Saturday, 21 November 2009

Ini Bukan Demokrasi Kita

Hari cuti begini, kalau tak kemana-mana memang saya selalu menghabiskan masa di hadapan komputer di rumah dan membaca pelbagai berita dari laman web serta blog. Memandangkan kecenderungan kepada politik tanah air, hari ini banyak berita politik yang saya baca. Akhirnya, saya termenung dan teringat lagu puisi ini:

Sampai kapankah kematian
Ibu tua dan anak kecil
Nyawa yang menjadi korban
Atas nama demokrasi

Sampai kapankah kehancuran
Tamadun yang dibanggakan
Darah merah jadi saksi
Kehebatan demokrasi

Apabila demokrasi datang
Bersama laskar dan senjata perang
Musnahlah kedamaian
Musnahlah keindahan
Yang tinggal kesengsaraan

Budaya pun bertukar ganti
Moral pun rosak dan keji
Minda dibuai ilusi
Yang bernama demokrasi

Lagu ini dinyanyikan oleh Sohaimi Meor Hassan (juga popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley) lama dulu dan amat sukar kedengaran di radio pada masa sekarang. Dulu-dulu masa mendengar lagu ini saya kurang faham liriknya. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di negara kita sekarang, saya semakin dapat menghayati lirik lagu di atas yang bertajuk 'Ini Bukan Demokrasi Kita'.

Tuesday, 17 November 2009

Kalau jadi PRK di Kota Siputeh...

ADUN Kota Siputeh telah dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak hadir sidang DUN. Selepas ini, kalau rayuan ditolak oleh mahkamah, memang kita bakal menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Kecil.

Awal-awal lagi sudah ada yang beri cadangan dalam blog tentang siapa yang paling sesuai jadi calon BN di Kota Siputeh. Ramai yang setuju walau pun ada yang tidak. Penyokong UMNO bukan main 'confident' lagi bahawa kerusi tersebut boleh dipertahankan dan ada yang yakin untuk tambah majoriti. Ini mungkin sebab terbaru ini UMNO menang besar di Bagan Pinang. Anwar Ibrahim pun dah buat kenyataan bahawa PAS akan bertanding di situ.

Kalau jadilah PRK di Kota Siputeh... keadaan tidak akan sama seperti di Bagan Pinang. Jangan 'syok' lebih-lebih. Orang tempatan pun banyak juga yang dah 'fade-up'. Mereka dah beri mandat pada Abu Hassan dan BN. Kenapa dia buat perangai tak bertanggung jawab? Kalau macam ini tahap prestasi wakil rakyat BN di Kota Siputeh, mungkin sudah timbul keinginan orang Kota Siputeh untuk tukar wakil rakyat.

Lebih-lebih lagi kerajaan PAS di Kedah nampak steady sahaja dan tak banyak cerita macam negeri-negeri lain yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan. Kita pun tak boleh nafikan bahawa MB Kedah kali ini memang 'steady' dan 'cool.' Orang UMNO sendiri yang berada di Kedah pun tak tertekan dengan stail Menteri Besar mereka sekarang.

Memang pening kepala Shapie Apdal dan UMNO Kedah nak 'tawan' kembali negeri Jelapang Padi tu. Sama juga ceritanya di Kota Siputeh. Kalau ikut bahasa loghat utara, 'wakil rakyat BN ni kira dok 'lena' lah sampai mesyuarat sekali-sekala pun tak boleh nak pi. Silap haribulan kalau macam ini boleh jatuh ke tangan PAS. Dulu pun calon BN hanya menang 495 undi sahaja (Abu Hassan 8,160 dan calon PAS Ismail Wan Teh 7,665.

Kalau jadi PRK Kota Siputeh... jangan dok mimpi lebih-lebih nak jadi macam Bagan Pinang!

Saturday, 7 November 2009

Tekanan politik, bai'ah dan 'parti Islam'

Kebelakangan ini, PAS secara terus menerus berdepan dengan pelbagai serangan politik yang nyata memberi tekanan yang tersendiri. Isu-isu seperti pergolakan di Perak dan Selangor, isu kerajaan perpaduan serta isu kepimpinan yang dicetuskan oleh Nik Aziz membawa kepada parti itu mengadakan seminar politiknya di Taman Melewar hari ini. Akhir-akhir ini ada pula cerita-cerita yang mengaitkan beberapa pemimpin PAS mula mengkhianati parti tersebut dan berminat dengan kerajaan perpaduan... wallahualam.

Tekanan ke atas parti tersebut juga turut bertambah dengan isyarat perubahan yang semakin nyata dalam UMNO selaku parti utama Barisan Nasional. Menurut Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, semua parti patut sedar bahawa menjelang PRU-13 nanti kemungkinan sekali corak pemikiran pengundi tidak akan sama lagi dengan situasi PRU-13. Sangat berkemungkinan, tidak akan ada lagi pemikiran 'anything but UMNO' kerana sedikit sebanyak Najib telah berjaya memperbaiki 'kerosakan' yang dilakukan oleh Abdullah Badawi.

Berhadapan dengan tekanan politik semasa, PAS terpaksa memilih kaedahnya sendiri untuk memastikan kesetiaan pemimpin-pemimpinnya terhadap parti itu. Dalam perkembangan yang terbaru, PAS dilihat terpaksa bersandar kepada kaedah bai'ah atau sumpah taat setia jatuh talak tiga terhadap isteri bagi mengelak mana-mana pemimpin khususnya wakil rakyat mereka dari melompat parti.

Saya berpendapat, amalan ketaatan atau wala' seperti ini amat aneh. Saya bukan ahli agama, tapi rasa saya amalan bai'ah yang mengheret persefahaman rumah-tangga itu agak melampau dan dalam masa yang sama turut merendahkan institusi rumah tangga dan mertabat isteri serta kaum wanita.

Apa kata para muslimah PAS sendiri serta NGO-NGO yang selama ini memperjuangkan hak wanita? Bersetujukah dengan amalan bai'ah politik PAS ini? Islam dan adilkah cara ini? Mungkinkah muslimah PAS terpaksa bersetuju di atas dasar 'berjihad' kerana mereka di dalam sebuah parti Islam.

Mungkin sekali penulisan di dalam blog ini amat kecil suaranya, tetapi sebagai seorang Islam saya sangat berharap PAS melihat kembali amalan ini. Walaupun setiap parti itu ada matlamat politiknya yang tersendiri, hal-hal berkaitan institusi rumah tangga serta agama Islam itu sendiri tidak sepatutnya diheret menjadi perisai tekanan politik oleh sebuah parti yang mengaku 'parti Islam'.

Friday, 6 November 2009

Mengapa baru sekarang?

Berita Harian, 6 Nov : Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat, sebaliknya beranggapan ia tidak sesuai untuk umat Islam negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Jika sesat, habislah jemaah kita yang solat di Makkah kerana mengikut imam di sana yang berfahaman Wahabi. Fahaman itu tidak sesat, cuma ada perbezaan dengan apa yang kita amalkan selama ini," katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan, di Masjid Wilayah, di sini semalam. Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.

Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.

Berikutan itu, Mashitah berkata, kerajaan dan Majlis Fatwa sedang menelitinya secara berhati-hati supaya tidak membahayakan dan menimbulkan ketegangan di kalangan orang agama atau masyarakat. Jika menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat atau menyentuh soal akidah hingga membawa terbatal syahadah, tindakan akan dikuatkuasakan.

"Fahaman Wahabi yang disifatkan sebagai isu sensitif masih boleh dibendung kerana perbezaan aliran itu masih boleh diterima selagi tidak menyentuh akidah. Kita mengambil pendekatan yang halus dan diplomasi kerana banyak yang perlu kita jaga terutama perpaduan masyarakat," katanya.

Komen : Mengapa baru sekarang perkara ini dihebohkan, sehinggakan berlaku penangkapan Dr. MAZA atas alasan memberi kuliah agama 'tanpa tauliah'? Tidakkah cara tindakan yang telah diambil oleh JAIS itu telah menambah kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia, sekaligus menimbulkan ketegangan dan mengancam perpaduan masyarakat?

Monday, 2 November 2009

Dungunya sebuah jabatan kerajaan

Tindakan menangkap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin adalah antara tindakan paling dungu yang pernah dilakukan oleh sebuah jabatan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal agama Islam. Lebih menjengkelkan lagi ialah bekas Mufti Perlis itu diperlakukan seperti seorang penjenayah dengan kehadiran lebih 30 orang polis di lokasi penangkapan, atas kesalahan mengadakan ceramah agama tanpa permit.

Susah nak percaya bahawa itu sebab sebenar penangkapannya kerana umum kenal dan tahu Dr. Asri juga setiap minggu menulis dalam Mingguan Malaysia, selain pendapatnya dalam hal-ehwal agama yang selalu menjadi rujukan pelbagai pihak. Kenapa tak ditangkap sahaja penceramah-penceramah agama tak berpermit yang saban hari memainkan jarum politik di masjid dan surau-surau di serata Selangor. JAIS diperkuda untuk tujuan politik, dan 'permainan' ini sangat memalukan umat Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, si Ketua Pemuda UMNO hanya bersuara lembik dengan mengatakan beliau 'akan pantau tindakan JAIS' dan mengecam jabatan tersebut jika berlaku sebarang tindakan tidak adil terhadap bekas mufti itu. Kalau setakat pantau dan nak kecam... tak payahlah jadi Ketua Pemuda!