Monday, 28 September 2009

Isu tukar imam dan fahaman 'Wahabi' di Perlis

Ketika pulang beraya di Perlis baru-baru ini, memang saya ada terdengar berkaitan isu pertukaran seorang imam masjid di atas arahan dari Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis. Dari buah mulut rakan-rakan yang bercerita nampak macam wujud pelbagai tanggapan orang ramai terhadap tindakan ini. Ada yang kata Perlis nak kuat kuasakan fahaman Wahabi.

Ramai berpendapat sebab pertukaran tersebut ialah kerana imam berkaitan (Masjid Behor Temak) tidak mengamalkan fahaman 'sunnah' sepertimana yang biasa menjadi amalan di Perlis. Fahaman 'sunnah' di Perlis ini tidak sama dengan fahaman mazhab Syafi'e yang diamalkan di negeri lain di Malaysia. Ada juga orang panggil fahaman ini 'Wahabi'.

Sebagai contoh, orang di Perlis yang mengamalkan fahaman ini sejak puluhan tahun dahulu biasanya tidak membaca doa qunut dalam solat subuh, tidak membaca talqin serta tidak mengadakan majlis-majlis tahlil. Selepas sesuatu solat berjemaah, imam tidak akan membacakan doa secara kuat, tetapi ahli jemaah akan membacakan sendiri doa masing-masing. Allahyarham datuk saya yang berasal dari Padang, Sumatera pun dulu salah seorang guru agama di Perlis yang kuat berpegang kepada amalan 'sunnah' ini. Ada lagi beberapa tokoh agama di Perlis pada ketika itu yang berasal dari Sumatera barat. Bahan sejarah berkaitan perkembangan amalan ini ada di Muzium Negeri Perlis.

Pada hari ini oleh kerana banyak berlaku penghijrahan orang dari luar Perlis untuk menetap di Perlis, serta anak Perlis sendiri yang melanjutkan pelajaran serta bekerja di luar Perlis, amalan fekah di Perlis menjadi bercampur-campur. Fahaman mazhab Syafi'e pula semakin diamalkan di Perlis. Bagaimanapun bila Dr. Mohd Asri menjadi mufti Perlis, beliau banyak mengajar dan memperkukuhkan kembali amalan serta fahaman 'sunnah' atau 'Wahabi' ini di kalangan warga Perlis.

Isu pertukaran imam ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kekecohan, terutama di kalangan anak jemaah masjid yang terlibat. Ada yang tidak berpuas hati. Bagaimanapun, hari ini Pengarah JAIPs telah pun membuat kenyataan berkaitan isu ini. sila baca

Cuma yang kita harapkan ialah supaya isu ini tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan secara baik. Jangan pula dijadikan bahan kempen politik oleh mana-mana pihak yang hanya akan memecah-belahkan umat Islam dan orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan-bulan yang mulia ini. Insyaallah.

Saturday, 19 September 2009

Happy Eid Mubarak!


May Allah brings you joy, happiness, peace and prosperity on this blessed occasion. Wishing all of you on this happy occasion of Aidil-Fitri.... Selamat Hari Raya!

Thursday, 10 September 2009

Bagan Pinang: Calon 'recycle' ok ke?

Kita telah maklum bahawa bagi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Bagan Pinang, UMNO akan ditentang oleh PAS. Justeru, kebanyakan dari kita juga sudah mendengar desas desus berkaitan siapakah antara personaliti-personaliti yang mungkin berpeluang terpilih sebagai calon bagi kedua-dua parti yang bertanding.

Walaupun belum official, 'angin' bertiup kencang mengatakan Tan Sri Isa Samad (Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang) akan jadi calon UMNO sementara kemungkinan besar Zulkefli Mohd Omar (Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan) akan mewakili PAS. baca sini

PRK Bagan Pinang adalah sangat kritikal terutamanya bagi Barisan Nasional kerana sejak Mac 2008 yang lalu, telah 8 kali PRK diadakan dan BN tewas 1-7. Dalam siri kekalahan BN itu, hanya PRK Manek Urai ada memberi sedikit kemanisan, namun selepas itu UMNO kembali 'menembak kaki sendiri' di Permatang Pasir. Sejak PRU-12, saya berpendapat telah terlalu banyak 'ilmu' yang boleh UMNO/BN pelajari, jika ia mahu belajar.

Saya sangat bersetuju bahawa kemenangan serta kekalahan dalam sesuatu pilihanraya bukan hanya dipengaruhi oleh satu faktor sahaja, akan tetapi dalam era kini saya juga sangat bersetuju bahawa faktor calon merupakan salah 'pembolehubah' yang siknifikan terhadap keputusan yang dicari.

Calon pilihanraya yang mempunyai kriteria positif seperti berintegriti, anak tempatan, disenangi masyarakat, berpendidikan tinggi serta dinamik sangat berpotensi untuk meraih undi yang lebih dari calon yang memiliki kriteria sebaliknya. Calon yang tidak mempunyai isu peribadi yang negatif dapat mengelakkan diri dari strategi 'character assassination' yang digunakan oleh pihak lawan.

Bagi PRK Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad mungkin masih dilihat sebagai calon yang terbaik oleh sebahagian pemimpin dan penyokong UMNO di kawasan berkenaan, tetapi dengan meletakkan Isa Samad, UMNO seolah-olah meletakkan seorang calon bertaraf 'recycle'. Satu soalan yang boleh ditanya: tidak adakah calon muda yang berpotensi untuk diketengahkan?

Tidak dinafikan, Isa Samad banyak berjasa kepada rakyat Teluk Kemang, bahkan kepada Negeri Sembilan juga. Belia adalah bekas Menteri Besar serta ahli politik berpengalaman yang telah berkhidmat untuk sekian lama. Tidak keterlaluan jika dikatakan Isa masih berbisa. Tetapi pada persepsi umum, Isa juga 'tidak bersih' serta telah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO sendiri. Ini bererti beliau juga tidak menepati syarat sebagai calon yang baik.

Ok ke kalau letak calon recycle?

Dalam hal memilih calon ini, parti yang bertanding perlu fokus kepada matlamat yang ingin dicapai dalam pilihanraya supaya tidak tertembak kaki sendiri!


Sila juga baca:
Pelantaq Hujah: Isa di Bagan Pinang - Pembangkang juga bersetuju!?!?!?!?

Saturday, 5 September 2009

Polis masuk perangkap Uthayakumar

Jerat Uthayakumar mengena! Lewat petang tadi, polis telah menahan 16 orang termasuk Uthayakumar kerana menganjurkan perarakan dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka sebagai protes ke atas 'demonstrasi kepala lembu' yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

Perarakan petang tadi disertai oleh kira-kira 50 orang. Mereka berarak dari Masjid Jamek sambil memegang lilin yang dinyalakan. Namun sebaik sahaja memulakan perarakan, mereka telah dihalang oleh pihak polis dan sebahagian daripada mereka telah ditahan. baca sini Itulah sebenarnya yang mereka harapkan. Mereka berharap supaya ditangkap polis. Itulah 'jerat' sebenar yang dipasang oleh Uthayakumar bagi menggambarkan ketidakadilan pihak pemerintah dalam menguatkuasakan undang-undang serta adanya amalan 'double standard' dalam laungan 1Malaysia.

Sebelum ini saya pernah katakan bahawa komen Dato' Seri Hishammudin ke atas 'isu kepala lembu' adalah suatu kesilapan. baca sini Menurut Hishammudin, semasa demonstrasi di Shah Alam polis tidak mengambil apa-apa tindakan kerana jumlah mereka yang mengadakan demonstrasi adalah kecil (50 orang). Nah, kenyataan inilah yang memberi idea kepada Uthayakumar untuk mengenakan pihak polis dan hari ini dia berjaya.

Friday, 4 September 2009

By-Election the 9th

Al-Fatihah. Azman Mohd Noor, the Bagan Pinang state assemblyman (BN) passed away today of a heart attack at the Seremban Specialist Centre. This will trigger another by-election, the 9th since GE-12.

During March 2008 General Election, BN retained power in Negeri Sembilan but lost it's 2/3 majority in the state assembly. Currently there are 21 BN's state assemblymen, while 15 representatives are from PR. All but one of the previous eight by-elections were taken by the PR coalition. The most recent was in Permatang Pasir which saw BN being self-sabotaged by choosing an unfit candidate. Do they take that as a lesson?

Thursday, 3 September 2009

Kepala lembu - Hishammudin silap

Saya kata komen Hishammudin berkaitan 'isu kepala lembu' semalam adalah satu kesilapan. Reaksi beliau membuka seluas-luasnya ruang kepada seteru-seteru politiknya untuk membelasah kredibiliti kerajaan yang didominasi oleh UMNO dalam merealisasikan 1Malaysia.

Dato' Seri Hishammudin Hussein mempertahankan tindakan protes yang dilakukan oleh kumpulan 'penduduk Seksyen 23 Shah Alam' selepas mengadakan pertemuan dengan mereka semalam. Katanya, kumpulan ini hanya ingin suara mereka didengar, tetapi agak malang kerana bantahan mereka telah mendapat liputan meluas yang negatif kerana isu kepala lembu tersebut. baca sini

Dalam situasi kecelaruan politik sekarang, para pemimpin perlu berfikir 10 kali sebelum membuat sesuatu keputusan atau komen ke atas isu-isu tertentu, lebih-lebih lagi yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Apatah lagi dalam gemuruh laungan slogan 1Malaysia yang semakin menjerut UMNO dan BN sendiri.

Monday, 31 August 2009

Kepala lembu - It is just not wright!

It's just not wright! That is what I can say about the 'cow-head demo' in Shah Alam last Friday. After 52 years of 'merdeka', why would they have to do that? When matter can be better handled, why do they need to express hatred... in the holy month of Ramadhan? Islam teaches us to respect one another and am sure that is also what other religion preaches people to do. So, regardless of faiths, lets learn to respect each other. Selamat Hari Kebangsaan!

Saturday, 29 August 2009

Makna MERDEKA

Dua hari lagi rakyat Malaysia akan sekali lagi menyambut Hari Kebangsaan. Tibanya tarikh 31 Ogos 2009 juga bererti negara ini telah 52 tahun merdeka, dan pada setiap kali tarikh ini tiba ianya disambut dengan pelbagai acara dan cara. Tahun ini, Hari Kebangsaan jatuh pula pada bulan Ramadhan dan ketika penularan H1N1. Tiada acara sambutan besar-besaran di Dataran Merdeka, sebaliknya akan disambut secara sederhana di kawasan bangunan Parlimen Malaysia.

Mungkinkah itu puncanya tahun ini orang Malaysia malas hendak kibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah masing-masing? Begitu juga keadaannya di premis-premis perniagaan serta bangunan pejabat kerajaan dan swasta. Mana perginya semangat patriotik? Ramadhan dan H1Ni bukan alasan dan jawapannya kepada persoalan ini. Benar, semangat patriotik bukan hanya setakat mengibarkan Jalur Gemilang, namun itu tetap merupakan sekecil-kecil usaha untuk menghayati suatu hari yang amat bersejarah.

Ramaikah lagi yang mampu menghayati erti kemerdekaan ini setelah 52 tahun ianya dicapai? Dalam suasana negara mengharungi kegawatan ekonomi serta juga kekalutan politik, ramai yang mungkin stress melihat kenaikan harga barang dan siri pilihanraya yang bertali arus. Di kala generasi baru tercari-cari buku sejarah negara mereka sendiri, sudah pasti ada yang gembira menangguk di air yang keruh ini.

Hari ini, yang bukan pejuang pun dikatakan pejuang. Yang haram itulah yang seronok dilakukan. Apatah lagi jika dilakukan beramai-ramai. Bagaikan nak berpesta 'Loi Krathong', berduyun menyewa bas datang ke ibunegara sekadar untuk berarak dan disimbah air. Ada yang suka lempar batu sembunyi tangan, bunuh kawan dan kemudian menuduh lawan. Ada pula yang sudah berani menentukan siapa ke syurga dan siapa tidak. Agama menjadi kenderaan politik.

Di kala generasi baru tercari-cari buku sejarah negara mereka sendiri, ada yang mengambil kesempatan untuk melanggar kontrak sosial. Hak peribumi kini berani dipersoal. Paling malang, ada pula peribumi sama-sama bersatu menggadai hak sendiri. Demi politik, matlamat menghalalkan cara. Yang bukan bumiputera pun minta dijadikan bumiputera. Generasi muda semakin keliru.

Hari ini, jika kita ajukan soalan kepada rakyat Malaysia tentang pengertian merdeka, ramai yang akan berkerut dahi dan tidak pasti. Mungkin kerana kini negara kita sudah maju dan sudah terlalu lama merdeka, makna merdeka jadi pelbagai. Kecelaruan ini jika berlarutan, pasti negatif kesinambungannya. Betulkah 1Malaysia?

Sunday, 23 August 2009

Kalau tak jujur, bagaimana nak jadi wakil rakyat?

Dalam pilihanraya, ada pengundi membuat keputusan untuk memilih berdasarkan parti yang mereka sokong. Ada pula yang akan membuat keputusan setelah meneliti kualiti yang ada pada setiap calon, tidak kira parti apa pun yang calon tersebut wakili. Ada pula yang mengambilkira kedua-dua faktor iaitu calon serta partinya sekali.

Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi seseorang calon itu mempunyai tahap integriti yang tinggi. Sifat-sifat seperti jujur, amanah dan ikhlas akan menonjolkan kualiti seseorang calon selain dari sifat-sifat dinamik, disenangi ramai, serta sifat-sifat lain yang menunjukkan kewibawaan beliau selaku bakal pemimpin.

Pihak pengurusan parti juga biasanya akan melihat kriteria-kriteria seperti yang saya sebutkan itu untuk memilih calon yang akan mewakili parti dalam pilihanraya. Pengurusan parti pasti membuat kesilapan yang maha besar sekiranya calon itu dipilih kerana kuat melobi. Individu berkualiti biasanya tidak gemar melobi. Cuma kepimpinan parti yang patut bijak mengesan mana batu, mana permata.

Bukan nak meramal keputusan PRK Permatang Pasir. Calon yang diketengahkan oleh PAS bukanlah 'outstanding'. Tetapi calon BN kali ini nampaknya dipilih di kalangan orang bermasalah. Rohaizat pada mulanya bergelut dengan isu lesen guamannya yang dibatalkan ekoran isu penyelewangan wang koperasi pekebun getah. Kini beliau terbelit pula dengan isu poligami.

Pengundi lelaki mungkin menganggap ini isu remeh, tetapi bagaimana pula kaum hawa yang selalunya sangat sensitif dengan hal sebegini. Rohaizat tentunya akan dilihat sebagai seorang yang tidak jujur kerana tidak berterus-terang dengan kepimpinan parti berkaitan masalah-masalah peribadinya sebelum dipilih menjadi calon. Setidak-tidaknya kepada kaum hawa, Rohaizat dilihat sebagai tidak jujur kepada isteri serta keluarganya sendiri.

Kalau tak jujur, bagaimana nak jadi wakil rakyat?

Wednesday, 19 August 2009

Nik Aziz memang hebat!

Nik Aziz memang 'hebat'. Saya katakan begitu kerana saya yakin tiada seorang pun manusia di dunia ini yang boleh atau berani menentukan secara terang-terangan tentang siapa yang akan masuk surga, dan siapa yang tidak.

Dia memang 'hebat'. Apa saja yang keluar dari mulutnya akan diterima bulat-bulat oleh mereka yang menganuti fahaman politik yang sealiran dengannya. Nik Aziz juga hebat kerana apabila kenyataan-kenyataannya yang kontroversi itu dipertikaikan dalam media, dia boleh 'putar cakap' dan sekali lagi akan diperakukan oleh mereka yang menjadi penyokongnya. Mereka yang tiada pegangan pun mudah menerima 'fatwa' Nik Aziz ini kerana beliau menggunakan Islam sebagai 'kenderaan' politiknya.

Dalam menentukan bahawa orang Umno/BN tidak akan masuk syurga, apa bezanya sangat ahli dengan penyokong? Nik Aziz memang 'hebat' dan makin lama makin sesat.