Saturday 31 January 2009

Kalau ini benar... Najib pun tak sempat jadi PM

Seperti pada kebanyakan malam menjelang hujung minggu, saya keluar untuk minum teh tarik dengan beberapa orang kawan di kedai mamak. Ada beberapa tempat yang selalunya menjadi tempat 'bersidang' kami. Tapi kerapnya di kedai-kedai mamak sekitar mukim tempat tinggal 'ahli persidangan' sahaja iaitu sama ada di sekitar Taman Tun atau Kota Damansara.

Macam kebanyakan orang lain juga, kami suka berbual berkaitan isu semasa dan politik. Yang menariknya masing-masing selalu hadir dengan info terbaru yang panas dan datang dari pelbagai sumber. Ada yang rasmi (dari media lah tu), ada juga yang berbentuk gossip sahaja. Tetapi dah banyak juga gossip yang jadi benar...

Gossip-gossip malam ini buat saya termenung panjang dan di hati berkata, kalaulah ianya benar-benar terjadi... Najib tak sempat jadi PM dan kapal Umno akan benar-benar pecah dan karam menjadi tukun! Sebelum ini pun dalam blog POLITICA dan beberapa blog lain ada juga gossip-gossip yang mengatakan Pak Lah akan terus jadi PM selepas Mac 2009.

Tapi ini gossip terbaru yang saya dengar. Najib memang tak akan sempat jadi PM. Pak Lah sejak awal lagi tidak ikhlas untuk mengalihkan kuasanya kepada Najib. Pak Lah (dan KJ) belum puas jadi PM. Ketidak ikhlasan ini menjadi semakin ranum sejak berlaku desakan-desakan supaya Pak Lah turun takhta lebih awal (setelah beliau mengumumkan tempoh peralihan kuasa yang asalnya pada 2010). Di tambah sedikit lagi dengan hasutan dari beberapa 'orang sekeliling', pemimpin yang dulunya digelar 'Mr. Clean' kini main kasar.

Bagaimana Najib terhalang? Ada tsunami lagi akan melanda Umno. Tsunami kali kedua ini bukan dalam Pilihanraya atau pemilihan semasa Persidangan Agung Umno. Kali ini tsunami SPRM yang akan melanda. Mengikut 'penggosip', dalam jangkamasa terdekat ini ramai pemimpin besar Umno akan ditangkap. Fuhh... haru-biru kalau macam ni. Dari yang sedang memimpikan jawatan nombor satu dalam parti dan kerajaan, yang mengidamkan jawatan Ketua Pemuda, yang sedang menjadi menteri kabinet, hinggalah kepada 'taukey-taukey' Umno di peringkat negeri. Khabarnya Selangor dan Melaka paling top.

Kalau ini benar-benar terjadi, maka kenalah juga diakui bahawa ada juga rupanya bidang yang Pak Lah bijak. Bijak membuat 'cleansing' dalam parti sendiri (yang susah nak dibuatnya ialah pada parti lawan). Bijak percaturan ini dibuat. Akhirnya semua pencabar dan pengendeng teraju utama ditebas.

Hmm... kalau tsunami kedua ini benar berlaku, Najib tak akan jadi PM dan kapal Umno akan tenggelam. Kalau tsunami ini betul-betul melanda... wajiblah ahli-ahli Umno di semua peringkat sehingga ke akar umbi untuk bingkas dan segera bangun bertindak untuk sedaya upaya menyelamatkan kapal mereka yang tampak semakin lesu.

Tuesday 27 January 2009

Lompat Parti: Apa bezanya itu dan ini?

Nampaknya arena politik tanahair bergelora lagi dengan berita lompat-melompat parti. Secara umum, PKR dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat tersenyum lebar dengan pengumuman berita ADUN Bota yang keluar Umno dan menyertai PKR baca ini. Berita ITU juga memberi tamparan hebat kepada Umno Perak sehingga kewibawaan Dato Seri Tajol Rosli dipertikaikan dan sehingga memaksa semua wakil rakyat BN Perak berikrar setia di hadapan Dato Najib Tun Razak.

Sebenarnya ada lebih dari satu cerita 'lompat parti' yang berlaku sehari dua ini. Di Melaka, Ketua Pas Cawangan Musai, Bukit Baru serta 40 orang ahlinya telah keluar dari parti Pas dan menyertai Umno baca ini. Namun berita INI kurang diberi perhatian.

... apa bezanya ITU dan INI???

Saturday 24 January 2009

Umno perlukan proses 'Re-positioning', bukan Penjenamaan Semula

Ramai yang mengatakan Umno perlu berubah. Di samping itu ramai juga yang berpendapat Umno perlu kepada proses penjenamaan semula.

Atmosfera perlumbaan serta pertandingan parti-parti politik untuk memenangi dan menguasai kepercayaan rakyat sebenarnya sangat bersamaan dengan atmosfera pertandingan pemasaran berbilang produk di dalam dunia perniagaan. Dari perspektif ini, parti-parti politik boleh dilihat umpama produk-produk 'homogeneous' yang berbeza jenama di pasaran. Dari perspektif ini juga rakyat Malaysia yang layak menjadi pemilih adalah prospek pasaran atau pengguna yang akan membuat pilihan jenama mana yang akan dibeli.

Namun begitu, dalam melakukan promosi pemasaran, penjenamaan hanyalah salah satu dari pelbagai strategi yang diperlukan untuk memikat hati pengguna. Umno, Pas, DAP, PKR dan lain lain parti politik adalah jenama-jenama atau brand yang sudah dikenali oleh rakyat di negara ini. Jenama-jenama ini sudah melekat di hati rakyat. Maksudnya jika sebut Umno, Pas atau DAP, rakyat sudah kenal itulah antara pilihan jenama-jenama parti politik yang ada.

Setiap jenama parti politik ini (Umno, Pas, DAP dll.), jika disebut di depan kita, akan ujud satu persepsi berkaitan imej dan identiti parti politik tersebut. Proses ini dipanggil positioning atau lakaran persepsi tertentu terhadap sesuatu jenama produk.

Pada pendapat saya, kalau dulu (tidak pasti yang tepatnya berapa tahun dulu), jika disebut Umno, akan terlintas imej dan identiti positif parti ini dengan wadah perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara. Akan terlintas ciri-ciri kegagahan, kebijaksanaan serta ketokohan pemimpin utamanya yang sentiasa berfikiran setapak ke hadapan berbanding orang lain. Akan terlintas di fikiran tentang kekuatan serta kepercayaan majoriti rakyat negara ini tehadap jenama ini. Akan ujud rasa bangga terhadap budi dan jasa yang telah dilakukan oleh parti yang berjenama Umno ini.

Bagaimanapun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sama ada secara sedar atau tidak, parti Umno, dengan gaya dan corak kepimpinan semasanya telah melakukan banyak kesilapan yang menyebabkan imej dan identiti Umno menjadi negatif dari persepsi banyak rakyat Malaysia (sudah tentunya tidak semua). Kesilapan-kesilapan ini telah saya kupas dalam posting sebelum ini. Penulis-penulis lain juga banyak menyenaraikan kesilapan-kesilapan Umno dan BN.

Keadaan menjadi semakin parah bila ditambah pula dengan keberjayaan beberapa parti saingan yang mampu membuat positioning yang baik untuk melakarkan imej positif mereka di hati rakyat. Pas sebagai contoh, tampak lebih elegan berbanding dulu dengan penyertaan lebih ramai golongan profesional (walaupun arah perjuangan masih tidak menentu, lebih-lebih lagi setelah menyertai Pakatan Rakyat).

Saya berpendapat, jenama Umno sebenarnya sudah sinonim dengan perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan juga agama Islam. Jenama ini tiada salahnya. Akan tetapi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin dan ahlinya telah meletakkan atau mempositionkan Umno sebagai parti yang mempunyai imej dan identiti yang kurang baik.

Justeru, jika hanya melakukan penjenamaan semula tanpa berjaya melakarkan imej serta identiti yang tersohor, kedudukan semasa Umno sudah pasti tidak dapat diperbaiki. Parti Umno sebenarnya lebih perlu kepada proses re-positioning... bukan penjenamaan semula.

Monday 19 January 2009

Masih marah atau sudah jatuh talak?

Walaupun saya berpendapat bahawa PRK di KT tidak banyak membawa impak terhadap keadaan di Terengganu dan KT khasnya, namun kekalahan BN di P.36 ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa rakyat kini tidak akan mudah memberi undi kepada sesebuah parti, walaupun kepada parti yang telah menerajui Malaysia selama lebih 50 tahun dan menempa pelbagai kejayaan serta telah membawa pelbagai kemajuan untuk dinikmati oleh rakyat negara ini.

Banyak pihak berpendapat bahawa rakyat masih marah kepada Umno dan BN sehingga masih lagi mahu memberikan isyarat kepada BN supaya berubah. Namun, persoalannya adakah rakyat 'masih' marah atau telah melafazkan 'talak' kepada BN! Jika 'masih' marah, maksudnya ada peluang untuk dipujuk dan berbaik semula. Tetapi jika majoriti rakyat sudah melafazkan 'talak', alamatnya... kes berat! Umno telah ditolak sejak PRU-12 yang lalu dan terus ditolak dalam siri PRK selepas tsunami politik Mac 2008 itu.

PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat banyak belajar dari siri kekalahan mereka dalam banyak pilihanraya sebelum ini. Pendekatan yang mereka gunakan pada masa kini jelas menggambarkan parti itu kini telah berubah. Saya sangat tertarik dengan pesanan Tok Guru Nik Aziz supaya pemimpin dalam parti pembangkang tidak mengeluarkan kata-kata keangkuhan selepas kemenangan mereka di KT. 'Jangan lukakan hati lawan', katanya! Bukan itu sahaja, dalam banyak hal PAS kini telah berubah. Kini, tiada lagi kedengaran cakap bengis dan kasar dari pemimpin seperti Hj Hadi yang menampakkan kejanggalan sikap seorang yang mengaku ulama'.

Yang tidak banyak belajar dari kekalahan-kekalahan yang lalu ialah Umno dan BN. Cara berkempen Umno dan BN masih corak lama. Parti komponen BN dari kaum Cina dan India tidak banyak turun membantu dalam percubaan memancing undi kaum bukan Melayu di KT. Tidak seperti jentera DAP yang saya lihat sendiri bertungkus-lumus di KT memancing undi bukan Melayu dan aktif memberi ceramah di pelbagai lokasi.

Wakil Rakyat BN masih berlagak sebagai tuan dan 'boss'. Walhal, mereka dipilih oleh rakyat hanya untuk menjadi wakil. Mereka terlupa bahawa rakyatlah 'boss' mereka. Sikap keangkuhan pemimpin seperti inilah yang sebenarnya melebarkan jurang antara kepimpinan BN dengan rakyat jelata.

Kehadiran kumpulan penceramah ex-Keadilan yang kerjanya tiada lain selain menghentam DSAI (yang dulu mereka puja) juga saya lihat memberi kecacatan dalam kempen di KT. Kadangkala, penceramah-penceramah ini juga asyik membincangkan hal keistimewaan Melayu tanpa mengetahui ada segelintir bukan Melayu di celah-celah ratusan hadirin yang mendengar ceramah mereka. Penceramah-penceramah ini tidak pun berhati-hati dalam melafazkan kata-kata semasa berkempen. Takkan tak tahu saat-saat begitu amat kritikal untuk menjaga hati semua pengundi agar jangan ada yang terguris.

Strategi BN menggunakan media cetak dan elektronik yang tidak telus dan adil dalam membuat laporan nampaknya semakin memupuk kebencian di hati rakyat. Orang di kampung pun sudah pandai bertanya... betul ke yang surat khabar tulis tu?

BN perlu berubah. Umno perlu berubah. Umno perlu mengakui bahawa Pak Lah, KJ dan 'sekutunya' adalah liabiliti kepada Umno. Pak Lah, KJ dan 'sekutunya' perlu mengakui bahawa mereka adalah liabiliti kepada Umno. Siapa saja yang menerajui Umno selepas ini perlu segera membersihkan Umno dari liabiliti-liabiliti ini. Perlu berani!

Hanya dengan cara itu sajalah diharapkan rakyat yang merajuk atau 'masih' marah dapat dirayu dan dipujuk kembali.... itu pun kalau mereka benar-benar belum menjatuhkan 'talak'!

Thursday 15 January 2009

PRK KT - tiada isu besar, tiada impak besar

Dua hari yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi KT dan sempat meninjau suasana menjelang PRK. Walaupun hari penentuan telah terlalu hampir, namun suasana sangat tenang berbanding dengan suasana yang biasanya berlaku di kawasan-kawasan PRK yang lain sebelum ini.

Jentera BN dan PAS masing-masing bertungkus lumus membuat persiapan bagi menyambut 'raya' pada hujung minggu ini. Pondok-pondok jentera parti masing-masing terdapat di merata tempat, termasuk bilik gerakan dari jentera yang datang dari serata pelusuk tanah air. Dari segi perang poster, BN dilihat mengatasi PAS, namun sudah tentu itu tidak menjadi faktor penentu. Sesi ceramah diadakan di sana dan sini untuk mengetengahkan isu-isu yang diharap dapat memancing undi bagi memastikan kemenangan.

Warga tempatan KT nampak bersahaja. Peniaga Pasar Kepayang nampaknya murah rezeki bulan ini kerana limpahan pengunjung yang 'menyelam sambil minum air'. Begitu juga pengusaha restoran dan gerai makanan sama-sama 'all-out' dalam mengambil kesempatan meningkatkan jualan.

Sempat berbual dengan beberapa warga KT yang akan mengundi nanti, apabila dicungkil pendapat mereka mengenai parti yang mereka jangka mempunyai kelebihan dalam PRK kali ini, pelbagai reaksi ditunjukkan, tidak kurang juga yang enggan memberi komen.

Namun begitu, antara yang dapat saya kongsi ialah pendapat-pendapat berikut yang diberikan oleh segelintir warga KT:

1. Pengundi yang tidak fanatik dengan semangat kepartian kali ini akan memilih calon yang lebih mereka senangi tanpa mengira parti memandangkan PRK kali ini tidak akan memberi kesan yang mendalam terhadap teraju kepimpinan negeri. Ini bererti, siapa juga yang menang dilihat tidak akan membawa banyak perubahan kepada status KT yang telah pun bertaraf bandaraya. Kemajuan yang dicapai dari segi infrastruktur hampir-hampir telah dipenuhi dan orang KT tidak begitu dahagakan peningkatan dari sudut ini jika dibandingkan dengan warga luar bandar atau di kawasan pendalaman. Apatah lagi kini royalti minyak telah pun disalurkan kepada pucuk pimpinan negeri.

2. Hanya sebilangan pengundi yang benar-benar fanatik dengan semangat kepartian tidak akan mengira siapa calon. Parti yang disokong tetap akan menjadi pilihan. Kedua-dua parti, Umno yang mewakili BN dan PAS yang mewakili PR ada masalah dalaman masing-masing. Kalau ramai ahli masing-masing mempunyai semangat fanatik kepartian, parti beruntung kali ini. Kalau ahli nak tunjuk protes yang diterjemahkan dalam bentuk undi, nahaslah parti.

3. Dari segi kredibiliti calon jika dilihat secara 'in-person', ramai warga KT berpendapat, calon PAS tampak lebih meyakinkan, ditambah dengan prestasi beliau sebagai ADUN sejak sekian lama. Calon BN dilihat sebagai kurang mesra rakyat oleh yang mengenali. Bagi yang tidak pernah mengenali beliau secara dekat, mereka dengar cakap-cakap orang mengatakan beliau sebelum ini agak sombong, proksi Pak Lah dan KJ dan jauh terkebelakang untuk menandingi Arwah Dato' Razali yang disenangi. Ada juga yang memburukkan beliau kerana tidak hadir pada majlis tahlil arwah bekas Ahli Parlimen KT itu.

4. Orang-orang kuat Umno Terengganu pula bila di tanya mengenai peluang calon BN, mengakui sukar untuk buat ramalan kerana orang Umno KT semuanya tahu siapa yang lebih layak dan sepatutnya terpilih jadi calon BN untuk PRK kali ini. Bagi mereka, BN masih tidak mahu mengambil iktibar dab belajar dari kesilapan pada PRU yang lalu dengan sekali lagi menidakkan pendapat dan pilihan ahli akar umbi.

5. Orang-orang kuat PAS lebih yakin kepada calon 'kompromi' mereka walaupun ada kegusaran kerana pergolakan dalam parti yang melibatkan golongan yang kini dipanggil 'erdogan'. Pemimpin-pemimpin 'erdogan' PAS nampaknya tidak begitu 'all-out' dalam kempen kali ini walaupun kebanyakan mereka hanya bermastautin di negeri jiran terdekat. Bertelingkahan pendapat dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak mencalarkan arah perjuangan PAS yang mereka banggakan sebelum ini.

6. Orang-orang Cina yang sempat saya berbual nampaknya tidak ambil kisah sangat dengan isu hudud. Hudud bukan isu besar. Mereka telah berpengalaman hidup dibawah kepimpinan negeri semasa zaman PAS dan BN. Kedua-dua kata mereka, tiada banyak memberi masalah kepada perniagaan mereka. Mereka juga mengakui hudud tak akan berkuatkuasa dalam masa terdekat biarpun negeri diperintah oleh PAS. Yang penting bagi mereka, jangan ada kekacauan, perniagaan perlu diteruskan.

7. Calon bebas kali ini tidak popular macam 'Tok Mun'. Susah nak dapat undi. Susah meraih simpati.

Walau apa pun yang diperkatakan oleh segelintir orang yang saya jumpa di KT, pendapat mereka sudah tentu tidak dapat mewakili keseluruhan 80,000 pengundi KT.

Namun begitu, setelah dua hari berada di KT, saya mendapat gambaran bahawa PRK kali ini - tiada isu besar - sukar diramal pemenangnya - keputusan PRK tidak banyak impaknya terhadap parti yang bertanding, mahupun kehidupan seharian di KT.

Thursday 1 January 2009

Wishing You A Happy New Year 2009!

It's beginning of a new year again and I would like to take this opportunity to wish all of you a happy and prosperous new year 2009. May in this new year all our efforts turn into great achievements and all our dreams turn into reality.

Azam tahun 2008 dah terlaksana ke?

Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan dan keberkatan kepada kita untuk terus hidup di dalam negara Malaysia yang tercinta ini. Insyaallah.

... jangan lupa mulai 1 Jan penumpang kat belakang kereta kena pakai tali pinggang keledar!