Nizar bukan calon yang baik untuk dipilih oleh pengundi-pengundi Melayu di Bukit Gantang. Sebagai seorang Melayu, ada beberapa faktor yang menyebabkan saya berpendapat demikian.Orang Melayu di negeri Perak yang peka terhadap setiap keputusan serta program yang dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah negeri itu selepas PRU-12 tentu maklum bahawa antara keputusan terawal yang dibuat oleh Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak ialah meluluskan hak milik tanah secara kekal kepada kaum Cina. Jika sekali pun kita tidak mahu mempertikaikan bahawa kaum Cina adalah warganegara serta juga rakyat Perak, sebagai orang Melayu adalah sukar untuk menafikan bahawa hati Melayu terguris amat dalam dengan keputusan yang dibuat oleh Nizar itu. Ini adalah kerana jumlah tanah yang diluluskan hak milik kepada penduduk kampung baru, kepada sekolah-sekolah Cina serta yang ditukar status dari leasehold kepada freehold bukan kepalang banyaknya, sedangkan dalam masa yang sama terdapat isu-isu hak milik tanah yang dituntut oleh orang Melayu tidak diselesaikan.
Orang seusia Nizar tidak boleh menafikan bahawa dia adalah antara generasi yang mendapat faedah dan nikmat dari Dasar Ekonomi Baru (DEB), suatu dasar yang telah berjaya menstrukturkan semula pola kependudukan kaum serta membantu golongan bumiputra untuk tidak begitu ketinggalan di dalam bidang ekonomi serta pendidikan. Bagaimanapun mungkin untuk tujuan survival politiknya, Nizar sebelum ini membuat keputusan untuk menyokong pemansuhan DEB yang mana tindakan beliau ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau turut menyokong pemansuhan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputra.
Sebagai seorang Melayu yang juga rakyat Malaysia yang berperlembagaan, kita harus berpegang kepada Rukun Negara. Namun semasa kemelut isu politik Perak, kita sedia maklum penderhakaan yang dibuat oleh Nizar. Tidak kira apa alasan sekali pun yang boleh diungkit oleh beliau atau parti-parti yang berpihak kepada beliau, Nizar tetap adalah seorang penderhaka.
Seorang rakan saya dari Perak pernah berkata, Nizar sangat bertuah kerana telah terpilih sebagai Menteri Besar 'by luck', namun begitu seingat rakan saya itu tiada apa yang telah betul-betul dikecapi oleh orang Melayu semasa Nizar 'in power'. Sebaliknya majoriti Melayu yang berpendapatan rendah semakin tertekan bila Nizar meluluskan kenaikan cukai pintu yang tinggi di Perak. Mungkinkah Melayu Perak sudi memberi peluang kedua kepada beliau?
Walaupun tidak lama, Nizar dari parti PAS mengecapi kemuncak dalam kerjaya politiknya apabila parti-parti pembangkang DAP, PKR dan PAS membentuk suatu pakatan. Namun begitu hingga hari ini pakatan tersebut belum mampu memperoleh kata sepakat dalam banyak hal. PAS di Kelantan dan Kedah adalah berlainan mertabatnya berbanding dengan PAS di Perak. PAS di Perak bukan rakan kongsi yang utama kerana negeri itu lebih dikuasai oleh DAP. Oleh yang demikian, dalam banyak hal PAS terpaksa mengikut telunjuk DAP yang lebih merupakan pemegang syer terbesar dalam perkongsian politik Perak. Sebab itulah Nizar hanya boneka semasa menjadi MB.
Jika bercakap dalam konteks memperjuangkan Melayu di Perak dan di Bukit Gantang khasnya, Nizar sukar melakukannya kerana PAS pemegang syer terkecil dalam perkongsian politik pembangkang di Perak. Selain itu, dia juga telah membuktikan bahawa dia tidak mempunyai kuasa ultra yang dapat mendominasi keputusan-keputusan yang perlu diambil walaupun semasa menduduki kerusi teratas dalam pemerintahan, lebih-lebih lagi bila berdepan dengan rakan DAP.
Sebab itulah, tanpa mengatakan siapa calon terbaik, saya sebaliknya berpendapat bahawa Nizar bukan calon yang baik untuk dipilih oleh pengundi Melayu di Bukit Gantang.

