tercinta ini.... kedudukan Melayu sepatutnya jauh lebih baik dari sekarang.
Apalah gunanya sekadar menjadi Tuan yang hanya terpaksa bersandarkan fakta sejarah jika taraf ekonomi Melayu itu sendiri rata-rata langsung tidak mencerminkan taraf ketuanannya...
Sunday, 14 December 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment