Monday 31 May 2010

Menjala Barisan Nasional

Sejak dua tiga hari ini, ramai orang bercakap mengenai isu subsidi. Kalau nak ikut Idris Jala, subsidi perlu dihapuskan secara berperingkat-peringkat kerana takut negara akan menghadapi krisis kewangan sebagaimana Greece.

Secara keseluruhannya subsidi yang diberikan oleh kerajaan pada tahun lalu berjumlah RM74 bilion dengan purata RM12,900 bagi setiap seisi rumah. Subsidi yang dimaksudkan termasuklah dari segi sosial, prasarana, bahan api, dan makanan.

Idris Jala kata, pemansuhan subsidi secara berperingkat itu boleh mengurangkan perbelanjaan negara sehingga RM103 bilion dalam tempoh 5 tahun. Method pengurangan subsidi secara berperingkat yang disyor oleh Idris ini mendapat pujian dari banyak pihak.

Saya berharap Dato' Seri Najib berfikir 20 kali sebelum menerima cadangan CEO PEMANDU yang juga Menteri lantikannya. Walau saya bukan pakar ekonomi, sepertimana ramai orang lain saya juga nampak strategi Idris ini bakal 'menjala' kerajaan Barisan Nasional jika dilaksanakan. Idris mungkin melihat segalanya dari sudut ekonomi, tetapi kerana beliau bukan ahli politik saya rasa tentu pertimbangan beliau dalam isu ini telah mengenepikan pandangan dari sudut politik.

Kalau tanpa subsidi kerajaan selama ini, sudah tentu rakyat jelata dari golongan petani hidup dalam serba kemiskinan atau serba kekurangan. Kalau tidak kerana subsidi juga harga beras, gula dan petrol dah lama melambung macam yang berlaku di negara jiran kita. Subsidi sebenarnya membantu menaikkan kuasa beli rakyat negara ini dan secara tidak langsung turut menjana pertumbuhan ekonomi negara. Kalau tiada subsidi, kuasa beli rakyat turut berkurang dan akan beri kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Subsidi pun bukan hanya dinikmati oleh golongan rakyat miskin sahaja. Ia turut dinikmati (malah lebih banyak lagi) oleh rakyat berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, subsidi bahan api seperti petrol dan gas. Orang kaya yang ada lebih dari sebuah kereta tentu menggunakan lebih banyak bahan api ini berbanding golongan miskin yang hanya memiliki sebuah motorsikal atau tiada langsung kenderaan.

Jadi kalau penjanaan ekonomi melalui subsidi ini ditiadakan, dapatkah negara ini merealisasikan cita-cita Perdana menteri untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju pada 2020 nanti? Atau Malaysia akan jadi seperti negara Jepun pada sekitar tahun 1960an yang mengalami ekonomi 'stagnant' kerana kurangnya komitmen serta subsidi kerajaan bagi membantu penjanaan eekonomi.

Impak paling buruk sekali ialah bila kuasa beli rakyat mengecil, rakyat merasa susah berbelanja atau mencari makan. Pada ketika ini, kerajaan Najib akan dilihat oleh rakyat sebagai punca segala masalah kerana gagal membantu rakyat dan dasar-dasar yang dilaungkan Najib akan hanya dilihat bersifat retorik semata-mata. Situasi ini juga akan menjadi 'bola tanggung' kepada pembangkang untuk melakukan 'smash' maut di gelanggang politik... dan rakyat boleh menjadikan kerajaan Barisan Nasional Dato' Seri Najib bergelar 'pembangkang' selepas PRU-13.

Sunday 9 May 2010

Polis Oh Polis!


Artikel ini ditulis oleh Unta Belang dalam Malaysia-Instinct.

Seorang lagi remaja ditembak anggota polis di Jalan Seremban-Jelebu semalam. Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak setelah enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan berbuat demikian oleh dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda.

Berikutan kejadian itu, anggota polis berpangkat konstabel yang bertanggungjawab melepaskan tembakan terhadap remaja itu dikenakan tindakan gantung kerja serta-merta.

Apa yang Unta Belang nak ulas dalam kes ini ialah betapa kita patut berbangga kerana Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh awal-awal lagi menunjukkan sikap yang cukup terpuji apabila berani mengakui kesilapan anak buahnya sewaktu melakukan tugasan. Lebih daripada itu, beliau juga mengambil pendekatan yang tepat pada masanya apabila meminta maaf kepada pihak keluarga remaja terbabit di atas insiden yang berlaku.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai satu kesalahan menggunakan kuasa dan pihak kami amat memandang serius terhadap kesalahan ini.

“Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi seperti yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga remaja terbabit di atas insiden yang telah menimpanya. Polis memberi jaminan pihak kami akan menyiasat dengan lebih terperinci berhubung kes ini,” kata Osman.

Bagi Unta Belang, bila kita saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam. Apa yang lahir ialah rasa kasih sayang dan persefahaman yang sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan satu permuafakatan yang bakal menguntungkan semua pihak.

Sayang, ini semua tidak berlaku dalam kes adik Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak anggota polis peronda pada 26 April lalu.

Kita boleh lihat bagaimana Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agak emosional termasuk menyindir masyarakat kononnya tidak menghargai pengorbanan polis dalam menjalankan tugas.

Begitu juga kenyataan keras Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang 'marah-marah' bila ditanya wartawan mengenai campur tangan ahli politik dalam kes berkenaan

Bagi Unta Belang, kemarahan rakyat terhadap PDRM dalam kes Aminulrasyid mungkin tidak ketara sekiranya Musa dan Khalid mengambil pendekatan lebih berhemah ketika memberi ulasan atau ketika diminta memberi komen mengenai kes tersebut.

Ini tidak, raut wajah serta intonasi suara daripada mereka berdua nampak sangat terlalu defensif hingga membuatkan orang ramai semakin meluat dengan PDRM.

Apa salahnya Musa atau Khalid mengambil pendekatan pro-aktif dengan pergi melawat jenazah Aminulrasyid seperti mana Osman melawat Mohd. Azizi.

Janganlah terlalu ego, melawat atau menziarah mangsa bukan bermakna kita 'mengiktiraf' perbuatannya, ia cuma satu amalan PR yang baik seperti mana cogankata PDRM iaitu Cepat, Mesra dan Betul

Lagipun yang tembak kedua-dua remaja ini bukannya orang luar, tetapi anggota PDRM sendiri.

Percayalah, keluarga mangsa tak minta apa-apa kerana menangis airmata darah sekalipun ia tidak mungkin dapat mengembalikan insan yang mereka sayang itu, cuma janganlah sakiti mereka lagi dengan perkataan dan ulasan yang menyakitkan hati.

Mereka juga manusia, seperti mana Musa dan Khalid juga!


Komen:
Saya amat bersetuju dengan Unta Belang. Walaupun remaja yang menjadi mangsa tembakan adalah pesalah yang melanggar undang-undang, tetapi mungkin juga pegawai polis yang terbabit tidak mematuhi SOP semasa melakukan tugasnya.

Sebagai ketua, Musa dan Khalid sepatutnya lebih berhemah dalam berkomunikasi dengan masyarakat supaya organisasi mereka terus dihormati sebagai penjaga keamanan dan keselamatan rakyat, bukan pencetus kemarahan dan pengancam keselamatan rakyat.