Tuesday 30 March 2010

Sanggupkah CSL berkorban?

Chua Soi Lek (CSL) kini menjadi Presiden MCA yang ke-9. Semua pihak harus mengakuri validiti proses pemilihan yang baru dilaksanakan oleh MCA. Itu yang dimahukan oleh majoriti perwakilan parti dominan kaum Cina tersebut, tidak kira apa pun latarbelakang atau sejarah silam individu yang telah mereka pilih. Apa yang penting, parti tersebut wajib bersatu demi keutuhan Barisan Nasional yang bakal menghadapi PRK Hulu Selangor serta yang lebih penting ialah PRU-13.

Kalau ikut kata beberapa pemerhati politik, isu DVD yang melibatkan CSL akan terus dimainkan oleh seteru-seteru politiknya. Kalau ini berlaku, maknanya parti tersebut akan terus terbelah. Apakah ini memang muslihat sebahagian kaum Cina yang mahu mempotretkan MCA sebagai sebuah parti yang tidak boleh diharapkan lagi, dan sebaliknya menghalau orang-orang Cina ke kandang DAP.

CSL kena usaha keras untuk memperbetulkan keadaan serta membuktikan beliau adalah pemimpin yang benar-benar tepat untuk kembali menyatukan MCA. Mungkin dalam budaya orang Cina, apa yang berlaku seperti dalam DVD itu dulu masih boleh diterima kerana atas dasar 'suka sama suka'.

Isu skandal seks ini bagaimanapun tetap tidak akan dapat diterima oleh masyarakat Malaysia secara keseluruhan dan pasti memberi impak negatif serta 'bola tanggung' kepada pembangkang yang akan mengaitkan isu pemilihan CSL tersebut bagi mengimbangi kudis yang ada pada mereka akibat kes liwat Anwar Ibrahim.

Patutkah Najib memilih CSL untuk kembali ke dalam kabinet barunya memandangkan beliau adalah Presiden kepada parti kedua terbesar dalam BN. Pilih CSL jadi anggota kabinet sama seperti meng'OK'kan amalan tidak bermoral di kalangan pemimpin negara.

Dulu CSL dah tunjukkan 'kejantanannya' bila segera tampil membuat pengakuan bahawa beliaulah watak utama dalam filem DVD itu serta juga segera meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada masa itu.

Soalnya sekarang, sanggupkah CSL menunjukkan pendiriannya dengan menolak jawatan Menteri Kabinet jika ditawarkan demi menjaga 'kesihatan' BN. Sanggupkah CSL berkorban lagi? Sanggupkah ahli MCA menerima hakikat ini untuk menjaga imej BN? Tanpa jawatan sebagai menteri, apakah CSL akan dilihat sebagai seorang pemimpin yang berkuasa oleh orang-orang Cina?

No comments: