Sunday 25 April 2010

Selepas menang

Keputusan rasmi telah diketahui. Calon BN, P.Kamalanathan (24,997 undi) menang menewaskan Dato' Zaid Ibrahim (23,272 undi) dengan majoriti 1,725 undi. Nampaknya strategi BN pada kali ini berjaya walaupun pada mulanya nampak ada gunung yang perlu didaki kerana Hulu Selangor yang mempunyai majoriti pengundi Melayu (54%) itu seolah memberi isyarat mereka mahukan calon Melayu.

Namun begitu, strategi meletakkan P.Kamalanathan, calon baru yang mempunyai kebolehan bertutur dengan bahasa Melayu berkualiti mungkin mengubah pelbagai persepsi. Zaid pula tak tertanggung serangan kempen yang menjadikan keperibadiannya sebagai sasaran. Dapatan kajiselidik beberapa badan NGO sebelum hari pengundian yang mengatakan kemenangan bakal memihak kepada Zaid nyata tersasar. Ombak rasa hati pengundi sukar dibaca.

Tak mengapalah, BN menang. Kemenangan ini pasti memberi impak besar ke atas moral BN yang melihat PRU-13 sebagai 'ultimate goal'. Oleh yang demikian, dek kerana menang di Hulu Selangor pemimpin-pemimpin BN janganlah nak mula bercakap besar dan cakap tinggi. Pengundi nampaknya dah mula sejuk hati dengan BN, jangan nak buat mereka kembali 'meluat'.

Semasa kempen di Hulu Selangor, ada banyak janji tinggi menggunung yang dilafazkan. BN kena segera tunaikan janji-janji tersebut jika tidak mahu berputih mata di PRU-13 nanti. Kemenangan BN banyak dibantu oleh pengundi dari kawasan tanah rancangan. Bukan sedikit yang dibelanjakan dan dijanjikan untuk menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut.

Ini sudah tentu akan dimanipulasikan oleh pembangkang bagi dijadikan alasan kekalahan mereka. Mereka akan berkata BN menang kerana 'rasuah' kepada pengundi tanah rancangan. Kepada pembangkang, sebarang penyelesaian masalah rakyat oleh BN yang mempunyai implikasi kewangan adalah rasuah, lebih-lebih lagi bila ia diumumkan menjelang pilihanraya. Alasan ini diberikan bila setiap kali parti pembangkang kalah.

Keputusan di Hulu Selangor juga masih menunjukkan dua pertiga pengundi Cina masih tidak memberi undi kepada BN. Mereka masih meyakini bahawa DAP dan Pakatan Rakyat dapat mengubah nasib mereka. BN ada banyak kerja untuk menyelesaikan perkara ini. Sekarang bukan lagi zaman BN boleh menang sekalipun meletak ketul batu sebagai calon.

Calon yang akan menang pilihanraya ialah calon berkualiti, buka calon yang kuat melobi. Najib juga kena peka dan tak boleh lagi mengulangi kesilapan Abdullah Badawi yang selamba mengenepikan 86 Ketua Bahagian UMNO sebagai calon di kawasan di mana mereka dihormati masyarakat.

Moga-moga kemenangan di Hulu Selangor menjadi petunjuk yang 'reliable' kepada PRU-13 nanti. Insyaallah.

No comments: