Saturday, 21 November 2009

Ini Bukan Demokrasi Kita

Hari cuti begini, kalau tak kemana-mana memang saya selalu menghabiskan masa di hadapan komputer di rumah dan membaca pelbagai berita dari laman web serta blog. Memandangkan kecenderungan kepada politik tanah air, hari ini banyak berita politik yang saya baca. Akhirnya, saya termenung dan teringat lagu puisi ini:

Sampai kapankah kematian
Ibu tua dan anak kecil
Nyawa yang menjadi korban
Atas nama demokrasi

Sampai kapankah kehancuran
Tamadun yang dibanggakan
Darah merah jadi saksi
Kehebatan demokrasi

Apabila demokrasi datang
Bersama laskar dan senjata perang
Musnahlah kedamaian
Musnahlah keindahan
Yang tinggal kesengsaraan

Budaya pun bertukar ganti
Moral pun rosak dan keji
Minda dibuai ilusi
Yang bernama demokrasi

Lagu ini dinyanyikan oleh Sohaimi Meor Hassan (juga popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley) lama dulu dan amat sukar kedengaran di radio pada masa sekarang. Dulu-dulu masa mendengar lagu ini saya kurang faham liriknya. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di negara kita sekarang, saya semakin dapat menghayati lirik lagu di atas yang bertajuk 'Ini Bukan Demokrasi Kita'.

Tuesday, 17 November 2009

Kalau jadi PRK di Kota Siputeh...

ADUN Kota Siputeh telah dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak hadir sidang DUN. Selepas ini, kalau rayuan ditolak oleh mahkamah, memang kita bakal menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Kecil.

Awal-awal lagi sudah ada yang beri cadangan dalam blog tentang siapa yang paling sesuai jadi calon BN di Kota Siputeh. Ramai yang setuju walau pun ada yang tidak. Penyokong UMNO bukan main 'confident' lagi bahawa kerusi tersebut boleh dipertahankan dan ada yang yakin untuk tambah majoriti. Ini mungkin sebab terbaru ini UMNO menang besar di Bagan Pinang. Anwar Ibrahim pun dah buat kenyataan bahawa PAS akan bertanding di situ.

Kalau jadilah PRK di Kota Siputeh... keadaan tidak akan sama seperti di Bagan Pinang. Jangan 'syok' lebih-lebih. Orang tempatan pun banyak juga yang dah 'fade-up'. Mereka dah beri mandat pada Abu Hassan dan BN. Kenapa dia buat perangai tak bertanggung jawab? Kalau macam ini tahap prestasi wakil rakyat BN di Kota Siputeh, mungkin sudah timbul keinginan orang Kota Siputeh untuk tukar wakil rakyat.

Lebih-lebih lagi kerajaan PAS di Kedah nampak steady sahaja dan tak banyak cerita macam negeri-negeri lain yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan. Kita pun tak boleh nafikan bahawa MB Kedah kali ini memang 'steady' dan 'cool.' Orang UMNO sendiri yang berada di Kedah pun tak tertekan dengan stail Menteri Besar mereka sekarang.

Memang pening kepala Shapie Apdal dan UMNO Kedah nak 'tawan' kembali negeri Jelapang Padi tu. Sama juga ceritanya di Kota Siputeh. Kalau ikut bahasa loghat utara, 'wakil rakyat BN ni kira dok 'lena' lah sampai mesyuarat sekali-sekala pun tak boleh nak pi. Silap haribulan kalau macam ini boleh jatuh ke tangan PAS. Dulu pun calon BN hanya menang 495 undi sahaja (Abu Hassan 8,160 dan calon PAS Ismail Wan Teh 7,665.

Kalau jadi PRK Kota Siputeh... jangan dok mimpi lebih-lebih nak jadi macam Bagan Pinang!

Saturday, 7 November 2009

Tekanan politik, bai'ah dan 'parti Islam'

Kebelakangan ini, PAS secara terus menerus berdepan dengan pelbagai serangan politik yang nyata memberi tekanan yang tersendiri. Isu-isu seperti pergolakan di Perak dan Selangor, isu kerajaan perpaduan serta isu kepimpinan yang dicetuskan oleh Nik Aziz membawa kepada parti itu mengadakan seminar politiknya di Taman Melewar hari ini. Akhir-akhir ini ada pula cerita-cerita yang mengaitkan beberapa pemimpin PAS mula mengkhianati parti tersebut dan berminat dengan kerajaan perpaduan... wallahualam.

Tekanan ke atas parti tersebut juga turut bertambah dengan isyarat perubahan yang semakin nyata dalam UMNO selaku parti utama Barisan Nasional. Menurut Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, semua parti patut sedar bahawa menjelang PRU-13 nanti kemungkinan sekali corak pemikiran pengundi tidak akan sama lagi dengan situasi PRU-13. Sangat berkemungkinan, tidak akan ada lagi pemikiran 'anything but UMNO' kerana sedikit sebanyak Najib telah berjaya memperbaiki 'kerosakan' yang dilakukan oleh Abdullah Badawi.

Berhadapan dengan tekanan politik semasa, PAS terpaksa memilih kaedahnya sendiri untuk memastikan kesetiaan pemimpin-pemimpinnya terhadap parti itu. Dalam perkembangan yang terbaru, PAS dilihat terpaksa bersandar kepada kaedah bai'ah atau sumpah taat setia jatuh talak tiga terhadap isteri bagi mengelak mana-mana pemimpin khususnya wakil rakyat mereka dari melompat parti.

Saya berpendapat, amalan ketaatan atau wala' seperti ini amat aneh. Saya bukan ahli agama, tapi rasa saya amalan bai'ah yang mengheret persefahaman rumah-tangga itu agak melampau dan dalam masa yang sama turut merendahkan institusi rumah tangga dan mertabat isteri serta kaum wanita.

Apa kata para muslimah PAS sendiri serta NGO-NGO yang selama ini memperjuangkan hak wanita? Bersetujukah dengan amalan bai'ah politik PAS ini? Islam dan adilkah cara ini? Mungkinkah muslimah PAS terpaksa bersetuju di atas dasar 'berjihad' kerana mereka di dalam sebuah parti Islam.

Mungkin sekali penulisan di dalam blog ini amat kecil suaranya, tetapi sebagai seorang Islam saya sangat berharap PAS melihat kembali amalan ini. Walaupun setiap parti itu ada matlamat politiknya yang tersendiri, hal-hal berkaitan institusi rumah tangga serta agama Islam itu sendiri tidak sepatutnya diheret menjadi perisai tekanan politik oleh sebuah parti yang mengaku 'parti Islam'.

Friday, 6 November 2009

Mengapa baru sekarang?

Berita Harian, 6 Nov : Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat, sebaliknya beranggapan ia tidak sesuai untuk umat Islam negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Jika sesat, habislah jemaah kita yang solat di Makkah kerana mengikut imam di sana yang berfahaman Wahabi. Fahaman itu tidak sesat, cuma ada perbezaan dengan apa yang kita amalkan selama ini," katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan, di Masjid Wilayah, di sini semalam. Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.

Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.

Berikutan itu, Mashitah berkata, kerajaan dan Majlis Fatwa sedang menelitinya secara berhati-hati supaya tidak membahayakan dan menimbulkan ketegangan di kalangan orang agama atau masyarakat. Jika menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat atau menyentuh soal akidah hingga membawa terbatal syahadah, tindakan akan dikuatkuasakan.

"Fahaman Wahabi yang disifatkan sebagai isu sensitif masih boleh dibendung kerana perbezaan aliran itu masih boleh diterima selagi tidak menyentuh akidah. Kita mengambil pendekatan yang halus dan diplomasi kerana banyak yang perlu kita jaga terutama perpaduan masyarakat," katanya.

Komen : Mengapa baru sekarang perkara ini dihebohkan, sehinggakan berlaku penangkapan Dr. MAZA atas alasan memberi kuliah agama 'tanpa tauliah'? Tidakkah cara tindakan yang telah diambil oleh JAIS itu telah menambah kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia, sekaligus menimbulkan ketegangan dan mengancam perpaduan masyarakat?

Monday, 2 November 2009

Dungunya sebuah jabatan kerajaan

Tindakan menangkap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin adalah antara tindakan paling dungu yang pernah dilakukan oleh sebuah jabatan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal agama Islam. Lebih menjengkelkan lagi ialah bekas Mufti Perlis itu diperlakukan seperti seorang penjenayah dengan kehadiran lebih 30 orang polis di lokasi penangkapan, atas kesalahan mengadakan ceramah agama tanpa permit.

Susah nak percaya bahawa itu sebab sebenar penangkapannya kerana umum kenal dan tahu Dr. Asri juga setiap minggu menulis dalam Mingguan Malaysia, selain pendapatnya dalam hal-ehwal agama yang selalu menjadi rujukan pelbagai pihak. Kenapa tak ditangkap sahaja penceramah-penceramah agama tak berpermit yang saban hari memainkan jarum politik di masjid dan surau-surau di serata Selangor. JAIS diperkuda untuk tujuan politik, dan 'permainan' ini sangat memalukan umat Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, si Ketua Pemuda UMNO hanya bersuara lembik dengan mengatakan beliau 'akan pantau tindakan JAIS' dan mengecam jabatan tersebut jika berlaku sebarang tindakan tidak adil terhadap bekas mufti itu. Kalau setakat pantau dan nak kecam... tak payahlah jadi Ketua Pemuda!

Friday, 23 October 2009

PAS pun nak 'berubah'

Bila UMNO buat pindaan perlembagaan dan melaungkan slogan perubahan sebelum ini, Nik Aziz kata itu retorik, kosmetik politik dan tidak konkrit. Beliau juga berpendapat sikap-sikap negatif yang ada dalam parti komponen BN kini telah mula memakan diri hinggakan timbul desakan-desakan untuk menukar pemimpin tertinggi MCA melalui EGM dan desakan kuat yang diterima oleh Samy Vellu untuk turun dari takhta MIC.

Apa sudah jadi? Semalam Mursyidul Am PAS itu pula seolah-olah melaungkan 'perubahan' dan mencetus keinginan untuk adakan suatu 'EGM' bagi menyingkirkan Presiden serta beberapa tokoh utama yang lain dalam parti tersebut (baca sini dan sini)

Walaupun ramai penyokong Pakatan Rakyat yang cuba berbohong kepada diri sendiri dengan menafikan keresahan mereka terhadap apa yang berlaku di Selangor, Bagan Pinang serta isu kerajaan perpaduan yang tenggelam timbul, hakikatnya 'poligami' PAS, DAP dan PKR juga sedang menempuh badai. Keyakinan semalam PAS dan pakatannya kini goyah kembali bila UMNO dan BN kembali bersolek dengan kosmetik berjenama.

Dulu sampan kecil dan mudik di sungai sahaja, senang 'control'... sekarang bahtera dah besar dan belayar di laut lepas, barulah kenal cabarannya! Hmm.. kalau pun betul-betul PAS buat EGM atau Muktamar Khas, harap-harap janganlah selepas itu ada ahlinya yang nak lari masuk Makhal Sakti.

Tuesday, 20 October 2009

PAS for All dan 1Malaysia

Dulu saya pernah kata politik itu hampir sama dengan strategi pemasaran. Dalam strategi pemasaran ada branding dan re-branding, positioning dan re-positioning, target market, market penetration, product oriented dan customer oriented. Semua ini juga ada dalam strategi politik.

Konsep 'PAS for All' dilaungkan oleh parti itu merupakan program promosi bertujuan untuk meluaskan sasaran pasaran parti tersebut kepada kaum bukan Islam di negara ini. Pada peringkat awal, slogan 'PAS for All' dilihat berjaya memberi impak yang positif dan berjaya menambat hati pengundi bukan Melayu serta 'orang atas pagar' semasa PRU-12 yang lalu.

PAS telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai orang bukan Islam, dan parti itu sanggup berjanji untuk menaikkan taraf KPP yang merupakan sayap parti tersebut supaya setaraf dengan Dewan. Namun janji tersebut masih belum mampu dikota lantaran terdapat banyak suara-suara tidak bersetuju di kalangan ahli PAS berkaitan idea ini. Ini melahirkan kebimbangan dan keraguan dikalangan bukan Melayu terhadap keikhlasan, kemampuan serta kesungguhan PAS merealisasikan 'PAS for All'.

Persaingan antara PAS dan UMNO/BN bagaikan 'Cola War'. Najib muncul dengan program promosinya '1Malaysia' yang objektifnya hampir sama dengan PAS for All, iaitu untuk memikat hati pengundi bukan Melayu. Penekanan 1Malaysia ialah terhadap usaha-usaha UMNO/BN untuk menzahirkan keadilan serta perjuangan untuk semua rakyat Malaysia. Dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas, pemimpin serta perwakilan langsung tidak menyebut hal perkauman. Kesungguhan yang ditunjukkan, jika berjaya direalisasikan dengan cepat mampu menarik kembali keyakinan bukan Melayu terhadap kepimpinan Najib.

Seperti dalam pemasaran, sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu, pelanggan menilai dengan melihat serta mencari kepastian samada rekabentuk serta kualiti produk yang dipasarkan sama seperti yang dijanjikan dalam program promosi. Begitu jugalah halnya dalam politik negara kita. Sebelum menghadapi PRU-13, rakyat akan mencari kepastian dan kebenaran antara PAS for All dan 1Malaysia.

Sunday, 11 October 2009

Calon 'recycle' pun OK kalau kena gayanya!

Nah... kali ini BN menang! Isa Samad mendapat 8,013 undi dan Zulkefly Omar mendapat 2,578 undi sahaja. BN menang dengan majoriti 5,435 iaitu jumlah yang jauh lebih besar berbanding semasa PRU-12 yang lalu.

Keputusan ini juga menunjukkan walaupun tindakan UMNO/BN meletakkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon telah mengundang pelbagai persepsi negatif (dari kacamata pemerhati politik) terhadap BN, pengundi di Bagan Pinang telah membuat keputusan dan mereka 'memaafkan' Isa Samad. Impaknya, kemenangan dalam PRK yang ditunggu-tunggu oleh BN telah menjelma. Akan tetapi ini bukan penghujungnya.

Episod ini harus dilihat dari perspektif yang lebih jauh serta skop yang lebih besar, iaitu samada ini akan memberi impak positif atau sebaliknya kepada PRU-13 nanti. BN tentu tidak mahu dikata 'winning the penny but loosing the pound' atau 'menang sekupang tetapi kalah seringgit' kerana setakat ini 'perubahan' sebenarnya belum benar-benar dapat dilihat dalam diri UMNO mahu pun BN. Selain itu juga Tan Sri Isa Samad yang menarik nafas lega perlu muhasabah diri dan tampil membuktikan dia sendiri sudah 'berubah' lantas khidmat yang berkualiti harus menjadi balasan kepada orang Bagan Pinang.

Nampaknya calon recycle pun OK juga kalau kena gayanya...

Thursday, 1 October 2009

PAS dan strategi politik

Sejak sekian lama, PAS telah muncul sebagai sebuah parti politik pembangkang yang utama di arena politik tanahair. Sejak kejayaan terbesar PAS dalam Pilihanraya 1959 parti ini kembali meniti sunyi dari kemenangan pilihanraya sehinggalah Mac 2008. Jarak tempoh itu sangat panjang. Dari zaman Hj Ahmad Fuad Hassan dan Dr Abbas Alias, hinggalah ke zaman Haji Hadi dan Nik Aziz.

Tempoh yang panjang itu juga menyaksikan perubahan lain terutama dari segi strategi politik yang digunakan oleh parti ini. Kalau di tempat saya dulu, yang jadi calon PAS rata-rata hanya golongan petani atau paling-paling drebar teksi. Calon PAS sekarang ada yang ada sarjana dan Ph.D. Dulu-dulu kalau kempen, cerita hukum hakam, tapi tiada maki hamun seperti sekarang. Pemimpin PAS dulu ‘ulamak’, tapi kini ada yang ‘erdogan’ serta orang ‘kecewa’ parti lain.

Dari pengamatan saya, PAS kini memang parti besar dan kuat. Strateginya menjadi serta pandai pula ambil kesempatan dari salah congak serta ‘ribut-ribut’ yang ada dalam parti lawan.

Tapi PAS macam parti-parti politik yang lain juga. Bila ada kuasa, banyak yang berebut. Islam bagi PAS kini betul-betul jadi ‘tema’ sahaja, mujur ada perkataan Islam pada nama parti yang didaftarkan itu. PAS sekarang mula keliru, nak Islam dulu atau kemudian pun tak apa. Betullah tu... nama pun politik!!!

Dulu Nik Aziz kata sosialis itu ‘adik-beradik’ komunis. Aha... DAP itu sosialis. Dalam PKR pula, sosialis pun ada nasionalis pun ada gamaknya! Dulu PAS beria-ia laungkan ‘hudud’, sekarang dah tak dengar lagi. PAS for ALL!

UMNO pernah hulur tangan masa Hadi sebut kerajaan perpaduan. Kalau nak sambut boleh tu... sekurang-kurangnya orang UMNO dan PAS sujud kea rah kiblat yang sama. Malang sekali Nik Aziz kata UMNO ‘tak Isle’... lantas lebih baik ‘berdakap’ dengan DAP... err.. saya tak pasti orang DAP sujud ke arah mana?

Di Perak, Ngeh baca ayat Quran dalam loghat Cina, ramai pak lebai suka dan tepuk tangan... deme kate Ngeh lebih Islam dari Ameno! Di Selangor pun lagi banyak cerita. MBPJ rampas arak, Exco DAP suruh pulang balik... tak kisah, juallah arak di 7E. Ingatkan Hassan Ali betul-betul hero... fuhh.. tak ke mana pun! Tak apa, Hassan cuba lagi dalam isu SELCAT... dah dituduh jadi tali barut UMNO pulak dah! Sebab Hassan melayu-Islam, bercakap sikit selalu kena tegur kerana PAS nak jaga ‘silaturrahim’ dengan ahli Pakatan. Tapi kalau DAP buat ‘loglaq’dan tak hormat pada orang Islam... biarkanlah!sikit saja! Mana Nik Aziz dan Hadi?... tak cerita pasal hudud pun!... betullah tu... nama pun politik! Strategi ni samalah macam Perjanjian Hudaibiah kata Khalid Samad!..eleh.. dia kata mula-mula memang Islam rugi sikit... sikit saja!

Betoi ka brader??? Takkan nak samakan strategi Hudaibiah dengan strategi politik PAS sekarang ni. Cuba fikir betul-betul, strategi yang PAS pakai sekarang ini kalau ada pun lebih memberi peluang kepada parti bukan melayu dan bukan Islam untuk mengukuhkan paksi mereka. Mana hudud?... sorry lupa pulak, PAS for ALL!

... di Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad Omar (PAS) nak lawan Isa Samad (UMNO)!

Monday, 28 September 2009

Isu tukar imam dan fahaman 'Wahabi' di Perlis

Ketika pulang beraya di Perlis baru-baru ini, memang saya ada terdengar berkaitan isu pertukaran seorang imam masjid di atas arahan dari Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis. Dari buah mulut rakan-rakan yang bercerita nampak macam wujud pelbagai tanggapan orang ramai terhadap tindakan ini. Ada yang kata Perlis nak kuat kuasakan fahaman Wahabi.

Ramai berpendapat sebab pertukaran tersebut ialah kerana imam berkaitan (Masjid Behor Temak) tidak mengamalkan fahaman 'sunnah' sepertimana yang biasa menjadi amalan di Perlis. Fahaman 'sunnah' di Perlis ini tidak sama dengan fahaman mazhab Syafi'e yang diamalkan di negeri lain di Malaysia. Ada juga orang panggil fahaman ini 'Wahabi'.

Sebagai contoh, orang di Perlis yang mengamalkan fahaman ini sejak puluhan tahun dahulu biasanya tidak membaca doa qunut dalam solat subuh, tidak membaca talqin serta tidak mengadakan majlis-majlis tahlil. Selepas sesuatu solat berjemaah, imam tidak akan membacakan doa secara kuat, tetapi ahli jemaah akan membacakan sendiri doa masing-masing. Allahyarham datuk saya yang berasal dari Padang, Sumatera pun dulu salah seorang guru agama di Perlis yang kuat berpegang kepada amalan 'sunnah' ini. Ada lagi beberapa tokoh agama di Perlis pada ketika itu yang berasal dari Sumatera barat. Bahan sejarah berkaitan perkembangan amalan ini ada di Muzium Negeri Perlis.

Pada hari ini oleh kerana banyak berlaku penghijrahan orang dari luar Perlis untuk menetap di Perlis, serta anak Perlis sendiri yang melanjutkan pelajaran serta bekerja di luar Perlis, amalan fekah di Perlis menjadi bercampur-campur. Fahaman mazhab Syafi'e pula semakin diamalkan di Perlis. Bagaimanapun bila Dr. Mohd Asri menjadi mufti Perlis, beliau banyak mengajar dan memperkukuhkan kembali amalan serta fahaman 'sunnah' atau 'Wahabi' ini di kalangan warga Perlis.

Isu pertukaran imam ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kekecohan, terutama di kalangan anak jemaah masjid yang terlibat. Ada yang tidak berpuas hati. Bagaimanapun, hari ini Pengarah JAIPs telah pun membuat kenyataan berkaitan isu ini. sila baca

Cuma yang kita harapkan ialah supaya isu ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan secara baik. Jangan pula dijadikan bahan kempen politik oleh mana-mana pihak yang hanya akan memecah-belahkan umat Islam dan orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan-bulan yang mulia ini. Insyaallah.