Wednesday, 14 April 2010

MIC kasi kepala pening!

Sebahagian daripada ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor hari ini memberi kata dua kepada kepemimpinan Barisan Nasional agar mecalonkan timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel di parlimen Hulu Selangor atau menghadapi pembubaran cawangannya.

Tindakan itu dilihat menghangatkan lagi suasana apabila BN dijangka mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini. Hampir separuh daripada ketua cawangan yang mewakili kira-kira 30 daripada 72 ketua cawangan hadir di ibupejabat MIC bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru untuk meluahkan sokongan kepada Palanivel.

Menurut mereka jika cadangan supaya Palanivel dicalonkan ditolak oleh BN, tindakan itu sesuatu yang memalukan kepada MIC dan pemimpin parti itu. “Kami tidak akan keluar mengundi jika calonnya bukan Palanivel,” kata K Allo Pillai, seorang penyokong akar umbi yang membayangkan BN mungkin dipulaukan.

Ketua penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy juga mengugut bahawa semua cawangan MIC di kawasan pilihan raya itu akan ditutup, kika tuntutan mereka agara Palnivel dicalonkan ditolak. "Kami menyokong penuh Palanivel kerana dia pemimpin berwibawa, bersih dan telah menjadi penduduk di kawasan ini untuk hampir 15 tahun, “ kata Raily.

Beliau menjelaskan Palanivel, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak semestinya dilahirkan di kawasan pilihan raya itu untuk diiktiraf sebagai anak tempatan. "Dia (Palanivel) kenal siapa Ah Kaw, Ahmad dan Ramasamy di sini kerana telah berada 18 tahun di sini,” katanya.

Ditanya sama ada mereka akan menyokong calon MIC yang lain, Raily berkata: “Jawatankuasa pusat MIC telah memutuskan Palanivel sebagai calon Hulu Selangor dan perkara itu adalah muktamad.” - Malaysiakini

Komen:
PM Najib sekarang lagi pening dengan MIC ni. Bagi kena tak bagi pun kena...

Hulu Selangor dan "emotional intelligence"

Sejak tarikh kekosongan kerusi Ahli Parlimen Hulu Selangor, orang dah mula mencongak siapa bakal jadi calon pula kali ini. Orang Hulu Selangor dah pernah merasa mempunyai wakil dari BN dan juga Pakatan Rakyat. Mana yang bagus dan mana yang hampas. Parti politik perlu memiliki "emotional intelligence" untuk menang dalam PRK Hulu Selangor kali ini, malah dalam mana-mana pilihanraya pun itu suatu kriteria penentu. Najib pun selalu kata, kita kena tahu 'denyut nadi rakyat'.

Dulu wakil rakyat BN, Palanivel jadi orang besar Hulu Selangor selama 18 tahun. Hulu Selangor yang punya peratusan pengundi Melayu yang besar itu tak banyak berubah. Mungkin wakil rakyat berbangsa India itu gagal menghayati 'denyut nadi rakyat'. Lepas ribut melanda, orang Hulu Selangor cuba-cuba bagi pada calon Melayu pula. Tapi masa tu yang ada hanya calon Pakatan Rakyat.... pun kalibernya tak seberapa juga.

Dengan apa yang dirasai sejak 20 tahun lalu, orang Hulu Selangor mahukan calon mereka dari golongan Melayu. Sekurang-kurangnya yang boleh tolong baca Al-Fatihah bila mereka mati nanti. Ini yang rakyat mahukan. Pakatan Rakyat telah mengumumkan Zaid Ibrahim sebagai calon mereka bagi PRK Hulu Selangor. BN belum umum siapa calon, tapi awal-awal lagi Najib dah maklumkan bahawa calon mereka nanti dari MIC. It seems like he doesn't walk the talk (at least in this case!)... tak tahulah pulak kalau ada Melayu dalam MIC?

Walaupun atas semangat 1Malaysia, kebijaksanaan mengurus tadbir persepsi dan emosi rakyat tetap menjadi urusan politik. Ya lah... atas semangat parti, jentera pilihanraya tetap akan berkampung dan berkempen di Hulu Selangor. Bilangan poster dan banner bukan penentu kemenangan. Kalau kita berkesempatan melawat beberapa negara maju sehari sebelum pilihanraya umum mereka, silap-silap satu poster parti politik pun kita tak dapat lihat digantung di tiang lampu.

Apa yang penting, parti bertanding harus sensitif, mampu memahami dan mampu menjangka emosi pengundi. Itu sesuatu yang pasti kalau nak menang pilihanraya. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kepala parti politik masa kini selalu buat kita pening.

Tuesday, 30 March 2010

Sanggupkah CSL berkorban?

Chua Soi Lek (CSL) kini menjadi Presiden MCA yang ke-9. Semua pihak harus mengakuri validiti proses pemilihan yang baru dilaksanakan oleh MCA. Itu yang dimahukan oleh majoriti perwakilan parti dominan kaum Cina tersebut, tidak kira apa pun latarbelakang atau sejarah silam individu yang telah mereka pilih. Apa yang penting, parti tersebut wajib bersatu demi keutuhan Barisan Nasional yang bakal menghadapi PRK Hulu Selangor serta yang lebih penting ialah PRU-13.

Kalau ikut kata beberapa pemerhati politik, isu DVD yang melibatkan CSL akan terus dimainkan oleh seteru-seteru politiknya. Kalau ini berlaku, maknanya parti tersebut akan terus terbelah. Apakah ini memang muslihat sebahagian kaum Cina yang mahu mempotretkan MCA sebagai sebuah parti yang tidak boleh diharapkan lagi, dan sebaliknya menghalau orang-orang Cina ke kandang DAP.

CSL kena usaha keras untuk memperbetulkan keadaan serta membuktikan beliau adalah pemimpin yang benar-benar tepat untuk kembali menyatukan MCA. Mungkin dalam budaya orang Cina, apa yang berlaku seperti dalam DVD itu dulu masih boleh diterima kerana atas dasar 'suka sama suka'.

Isu skandal seks ini bagaimanapun tetap tidak akan dapat diterima oleh masyarakat Malaysia secara keseluruhan dan pasti memberi impak negatif serta 'bola tanggung' kepada pembangkang yang akan mengaitkan isu pemilihan CSL tersebut bagi mengimbangi kudis yang ada pada mereka akibat kes liwat Anwar Ibrahim.

Patutkah Najib memilih CSL untuk kembali ke dalam kabinet barunya memandangkan beliau adalah Presiden kepada parti kedua terbesar dalam BN. Pilih CSL jadi anggota kabinet sama seperti meng'OK'kan amalan tidak bermoral di kalangan pemimpin negara.

Dulu CSL dah tunjukkan 'kejantanannya' bila segera tampil membuat pengakuan bahawa beliaulah watak utama dalam filem DVD itu serta juga segera meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada masa itu.

Soalnya sekarang, sanggupkah CSL menunjukkan pendiriannya dengan menolak jawatan Menteri Kabinet jika ditawarkan demi menjaga 'kesihatan' BN. Sanggupkah CSL berkorban lagi? Sanggupkah ahli MCA menerima hakikat ini untuk menjaga imej BN? Tanpa jawatan sebagai menteri, apakah CSL akan dilihat sebagai seorang pemimpin yang berkuasa oleh orang-orang Cina?

Wednesday, 24 March 2010

Buat apa nak pujuk!

Semalam ADUN Titi Tinggi telah mengesahkan segala khabar angin yang telah lama bertiup di Perlis bila beliau menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada YB Speaker DUN.

Yip Sun Onn mula menjadi wakil rakyat (BN-MCA) bagi Titi Tinggi selepas PRU-12 yang lalu. Kawasan N1 Titi Tinggi, Perlis merupakan kawasan DUN yang letaknya paling utara di Malaysia, dalam kawasan Parlimen Padang Besar. Majoriti pengundi di sini ialah orang Melayu.

Dalam kawasan inilah letaknya pekan Padang Besar yang merupakan salah satu dari pintu masuk utama sempadan Malaysia-Thailand... agaknya kalau diadakan Pilihanraya Kecil di sini selepas ini, bertambah meriahlah pekan Padang Besar, tidak kira di sebelah Malaysia mahu pun Thailand. Menarik!

Cerita Yip Sun Onn nak letak jawatan dah lama menjadi tajuk sembang orang dalam kawasan Parlimen Padang Besar ini. Ada macam-macam cerita. Ada yang kata dia kecewa kerana tidak dilantik menjadi Exco. Ada juga cerita dia nak masuk parti DAP. Ada yang kata dia tertekan kerana desakan-desakan dari pelbagai pihak terutama orang UMNO yang mahukan kawasan mereka diwakili oleh calon Melayu. Sememangnya selepas PRU-12 yang lalu, untuk pertama kalinya sebuah cawangan DAP telah pun wujud di kawasan Titi Tinggi.

Orang-orang UMNO di Titi Tinggi sejak sekian lama melalak supaya calon pilihanraya bagi kawasan ini dipilih dari parti UMNO. Lebih-lebih lagi bila Yip Sun Onn jadi wakil rakyat mereka bagi menggantikan wakil rakyat lama yang juga dari MCA. Yip Sun Onn ini dikatakan kurang pandai mengambil hati orang Melayu di kawasan ini berbanding wakil rakyat yang lepas.

UMNO-BN pula ceritanya nak cuba pujuk Yip Sun Onn ini supaya menarik balik hasratnya itu. Bagi saya, tak payah pujuk. Biarkan dia berhenti. Buat apa nak pujuk, orang politik harus ada pendirian dan kalau dia rasa dia tidak mahu lagi memberi khidmat di kawasan di mana dia dipilih, biarkan dia pergi.

BN kena jadi anak jantan. Adakan saja PRK di Titi Tinggi ini. Cari calon yang sesuai yang diinginkan rakyat. Biar rakyat yang tentukan. Biar kita lihat sejauh mana kekuatan BN di Padang Besar. Biar kita lihat sejauh mana hebatnya YAB Mat Isa Sabu menakhodakan UMNO-BN di Perlis. Biar meriah pekan Padang Besar...

Berita terbaru (2.35pm): Yip Sun Onn telah menarik balik perletakan jawatannya - PM

Sunday, 7 February 2010

PAS lapor pada polis: Blogger sepatutnya lebih beretika

Hari ini, PAS Kelantan telah membuat laporan polis terhadap sebuah blog yang menggambarkan MB Kelantan sedang 'diliwat' oleh Anwar Ibrahim.
Isu seumpama ini kini semakin menjadi-jadi. Walaupun setiap individu itu bebas untuk memuatkan apa sahaja di dalam blog mereka, tetapi dalam hal seumpama ini sepatutnya para blogger harus lebih beretika. Blogger bebas memberi pandangan tetapi mesti bertanggungjawab tentang apa yang mereka muatkan dan seboleh mungkin jika ianya melibatkan individu, kumpulan atau anggota masyarakat, ianya biarlah berasas.
Dalam kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai ilustrasi serta gambar boleh dicipta di alam siber. Tetapi sepatutnya, janganlah kemajuan ini digunakan untuk tujuan-tujuan fitnah serta tidak bermoral.
Bukannya saya hendak memihak kepada sesiapa dalam isu ini. Pembaca sendiri boleh melihat di dalam banyak blog sosio-politik (tidak kira blog pro-BN atau Pro-PR) semakin ramai blogger yang mengenepikan etika-etika serta batas susila dalam menulis untuk tatapan umum. Keadaan ini hanya akan memberi gambaran buruk terhadap tahap atau kelas minda kita sebagai rakyat Malaysia.
Apa yang saya luahkan ini rasanya telah banyak kali juga disuarakan oleh blogger-blogger lain. Sedihnya, masih banyak lagi yang menjadikan blog masing-masing sebagai tempat melepas emosi secara yang tidak bermoral. Senario seperti ini sebenarnya tidak berlaku di dalam blog-blog sosio-politik di negara-negara maju yang rakyatnya mempunyai minda kelas pertama.

Monday, 1 February 2010

Terima hakikat KJ punca kemelut

Petang ini terbaca artikel dari sebuah portal yang agak popular berkaitan 'huru-hara' yang sedang berlaku di dalam Pergerakan Pemuda UMNO saat ini. Klik di sini untuk membacanya.

Saya sangat bersetuju jika dikatakan masa yang lebih dari cukup telah diberikan kepada KJ untuk membuktikan bahawa dia benar-benar seorang pemimpin yang mampu menyatukan sayap utama UMNO itu.

Malah masa yang dimilikinya turut memadai jika beliau betul-betul ingin membuktikan bahawa tohmahan seteru-seteru politiknya selama ini bahawa dia seorang yang tamak dan gila jawatan adalah salah. Jika dia benar-benar 'berotak Oxford', tentu beliau lebih bijak mentadbir persepsi ahli-ahli parti, khasnya pemuda.

Sebaliknya, KJ terus menggoncang Pergerakan Pemuda dengan melantik pemimpin kurang berwibawa untuk menerajui kepimpinan Pemuda peringkat Negeri. Bukan sahaja di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan sebagaimana yang disebut dalam artikel, namun di Pergerakan Pemuda di Perlis juga sedang menghadapi krisis kepimpinan yang agak serius akibat dipimpin oleh orang yang kurang wibawa, yang juga dilantik oleh KJ sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada beliau semasa pemilihan yang lalu.

Kestabilan sayap parti adalah sangat penting bagi UMNO menghadapi PRU-13 yang dijangka amat sengit nanti. "Patah sayap, bertongkat paruh"... itu jika UMNO ada paruh! Situasi kini adalah saat getir yang perlu ditempuh oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Pengorbanan berlaku dan dituntut dalam pelbagai cara.

Pendapat peribadi saya, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun akar umbi telah sama-sama melihat bahawa KJ adalah salah satu faktor yang menidakkan penyatuan ahli sayap Pemuda. Cuma atas seribu satu alasan, ada yang mampu dengan lantang untuk melaungkan hakikat ini, sebaliknya seperti biasa sebilangan lagi mengamalkan "self-serving bias" dalam hal ini.

Kekusutan yang ada di dalam Pergerakan Pemuda harus segera dirungkai. Walau susah bagaimana pun, pemimpin dan ahli-ahli UMNO wajar tanpa sebarang sikap bias menerima hakikat bahawa KJ adalah antara penyebab kemelut serius di lapisan yang sepatutnya diharapkan lantang dan gagah mendayung bahtera parti ke medan perjuangan.

Saturday, 30 January 2010

Diktator, cauvinis & komunis

Kebelakangan ini konflik, krisis dan kontroversi di kalangan pemimpin-pemimpin dalam parti komponen Pakatan Rakyat semakin ketara. Antaranya ialah isu-isu berkaitan Khalid Ibrahim, Dr. Hasan Ali, Khalid Samad, Zulkifli Nordin, Elizabeth Wong, Husam Musa dan juga kenyataan-kenyataan kontroversi Nik Aziz serta ahli keluarganya.
Lebih dari itu, pergeseran dan hubungan dingin antara pemimpin Pakatan Rakyat yang dikatakan telah lama berlaku kini semakin terserlah. Antara yang terbaru ialah kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai seorang yang cauvinis, bersifat diktator dan berfikiran komunis.
Malah mantan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut menegur Lim Guan Eng yang sehingga kini masih gagal untuk menunaikan janji semasa PRU-12 yang lalu, antaranya ialah untuk mewujudkan pilihanraya Majlis Tempatan dan sistem tender terbuka. Sebaliknya yang berlaku kini ialah Ketua Menteri tersebut menjadi Pengerusi Lembaga Tender Negeri.
Saya melihat situasi seumpama ini tidak sepatutnya wujud di dalam sebuah pakatan parti politik yang masih di dalam peringkat mencari keyakinan rakyat untuk mencabar parti se usia Barisan Nasional.
Konflik seperti ini juga bukan antara rencah proses sebuah parti menuju kematangan, sebaliknya hanya memperjelaskan kedudukan sebenar bahawa gabungan Pakatan Rakyat ini merupakan suatu 'perkahwinan' yang mempunyai kepentingan bagi memenuhi hasrat pemimpin, bukan bertujuan memenuhi hasrat parti mahu pun rakyat.

Friday, 8 January 2010

Ini bukan cara kita

Nampaknya isu penggunaan perkataan kalimah Allah terus hangat dengan insiden perbuatan khianat ke atas bangunan gereja di Wangsa Maju dan Petaling Jaya. Walau apa pun pendapat pelbagai pihak mengenai keputusan mahkamah ke atas isu ini, perbuatan melakukan khianat seperti menyerang gereja atau mana-mana rumah ibadat bukan jalan penyelesaian. Ini bukan cara orang Malaysia, juga jelas bukan cara Islam menyelesaikan masalah.

Perbuatan hina seperti ini wajib dikutuk oleh semua rakyat Malaysia dan kita berharap kumpulan yang berfikiran sempit seumpama ini segera dibawa ke muka pengadilan. Dalam pada itu, jangan pula ada pihak yang bertindak balas dan mula membangkitkan api kebencian, ketakutan, kecelaruan dan prasangka melalui sebaran sms, email dan sebagainya dengan berita-berita palsu seolah sedang berlaku huru-hara di negara ini. Ini bukan cara kita.

Sebagai rakyat Malaysia yang maju, kita sepatutnya tidak terpengaruh dengan tindakan-tindakan yang bersifat provokatif. Isu ini telah pun dibawa ke mahkamah, dan walaupun keputusan semasa ada menimbulkan rasa tidak puas hati, mahkamah masih menyediakan prosedur serta saluran-saluran tertentu supaya jalan penyelesaian dapat dicari.

Satu lagi tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana rakyat Malaysia ialah cuba menuding jari kepada pihak parti politik serta kerajaan, dan menimbulkan prasangka di kalangan orang ramai bahawa semua ini suatu konspirasi.

.... apa saja kekalutan yang berlaku, semuanya dituduh 'konspirasi'. Ini bukan cara kita. Kalau macam ni bila nak maju?

Friday, 1 January 2010

Hulu Selangor akan jadi medan pertama

Hari pertama tahun baru ini telah ada satu spekulasi yang bertiup kencang. Semasa sesi teh tarik petang tadi, seorang rakan buka cerita bahawa Pilihanraya Kecil yang pertama bagi 2010 ini kemungkinan sekali akan berlaku di Hulu Selangor.

Ahli Parlimen PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dikatakan akan meletakkan jawatan di atas sebab-sebab kesihatan dirinya yang berada di tahap kronik. Cerita berkenaan tahap kesihatan Ahli Parlimen tersebut sebelum ini pernah dimuatkan dalam blog Anwar Ibrahim. Beliau memang tidak sihat sejak sebelum PRU-12 lagi, tetapi dicalonkan juga oleh Pakatan Rakyat memandang pakatan tersebut kekurangan calon yang sesuai pada ketika itu.

Hmm... spekulasi ini mungkin juga betul kerana kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah pun mula berkempen di kawasan berkenaan. Esok (2 Jan), Anwar Ibrahim akan turun berceramah di Hulu Selangor. PM Najib pula dijadualkan hadir di kawasan tersebut minggu hadapan bersempena satu program yang dianjurkan oleh UMNO.

Mungkinkah Hulu Selangor akan jadi medan pertama bagi menguji sejauhmana penerimaan rakyat Selangor terhadap kewibawaan Kerajaan Selangor sekarang, atau mereka berhasrat nak 'rujuk' kembali dengan BN yang mereka jatuhkan talak pada Mac 2008 lalu.

2010


Time has no divisions to mark its passage. There is never a thunderstorm or blare of trumpets to announce the beginning of a new month or year. Even when a new century begins it is only we mortals who ring bells and fire off pistols... 'Selamat Tahun Baru 2010 everybody!'